RUANG

Dinding condong rumah arkitek

Dinding condong rumah arkitek

Sudahlah rumahnya condong, Azman berani pula mempertaruhkan nasib dengan menggunakan kayu terpakai untuk mengubahsuai rumahnya. Namun, lihatlah hasilnya!




SUDAH lama arkitek dari Arkitek Azman Zainal ini berminat dengan material kayu. Namun, menurut Azman Zainal Mohd Nor, 55, hanya dalam empat tahun kebelakangan ini barulah dia berpeluang untuk menggunakannya dalam rekaan-rekaannya.

“Boleh dikatakan saya masih dalam proses kajian dan pembangunan (R&D) tentang kayu,” katanya yang mengakui kayu menuntut kajian yang mendalam dan menyeluruh untuk dikuasai.

Hasil kajian dan penerokaannya yang paling ketara sehingga hari ini dapat dilihat pada rumahnya sendiri di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

“Saya pecahkan dinding batu rumah di bahagian ruang tamu dan menambah struktur kayu pada bahagian itu.

“Bagi rumah era sekarang, lebih baik menggabungkan kayu dengan batu. Tidaklah satu-satu rekaan itu kelihatan terlalu ‘lama’,” ujarnya yang menggunakan sehingga 90 peratus kayu terpakai untuk pengubahsuaian itu.


DINDING condong bukan saja menambah ruang, malah ia turut mengurangkan kesan silau yang lazimnya berlaku pada tingkap pada dinding tegak.


Lantainya yang dibina menggunakan kayu kempas daripada tiang elektrik lama yang diketam semula dipasang searas lutut.

Azman menjelaskan lagi, paras itu dipilih bagi membolehkan ia turut digunakan sebagai tempat duduk. Dinding yang dipasang tingkap sepenuhnya itu pula dibina condong!

“Kalau daripada kedudukan tegak 90 darjah, kecondongannya ialah 11 darjah. Kecondongan ini mematuhi konsep self-shading atau teduh sendiri kerana ia selari dengan kecondongan matahari.

“Konsep ini dapat melindungi dinding kayu daripada cahaya matahari yang menyumbang kepada proses ‘penuaan’.

“Ia juga dapat menyelamatkan kayu daripada rosak terlalu awal,” jelas Azman yang pernah bekerja sebagai arkitek untuk Jabatan Kerja Raya selama 24 tahun.


STRUKTUR binaan berunsur kayu memberi nilai tersendiri kepada sifat konkrit di ruang tamu Azman.


Biarpun pengubahsuaian itu hanya melibatkan dua dinding, kesannya sangat terasa. Selain unik, sifat condong itu turut menambah keluasan rumah.

Menariknya, kata Azman, memasang tingkap dengan kepingan cermin hijau jernih tidak lagi memantulkan cahaya matahari seperti ketika berdinding tegak.




“Sebab kecondongan dinding selari dengan kecondongan matahari, maka jumlah cahaya matahari yang memantul ke dalam rumah berkurangan, sekali gus menjadikan rumah ini lebih redup.

“Pemandangan di luar rumah juga lebih jelas kelihatan,” ujarnya yang sememangnya gemarkan konsep rumah terbuka dengan pengaliran udara yang baik.


SET meja dan bangku laman yang tidak disapu sebarang perlindungan.


Tambah bapa kepada empat orang anak yang berumur antara 20 hingga 15 tahun itu, pengubahsuaian itu juga telah menyumbang kepada corak baru kehidupan isi rumah.

“Anak-anak sekarang lebih suka duduk di ruang tamu. Di situlah mereka berehat bersama teman-teman, di situ jugalah mereka melakukan kerja rumah.


ELEMEN kayu menjadikan rumah teres batu ini tampil eksklusif.


“Kalau sanak-saudara datang berkunjung, ibu-ibu ke dapur dan ruang makan, bapa di ruang tamu dan anak-anak di bahagian berkayu itulah.

“Sekarang mereka tidak lagi berkurung di bilik,” beritahu Azman yang memasang cita-cita untuk menjadi seorang arkitek sejak berumur 16 tahun.

Selain menerapkan konsep teduhan sendiri itu di rumahnya, Azman juga pernah melakukannya untuk beberapa syarikat termasuk SIRIM Berhad di Kuantan, Pahang, dan MIMOS Berhad di Kulim, Kedah.

Azman lebih banyak mereka untuk kediaman persendirian dan kini dalam proses menyiapkan beberapa buah banglo di Putrajaya, Petaling Jaya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Melaka, menggunakan kayu terpakai.

Azman dalam pada itu menegaskan, satu keistimewaan kayu adalah ia menyerap dan membebaskan haba secara perlahan berbanding batu-bata dan simen.

“Rumah batu selalunya paling panas dari dalam pada waktu petang. Pada waktu itu suhu persekitaran sedang turun dan pembebasan haba daripada bangunan berlaku.

“Tetapi pada waktu itulah kebanyakan daripada kita menutup pintu dan tingkap untuk memastikan tiada nyamuk masuk ke rumah. Akibatnya haba terperangkap di dalam rumah.

“Berbeza dengan bangunan yang diperbuat daripada kayu, bangunan daripada batu-bata menyerap dan membebaskan haba dengan sangat cepat.

“Jadi, saya tak pernah menutup pintu dan tingkap menjelang senja. Biar rumah sudah sejuk barulah saya menutup semua laluan keluar haba dari dalam rumah ini,” jelasnya.


RUANG makan dengan perabot kayu yang ringkas.


Sudi berkongsi idea, Azman memberitahu, dia lebih cenderung untuk membina kediamannya dengan kecantikan yang boleh dipakai dan bukan yang sekadar cantik pada pandangan visual semata-mata.

“Saya sukakan nilai estetik yang tahan lasak, yang tak menuntut saya untuk sentiasa berjaga-jaga. Biarlah ia cantik seadanya.

“Kalau terlalu cantik atau kemas, nanti ia tak ubah seperti sebuah ruang pameran yang dibuat-buat. Ini barulah boleh dikatakan satu seni bina,” tuturnya yang menggunakan kertas pasir daripada lima kelas yang berbeza untuk mendapatkan kemasan yang selamat dan halus.

Mendedahkan The Datai Langkawi, Kedah, menerapkan pendekatan yang sama, Azman tidak menolak jika ada yang melihat kediamannya itu sebagai rumah buruk.

Namun, pada masa yang sama beliau juga tetap berharap agar dapat menemukan perlindungan yang tidak akan menutup kesan natural kayu.

Penggunaan kreasote dan diesel yang diamalkan orang dahulukala, kata Azman, akan menyebabkan kayu kelihatan berwarna lebih gelap berbanding warna asal.

“Mungkin apa yang boleh dilakukan sekarang ialah menerima fitrah kayu, berbanding mencari jalan untuk melawannya dengan menggunakan cat, syelek dan sebagainya, sehingga melenyapkan nilai estetikanya yang sebenar,” ujar Azman.

Infiniti!»

Terbang, rakam dan analisis imej

PELAJAR UTM (dua dari kiri) menerangkan bagaimana UAV dikawal menggunakan perisian khas dari paparan skrin komputer.

Varia!»

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0