RENCANA UTAMA

Pisau umpama 'suami' Azura

Pisau umpama 'suami' Azura

Dia bukan sekadar mencipta sejarah sebagai wanita Melayu pertama tetapi orang Asia pertama di dunia yang dilantik sebagai duta Zwilling, produk pisau buatan Jerman yang kini mencecah usia 278 tahun. Apakah keistimewaan Azura Othman?




PENYANYI Mariah Carey dan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore pernah menikmati kelazatan puding coklat hasil air tangannya.

“Apabila Mariah Carey dan Al Gore memesan puding coklat yang saya hasilkan itu buat kali kedua, sudah tentu saya beranggapan mereka menghargai kelazatannya,” ujar Chef Azura Othman.




Girang, ceria, penuh bertenaga dan cukup menyenangkan. Itu antara karakter yang terpancar daripada gadis kelahiran Kuala Lumpur ini tatkala pertama kali bersua dengannya.

Saat mula-mula menjengah masuk ke dalam ruang kerja Azura di kedai menjual produk pisau jenama terkenal Jerman, Zwilling JA Henckels di gedung beli-belah mewah, Pavilion, Jalan Bukit Bintang, ia bagaikan berada di kediaman sendiri.

Biarpun dipenuhi objek pisau di sana-sini, terletak betul-betul di pintu masuk kedai tersebut ialah sebuah ruang dapur serba moden dilengkapi dengan meja makan yang digubah indah.

Ketika itu, tercari-cari juga yang manakah satukah Azura Othman. Namun, kelibat seorang gadis manis yang memakai apron melindungi gaun pendek potongan bohemian sedang berdiri di ruang dapur itu segera menangkap perhatian. Mata terus tertumpu terhadap sekuntum bunga besar yang terselit di telinga kanannya.

“Silalah masuk, saya hidangkan teh dan puding coklat ya,” ucapnya sambil melemparkan senyuman ikhlas. Rupa-rupanya inilah gerangan Azura Othman!

Seperti sudah lama mengenalinya, dia tidak kekok menghidangkan teh dan puding coklat yang dimaksudkannya itu sambil mulutnya begitu ramah bercerita.

Puding signatur

“Inilah (produk masakan) signatur saya,” tutur Azura mengenai puding coklat tersebut yang dihasilkan menggunakan ramuan coklat, telur dan susu.

“Apa yang penting, saya menggunakan coklat yang berasal daripada koko yang ditanam di Malaysia,” ujarnya yang bakal menyambut hari jadinya yang ke-29, Selasa ini.

Tambahnya, selain Mariah Carey dan Al Gore, seorang lagi figura ternama di peringkat global yang pernah merasai kelazatan puding coklatnya ialah seorang presiden di sebuah negara Islam. “Tapi, jangan tulis namanya, bimbang timbul kontroversilah pulak,” katanya sambil meledakkan ketawa.

Itu antara kenangan emas Azura saat menimba pengalaman bekerja sebagai chef di Hotel Mandarin Oriental di London pada tahun 2002. Setahun sebelum itu, dia menjadi chef di Hotel Four Season, juga di London.

Kedengaran seperti mudah sahaja anak Melayu ini meraih peluang menjadi chef di hotel-hotel lima bintang di negara Barat. “Ia tidak mudah. Saya telah korbankan cinta, keluarga dan masa,” ungkapnya penuh makna tersirat.

Azura menegaskan dia sememangnya telah ditakdirkan untuk menjadi chef . “Bukan saya mahu berlagak, tapi sejak berumur belasan tahun saya berasa tidak boleh hidup di Malaysia. Saya bersyukur sangat apabila dihantar ke sekolah berasrama di Wales ketika berumur 13 tahun,” ujarnya yang merupakan seorang pakar pastri, selain berkebolehan dalam masakan Itali dan Sepanyol.

