RENCANA UTAMA

Datin Freida pandu van sekolah

Datin Freida pandu van sekolah

Pengasas dan Pengerusi Sekolah Cempaka sanggup membasuh lantai banglo yang disewa untuk dijadikan sekolah.


DATIN FREIDA, penerima Anugerah Usahawanita Kebangsaan 2008.


ASALNYA, beliau menubuhkan Sekolah Cempaka untuk anak-anak lelakinya. "Saya buka sekolah ini pada 26 tahun lalu bukan untuk berniaga. Semuanya bermula apabila saya mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

"Anak saya pandai membaca dan menulis pada usia tiga tahun. Dek kerana terlalu muda, sukar untuk mendaftarkan mereka di sekolah biasa. Kerana itu, Cempaka ditubuhkan," ujar Datin Freida Mohd. Pilus.

Kini, selepas lebih dua dekad, Pengerusi Sekolah Cempaka ini boleh berbangga kerana Cempaka sudah dikenali bukan sahaja di Malaysia malah oleh ibu bapa dari luar negara.




Mengasaskan Cempaka dengan menyewa sebuah banglo di Bukit Bintang pada Januari 1983, Freida, kini 62, mengecat dinding dan membasuh sendiri lantai sekolah. Beliau turut mengajar dan memandu van untuk menjemput dan menghantar para pelajarnya pulang.

"Semua ini saya lakukan kerana keterujaan saya dalam bidang pendidikan. Matlamat saya pada waktu itu ialah mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak Cempaka.

"Saya terokai dunia pendidikan dengan penuh kesungguhan kerana saya percaya jika kita memberikan yang terbaik, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan kita.

"Secara peribadi, saya tidak banyak mempromosi Sekolah Cempaka, sebaliknya saya mahu masyarakat mengenali Cempaka kerana pencapaian anak didik sekolah ini.

"Kecemerlangan para pelajar ini yang akan mencerminkan usaha serta kesungguhan saya dan guru-guru di Cempaka. Itulah cara saya mengiklankan sekolah ini," ujar anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini.

Lulusan Ijazah Kepujian Linguistik dari Universiti Malaya ini dahulunya merupakan seorang penjawat awam. Bermula sebagai pegawai diplomatik di Kementerian Luar, Freida kemudian bertukar ke Kementerian Pelajaran sebelum menyertai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Seharum bunga cempaka

Nama Cempaka diilhamkan oleh arwah bapanya, Datuk Mohd. Pilus yang juga bekas Ketua Polis Perak. Nama bunga desa itu dipilih kerana harumannya yang semerbak merata-rata.

"Harum si bunga cempaka ini diterjemahkan sebagai prestasi cemerlang sekolah ini. Bila kita jadi yang terbaik, berita itu akan tersebar ke merata tempat, itu yang kami harapkan," celah Freida.

Hari ini Cempaka memiliki lebih 2,500 pelajar dan 300 guru yang mengajar di dua buah kampus iaitu di Cheras dan Damansara.

Sebuah lagi kampus iaitu Kolej Perempuan Antarabangsa Berasrama Cempaka akan mula beroperasi September ini.

"Ia merupakan sebuah sekolah yang ditubuhkan eksklusif untuk anak perempuan. Memandangkan anak saya semuanya lelaki, jadi saya cuba untuk memberikan pendidikan sempurna untuk anak-anak perempuan Cempaka.

"Pelajar perempuan akan menjadi ibu dan melahirkan anak seterusnya membina bangsa. Saya percaya ibu yang baik mampu melahirkan generasi yang gemilang dan terbilang," katanya.

Dalam kehidupannya, malah sesama anak-anak dan seluruh warga Cempaka, Freida amat mementingkan soal disiplin.

"Arwah bapa meninggal awal tahun ini pada usia 91 tahun. Bekerja sebagai polis, kami adik-beradik banyak diasuh tentang disiplin.

"Peribadi arwah memang banyak mempengaruhi kehidupan saya dan mendorong saya untuk terus berjaya.

"Daripada konstabel sehingga menjadi Ketua Polis Perak, saya banyak belajar daripada arwah. Katanya, bermula daripada bawah tidak semestinya kita akan selamanya berada di bawah.

"Pesannya, jika ada kesungguhan untuk buat yang terbaik, minat dan disiplin, insya-Allah, kita mampu menggenggam kejayaan.

"Itu kata-kata arwah yang saya pegang hingga sekarang," ujar anak kedua daripada empat beradik ini.

Lima anak lelaki

Bertanyakan tulang belakang kejayaannya, Freida pantas menjawab, suami dan anak-anak. Baginya, Cempaka bukan lagi sekolah tetapi satu syarikat keluarga yang bertanggungjawab melahirkan golongan profesional.

"Suami saya, Datuk Hamzah turut sama mengasaskan sekolah ini. Sebagai suami dan juga mentor, teguran dan perkongsian idea bersamanya memang sesuatu yang bermakna buat saya.

"Untuk berjaya, saya terbuka untuk menerima teguran dan kritikan. Dengan teguran, mungkin ada perkara yang boleh dipermudah dan diperbetulkan," ujarnya.

Buat anak-anaknya, Freida turut bersyukur kerana kelima-lima anaknya bakal menjadi penyambung legasi Sekolah Cempaka yang diasaskannya.

Anak sulungnya, Dr. Iskandar Rizal, lulusan Universiti Edinburgh, hanya beberapa tahun bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat keputusan menyertai Cempaka sebagai Naib Pengerusi merangkap doktor di sekolah itu.

Selain itu, Rizal juga telah memperkenalkan beberapa sistem pembelajaran berteknologi moden di Sekolah Cempaka.


FREIDA dan suami, Datuk Hamzah, tidak kekok menari bersama pelajar di Cheras sempena ulang tahun kelahiran Freida, kelmarin.


Anak keduanya, Iskandar Fareed, lulusan arkitektur dari Universiti Edinburgh, turut menyumbang kepada Cempaka dengan menerajui pembinaan kampus ketiga Kolej Antarabangsa Cempaka di Sepang.

Anak ketiganya pula, Iskandar Raphael, lulusan undang-undang kini menguruskan hal-ehwal perundangan di Cempaka manakala Iskandar Hishamuddin mengajar di sekolah yang sama.

Anak bongsunya, Iskandar Zahiruddin yang masih menuntut di Universiti Melbourne juga bakal berbakti di Cempaka selepas tamat pengajian.

"Saya berbangga kerana anak-anak saya berkecimpung dalam bidang pendidikan dan cenderung untuk bekerja di bawah satu bumbung.

"Pertalian keluarga yang cukup kuat inilah yang menghasilkan Sekolah Cempaka," ujar penerima Anugerah Usahawanita Kebangsaan 2008 ini.

Process time in ms: 16