RENCANA UTAMA

Rahsia pelari kulit hitam

Rahsia pelari kulit hitam

Prestasi manusia terpantas dunia, Usain Bolt di balapan sering dikaitkan dengan faktor diet khas, kelebihan genetik dan ketahanan fizikal.




PELARI pecut dari Jamaica, Usain Bolt, mengejutkan khalayak peminat sukan balapan apabila memecahkan tiga rekod dunia dalam tempoh dua tahun.

Terbaru, pelari berusia 23 tahun itu telah mencipta rekod dunia acara 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Olimpik Berlin.

Catatan masa 9.69 saat yang dilakukan Bolt pada Sukan Olimpik Beijing 2008 diperbaharui hujung minggu lalu dengan kiraan masa 9.58 saat.

Menyingkap pencapaian di Beijing tahun lalu, Bolt turut memenangi semua acara pecut pada temasya Olimpik itu dengan catatan rekod dunia.

"Sebagai atlet, saya berlatih sepanjang tahun dan itulah yang saya lakukan. Hasilnya cukup berbaloi," ulas Bolt tentang kemenangannya di Berlin itu, walaupun berasa sedikit tercabar dengan kehadiran pesaing utamanya, Tyson Gay.

"Tyson seorang atlet yang hebat. Dia sentiasa memaksa saya berada pada tahap terbaik dan saya tahu musim depan dia akan melakukannya sekali lagi."

Pencapaian Bolt itu adalah sesuatu yang luar biasa dan ia sekali gus mengesahkan kajian yang ditemui oleh sekumpulan penyelidik sains bahawa manusia sedang mengalami proses evolusi, sama seperti haiwan zaman prasejarah, dinosaur.

Pantas sejak sekolah

Evolusi kepantasan manusia telah lama berlaku sejak hampir seabad yang lalu.

Pelari kulit hitam yang sering mendominasi acara larian, baik di trek ataupun di acara maraton jalanan, sering dikaitkan dengan faktor diet khas dan kelebihan genetik mereka.

Pelari kulit hitam secara perbandingannya mempunyai kaki yang panjang, tulang yang lebih padat, punggung yang lentik, paha yang berotot serta betis yang ringan. Ini sangat membantu koordinasi cekap dalam larian.

Diperteguhkan ciri-ciri itu, strategi berikutnya adalah latihan yang khusus dan sistematik.

Atlet maraton Kenya sendiri pernah membocorkan rahsia kejayaan mereka iaitu mereka sering berlatih di kawasan beraltitud tinggi dan ketumpatan oksigen yang rendah. Itu membantu dari aspek keselerasan koordinasi tubuh dengan corak pernafasan.

Bolt dilahirkan pada 21 Ogos 1986 di pekan Sherwood Content di Trelawny, Jamaica. Dia dibesarkan oleh ibu bapanya, Jennifer dan Wellesley Bolt, bersama dua adik-beradiknya yang lain iaitu Sadeeki dan Sherine.

Ketika ibu bapanya sibuk menguruskan perniagaan runcit mereka, Bolt menghabiskan masa dengan bermain kriket dan bola sepak di jalanan.

"Ketika saya kecil, saya tidak berminat pada yang lain selain sukan," ujar Bolt yang mengikuti pendidikan awal di Waldensia Primary.

Di sekolah rendah itulah, minat dan potensinya dalam acara lumba lari dicungkil selepas menyertai pertandingan sukan balapan antara sekolah.

Ketika berusia 12 tahun, Bolt muncul sebagai pelari sekolah yang paling pantas dalam acara melebihi 100 meter.

Sejurus melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi William Knibb Memorial, Bolt telah cuba mengembangkan bakatnya dalam sukan dan permainan lain.

Begitupun, jurulatih kriket Bolt menyedari kepantasan Bolt di gelanggang dan mencadangkannya agar menguji kemampuan diri dalam acara balapan dan padang.

Juara di sekolah bukan bermakna Bolt boleh mendabik dada. Dia juga sering memperbaiki dirinya di bawah tunjuk ajar bekas pelari 100 meter Olimpik, Pablo McNeil, dan bimbingan jurulatih Dwayne Barrett.

Cinta dan bola

Biarpun berotot sasa dan diselubungi aura maskulin, Bolt tidak malu melahirkan minat dan rasa cintanya terhadap tarian. Dia juga mengakui bahawa dirinya yang sebenar adalah seorang yang santai dan relaks.


PELARI pecut Jamaica, Usain Bolt, tersenyum girang setelah menjuarai lumba lari lelaki 200 meter akhir pada IAAF 2009 dengan rekod baru, 19.19 saat.


Tidak lari daripada fitrah ingin berpasang-pasangan, Bolt kini sedang berpacaran dengan Mizicann Evans.

Pasangan ini mula berkawan sejak bertemu di trek ketika berusia 13 tahun. Mereka akhirnya mengakui menjalin hubungan istimewa pada tahun 2004.

Kalau bukan berlari sendirian di trek sambil ditemani jurulatihnya, atau menghabiskan masa latihan dan santai bersama Evans, Bolt pasti akan mengambil tahu perkembangan kelab bola sepak kegemarannya iaitu Manchester United.

Malah ketika membuat latihan larian di Manchester berikutan sebuah pertandingan, Bolt sempat bertemu Cristiano Ronaldo dan berkongsi tip lariannya.

Process time in ms: 31