Ada kisah di sebaliknya. Rupa-rupanya bapa Azura sudah meninggal dunia ketika dia berumur 10 tahun. “Selepas bapa meninggal dunia, ibu saya, Korin, seorang bekas peguam kemudian melanjutkan pelajaran peringkat sarjana undang-undang di Scotland dengan membawa bersama adik saya, Reza.

“Jadi, saya tinggal bersama datuk dan nenek di Pulau Pinang. Sudah tentu saya begitu rindukan ibu dan Reza,” katanya.

Sentiasa fikir makanan

Tambahnya: “Semasa bersekolah di Wales pula, makanan sering bermain dalam fikiran saya. Saya suka kaitkan semua benda dengan makanan.

“Dalam tempoh usia 14 hingga 17 tahun, ketika cuti sekolah, saya sama ada mengambil kursus membuat kek atau berkerja sambilan di bar menjual sandwic. Malah ketika pulang bercuti di Malaysia, saya sempat ambil kursus di Malaysian Institute of Baking.”

“Usia 18 tahun pula paling mencabar kerana saya perlu memutuskan karier masa depan saya. Ibu sememangnya kurang bersetuju dengan minat saya untuk menjadi chef kerana dia seboleh-bolehnya mahu saya menjadi peguam sepertinya.

“Tetapi saya tetap dengan pendirian dan mendaftar masuk ke sekolah masakan Ealing di London.”


AZURA di ruang kerjayanya sebagai chef bertaraf dunia di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.


Menurut Azura lagi, nasibnya agak baik kerana sebaik saja tamat belajar di sekolah tersebut, Hotel Four Season telah menawarkannya pekerjaan sebagai chef.

Berkat namanya sering menjadi subjek perbualan, terutama di kalangan chef-chef ternama di Barat, khususnya di Eropah, Azura mendapati dirinya tiba-tiba dilamar oleh Zwilling JA Henckels yang berpusat di Solingen, Jerman untuk menjadi duta jenama produk pisau bermutu tinggi yang mula dilancarkan sejak tahun 1731 itu.

“Pihak Zwilling datang berbincang dengan saya pada 26 Ogos 2008. Lima hari kemudian iaitu pada 31 Ogos, saya mendapat berita gembira bahawa saya telah terpilih. Mereka bertanyakan saya berapakah jumlah bayaran yang saya mahukan, selain mengalu-alukan saya sebagai wajah Zwilling bagi rantau Asia.

Duta pisau Jerman

“Saya cukup terperanjat dan sekali gus teruja. Masakan tidak, ini kerana selain saya, hanya ada tiga orang yang dilantik sebagai duta Zwilling di dunia ini – dua orang dari Jerman dan seorang lagi di Sepanyol,” beritahu Azura.

Sebagai chef, pisau merupakan satu peralatan yang penting dalam kerja memasak.

“Saya memiliki hubungan yang sangat intim dengan pisau!,” tegas Azura yang berkebolehan menghiris sebatang lobak merah dalam tempoh 30 saat.


PUDING coklat istimewa Azura yang pernah dinikmati Mariah Carey dan Al Gore.


Sebelum dilantik menjadi duta Zwilling lagi, dia sudah mengibaratkan pisau sebagai seorang lelaki.

“Ketika mula-mula menjadi chef dulu, saya ibaratkan hubungan saya dan pisau seperti baru kenal dengan seorang lelaki.


PELAJAR kelas masakan Azura terdiri daripada berbilang bangsa.


“Tapi lama-kelamaan berkecimpung dalam bidang masakan, selepas arif tentang segala latar belakangnya dan perlu sesuaikan diri untuk menghabiskan banyak masa bersama, justeru pisau ibarat seorang suami pula,” ujarnya yang mengakui dia perlu sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan.

“Industri kulinari sama seperti industri fesyen yang sentiasa muncul benda-benda baru. Jadi saya tidak boleh ketinggalan dan perlu sentiasa memantau perkembangan terkini pada setiap masa,” tegas Azura.

Process time in ms: 47