STAILO

Shila lebih matang, ceria

Shila lebih matang, ceria


SHILA kini lebih berani bermain warna dalam gayanya.


PEJAM celik, pejam celik, sudah sedekad gadis ini 'mengembara' dalam dunia muzik. Menjalani karier sebagai seorang penyanyi seawal umur sembilan tahun, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 19, lebih dewasa dengan penampilan terbarunya.

Bersempena dengan kelahiran album barunya, Bebaskan, Shila turut memberi perubahan pada imejnya kepada seorang gadis yang berpersonaliti yang lebih matang dan ceria.

Berpersonaliti

Dengan menggunakan mainan warna, penampilannya persis Katy Perry.

Menurut Shila, dia mahu tampak berbeza dalam kemunculan album terbarunya itu dan mahu menampakkan dirinya lebih berpersonaliti berbanding dahulu.

"Buat masa ini penampilan saya lebih ke arah modern vintage. Saya suka imej terbaru ini kerana terasa seperti diri saya telah melangkah ke alam dewasa.

"Kebetulan pula syarikat rakaman Monkeybone turut membantu dalam mencari imej terbaru saya. Agak menyeronokkan kerana ia seperti sebuah eksperimen kepada diri.


GAYA terbaru Shila menampakkan kematangannya.


"Kalau nak tahu, dulu saya ini jenis yang pemalu dan kurang bercakap. Imej yang ditonjolkan juga seperti budak-budak sikit. Tapi, kali ini berbeza. Selepas pertandingan One In A Million 2, inilah perubahan saya buat peminat-peminat. Lebih matang, ceria dan rasanya saya dah mula banyak cakap," selorohnya.

Inspirasi

Menurut anak gadis kepada penyanyi 1980-an, ND Lala, perubahan imej baru itu juga sekurang-kurangnya dapat membantu memberi inspirasi kepada peminat-peminatnya berfesyen.

"Sebagai seorang selebriti, kita sering menjadi ikon dan idola kepada peminat-peminat kerana mereka bukan sahaja sekadar meminati muzik kita bahkan imej yang ditonjolkan membuatkan mereka jatuh hati kepada penyanyi kesayangan mereka.

"Sebab itu, setiap kali muncul di kaca televisyen, saya mahu berpenampilan menarik, mana tahu imej sebegini dapat membantu fesyen para peminat.

"Bagaimanapun, di luar waktu bekerja, saya selalunya akan memakai pakaian seringkas yang boleh seperti seluar denim dan kemeja-T, tetapi tidak selekeh," katanya.

Process time in ms: 47