INFINITI

Hobi mencipta aplikasi

Hobi mencipta aplikasi

Azril Nazli Alias mencipta pelbagai jenis aplikasi termasuk sistem pengurusan rangkaian WiFi, MamakSpot dan penjejak badai GPS hanya kerana hobi.


APLIKASI pemantau yang diguna pakai mirip kepada sistem keselamatan GPS kenderaan yang terdapat di pasaran hari ini.


JIKA Zulkifli Haron terkenal dengan ciptaan mekatroniknya, tidak keterlaluan andai Azril Nazli Alias diletakkan sebaris dengan pencipta kereta ala Knight Rider itu. Walaupun berada dalam bidang yang berbeza, Azril, 32, seharusnya mendapat pengiktirafan atas sumbangannya dalam dunia teknologi maklumat. Apa yang uniknya, hampir kesemua ciptaan dan aplikasi yang dibangunkannya itu lahir daripada suka-suka atau hobi.

Bagi mereka yang berada di dalam komuniti pengguna Linux, khususnya yang menyertai forum My-Linux, nama Bazet mungkin tidak asing lagi. Bazet merupakan nama samaran Azril yang mula berkecimpung dalam dunia Open Source sekitar 10 tahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu, Azril telah menghasilkan banyak aplikasi untuk kegunaan komputer dan juga telefon bimbit.

Salah satu aplikasi popular yang dibangunkannya adalah MamakSpot iaitu sebuah sistem pengurusan rangkaian WiFi yang disasarkan kepada pemilik WiFi yang ingin mengawal penggunaan akses Internet mereka, selain memastikan penggunaan rangkaian mereka tidak digunakan secara 'suka-suka' oleh sesiapa sahaja.

Keupayaan MamakSpot untuk diintegrasikan ke dalam Access Point (AP) tertentu tanpa memerlukan sebuah pelayan khusus untuk tujuan pengesahan pengguna seperti RADIUS menjadikannya begitu popular khususnya buat mereka yang menjalankan perniagaan restoran. Ini kerana kosnya lebih rendah berbanding memiliki sebuah AP komersial yang mencecah harga ribuan ringgit.

Satu lagi aplikasi yang telah dibangunkan oleh Azril ialah aplikasi pemantau berasaskan GPS (Global Positioning System) yang dinamakan Penjejak Badai GPS. Aplikasi yang dibangunkan itu menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP, Python untuk S60 dan pangkalan data MySQL ini membolehkan kedudukan pengguna telefon bimbit dilihat pada Google Maps.


AZRIL NAZLI mula berkecimpung dalam dunia Open Source sejak 10 tahun lalu.


Kaedah yang diguna pakai mirip kepada sistem keselamatan GPS kenderaan yang terdapat di pasaran hari ini. Namun aplikasi ini sebenarnya menjejak telefon bimbit yang mempunyai keupayaan GPS. Kedudukannya akan ditentukan oleh GPS dan seterusnya maklumat berkaitan latitud dan longitud tersebut akan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke pelayan melalui modem GSM. Seterusnya, butiran kedudukan ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk Google Maps.

Selain mampu memberitahu kedudukan penggunanya, ia juga boleh memberitahu sekiranya pengguna memandu lebih daripada kelajuan yang dibenarkan serta boleh memaparkan log perjalanan. Dengan kata lain, kita boleh melihat pergerakan kita dalam tempoh yang dikehendaki sama ada harian, mingguan mahupun bulanan.

Azril yang pernah bertugas di beberapa syarikat teknologi maklumat terkenal di Malaysia juga merupakan pengasas Protonmania.com iaitu portal khusus buat peminat kereta buatan Malaysia, Proton. Selain mencintai teknologi maklumat, Azril juga gemarkan modifikasi kereta dan sering menguji 'jentera' kesayangannya di litar lumba Sepang, Selangor.

Ketika ditanya tentang rancangannya pada masa akan datang, Azril memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan untuk projek seterusnya yang akan menggunakan teknologi VoIP (Voice Over Internet Protocol). Namun menurutnya, modal menjadi cabaran utama dalam merealisasikan idea-idea yang terdapat dalam kotak fikirannya.

"Selama ini, semua projek yang saya jalankan menggunakan duit poket sendiri, yang saya kumpul hasil pendapatan bekerja," ujar Azril. "Namun bagi mengumpul sejumlah wang yang besar dalam tempoh yang pendek agak sukar, justeru sekiranya ada pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan saya untuk projek saya akan datang, saya amat mengalu-alukan," tambah Azril.

Process time in ms: 79