VARIA

Koleksi hamper Riben Manis

Koleksi hamper Riben Manis


BISKUT buatan sendiri yang berkualiti dan enak menjadi tarikan pelanggan untuk memiliki hamper ini.



HARGA yang ditawarkan adalah RM35 hingga RM500 bagi satu bekas.


'SYAWAL masih jauh ke hadapan, namun Ramadan disambut dengan penuh keinsafan. Terimalah sekotak kurma buat pemanis bicara, tanda kita bersaudara selama-lamanya.'

Itu antara bait-bait indah yang diterapkan dalam risalah koleksi hamper yang diusahakan oleh syarikat Riben Manis. Bertemakan nostalgia dalam karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dua sahabat nekad untuk menjadikan hamper-hamper buatan tangan mereka sebagai kenangan terindah buat penerima.

Pengarah Urusan Riben Manis, Zalina Yahaya berkata, pihaknya cuba mencari kepelbagaian dan kelainan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan pada setiap musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sebagai contoh pada tahun ini, katanya, Riben Manis menyediakan sebanyak 10 jenis hamper yang setiap satunya memiliki nama yang cukup klasik yang dipetik daripada karya filem dan lagu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Nama-nama menarik seperti Pok-pok Bujang Lapuk, Malamku Bermimpi, Uda dan Dara, Dendang Perantau, Oh Azizah, Getaran Jiwa dan Malam Di Pagar Bintang menjadi pakej hamper yang cukup menarik untuk dimiliki pada tahun ini.

Berbeza pada tahun sebelumnya, Riben Manis mengenengahkan konsep elegan, klasik dan eksklusif dengan memberi tumpuan kepada cara pembungkusan yang cukup menarik.

Penggunaan senduk kayu, bakul rotan eksklusif dari China dan Taiwan, selain bakul baldu yang cukup unik menjadi penyeri hamper.

Selain itu, penggunaan kotak-kotak khas yang lebih ringkas memberi cukup ruang kepada pelanggan sebagai cenderahati sempena Aidilfitri nanti.

Menariknya, kesemua koleksi tersebut menggunakan biskut buatan sendiri yang menjadi permintaan panas pada setiap tahun.

Biskut Malatop, Green Pearl, Hawaian Coconut serta beberapa biskut lain berasaskan coklat memberi impak kepada pelanggan apabila mereka memiliki koleksi hamper Riben Manis.

"Kami mementingkan kualiti dan rasa biskut dalam setiap pakej hamper. Ia menjadi tarikan dan permintaan pelanggan untuk mendapatkan hamper keluaran kami."

"Mengikut pengalaman lalu, kebanyakan pelanggan memilih hamper kami kerana menggemari biskut buatan kami, selain keunikan hamper itu sendiri," katanya.

Selain biskut moden, pilihan kuih tradisional seperti bahulu, kerepek serta kek kukus buah turut dimuatkan ke dalam hamper itu, di samping keenakan acar buah dan serunding dari Kelantan.

Harga serendah RM15 untuk sekotak kurma yang boleh dicetak dengan logo syarikat untuk pembelian minimum 50 bekas. Riben Manis juga menawarkan harga berpatutan iaitu RM35 sehingga RM500 bagi hamper terpilih. Malah, untuk harga yang lain daripada yang ditawarkan itu, ia boleh dipertimbangkan.

"Pada tahun lalu, kami membuat hamper bernilai RM1,000 bagi satu bekas seperti yang diminta pelanggan. Kami sedia berbincang sekiranya pelanggan mahukan kelainan reka bentuk hamper yang berbeza dengan apa yang ditawarkan di dalam pakej hamper kami," ujarnya.

Zalina juga berkata, pihaknya sentiasa bersikap fleksibel apabila pelanggan ingin menukar perhiasan mengikut cita rasa mereka, namun ia bergantung kepada produk dan pakej hamper berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, pihaknya turut memuatkan cenderamata seperti mangkuk seramik dan runner sebagai tambahan hamper yang berharga RM250 dan RM300 satu bekas.

Tempahan kini mula dibuka dan perlu ditempah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh penghantaran.

Selain itu, deposit sebanyak 50 peratus perlu dibayar ketika membuat tempahan.

Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 019-2820053 dan 012-2157335 atau lawati blog http://ribenmanis.blogspot.com.

Process time in ms: 0