DIVA INTERAKTIF

Asheed sudah berpisah

Asheed sudah berpisah




DIVA dapat cerita yang kurang enak tentang penyanyi yang terkenal dengan lagu Merah dan Cinta Sakti, Asheed yang merupakan vokalis kumpulan Def Gab C. Teman Diva yang sekali-sekala muncul di kedai minum kegemaran Diva memberitahu Asheed kini sudah bergelar duda.

Diva terkejut juga sebab setahu Diva, Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 36, dan isterinya, Sharifah Noor Shima, 31, bukan main romantis lagi. Teringat aksi mereka sewaktu program Sehati Berdansa dulu. Mereka nampak sangat sesuai bersama.

Bagi mendapatkan kepastian, teman Diva yang tinggal sekampung dengan Asheed telah menelefon penyanyi tersebut. Sedang sibuk di Sabah menghadiri Festival Filem Malaysia ke-22, Asheed sempat meluangkan masa bercerita serba sedikit tentang status dirinya kini.

"Memang betul saya sudah berpisah sejak dua bulan yang lalu. Tarikh saya berpisah adalah pada 11 Jun lalu.

"Tapi ingin saya nyatakan bahawa kami bercerai cara elok. Iyalah, dulu kami berkahwin cara elok, jadi saya rasa kalau mahu bercerai pun perlu cara yang elok juga.

"Kalau ditanya punca perceraian ini, saya boleh katakan kami sudah tidak sefahaman lagi. Bila selalu bertekak, saya rasa cara yang paling baik adalah berpisah," tegasnya yang menolak perpisahan ini melibatkan masalah keluarga.

Menurut Asheed yang kini sibuk dengan persembahan pentas, dia tidak betah untuk tinggal jauh daripada anaknya, Megat Aldhamien Suffiey, 3 tahun. Jadi dia menyewa rumah tidak jauh daripada rumah bekas isterinya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2003.


Diva: Erm... Nak kahwin ke tak?

Process time in ms: 1656