RENCANA UTAMA

Muzik sekadar di pinggiran

Muzik sekadar di pinggiran

Dulu 60 minit, sekarang berkurangan kepada 30 minit sahaja. Satu langkah yang dikira sangat tidak realistik ketika penghayatan seni semakin meningkat di kalangan generasi muda.




DI saat guru-guru sekolah sibuk mendidik pelajar untuk mendapat skor terbaik dalam pelbagai mata pelajaran khususnya Sains dan Matematik, mata pelajaran pendidikan muzik pula menerima nasib sebaliknya - dipinggirkan!

Isu bahawa muzik bukan sesuatu yang penting di kalangan generasi baru negara ini timbul apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan masa pembelajaran pendidikan muzik kepada 30 minit sahaja setiap minggu.

Sebelum ini Kementerian Pelajaran memperuntukkan tempoh masa selama 60 minit seminggu Kokurikulum Sekolah Rendah bagi mendedahkan pelajar kepada dunia muzik secara lebih profesional.

Banyak yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan saranan yang dibuat oleh pihak kementerian berkenaan dan mahu pihak berkenaan mempertimbangkan semula kerana ini mampu menjejaskan dari segi pelbagai faktor. Sebenarnya, tanpa disedari langkah tersebut boleh menjejaskan kelahiran generasi 'celik muzik' di kalangan generasi baru.

Kita sepatutnya mengambil contoh daripada negara-negara maju, seperti Jepun, yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.

Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.

Sementara itu di Jerman pula, bermula dari murid tadika hinggalah ke gred 12 (tingkatan 2) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

Mengajar jadi pengguna muzik

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Ketua Jabatan Muzik Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr. Ramona Mohd Tahir, tanpa pendidikan asas, kualiti muzik mungkin akan terjejas dan usaha memberi lebih kecemerlangan kepada industri seni tempatan tidak akan berhasil.

Bukan mahu mengajar anak-anak untuk menjadi ahli muzik, sebaliknya ia mampu melahirkan masyarakat yang bijak menilai kualiti sesebuah karya kerana merekalah yang akan menjadi pengguna kepada muzik dimasa depan.

Tanpa ilmu muzik, masyarakat terlalu mudah untuk berpuas hati dengan hasil karya muzik yang begitu rendah nilai estetiknya.

"Seperti mata pelajaran Sejarah, Sains dan Geografi, Pendidikan Muzik juga adalah pendidikan asas dalam pembelajaran sekolah. Tidak semestinya mereka perlu jadi pemuzik, ia sekadar ilmu yang harus masyarakat tahu.

"Tanpa ilmu muzik, mereka akan menilai berdasarkan radio yang didengar, rupa paras seseorang pemuzik itu, lirik putus cinta yang sememangnya disukai umum serta gosip-gosip terbaru mengenai penyanyi berkenaan.

"Disebabkan itu, masyarakat kita terlalu memilih tentang hal penyanyi berbanding karya mereka. Lihatlah negara-negara luar, asalkan muzik mereka berkualiti, mereka diterima tidak kira sama ada mereka gemuk, kurus, hodoh atau cantik.

"Kehebatan penyanyi di Malaysia lebih menjurus kepada komersial dan populariti. Mereka hanya menguasai jenis-jenis muzik yang bertahap rendah.

"Sebab itu, masyarakat sekarang gemar lagu-lagu pop dan ini tidak memajukan tamadun dan warisan negara kerana mereka tidak tahu, apa alatan muzik asas yang ada dan nilai sesebuah karya muzik tersebut," tegasnya.

Tambah Ramona, biarpun pendidikan muzik diwajibkan di setiap sekolah sejak tahun 1983, mata pelajaran tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. "Muzik lebih kepada untuk bersukaria seperti menyanyi tetapi tanpa ilmu muzik di dada," ujarnya.

Kekurangan penggiat seni bijak

Umum tahu, agak sukar untuk penggiat seni kita diiktiraf ke peringkat antarabangsa dan mereka yang diiktiraf boleh dibilang dengan jari sahaja.


PEMBELAJARAN muzik di sekolah mendedahkan generasi muda kepada kesenian yang lebih profesional.


Puncanya, mereka dikatakan tidak layak dan belum sampai pada taraf berkualiti lagi. Semua ini kerana penerapan ilmu muzik begitu kurang serta mentaliti kita yang hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit.

Memang benar, mereka mempunyai bakat semulajadi serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi, namun hakikatnya, pendidikan muzik langsung tidak ada.

Tanya sahaja kepada penyanyi-penyanyi baru mengenai ilmu-ilmu muzik, mereka pasti akan terdiam dan hanya memberikan senyuman sahaja.

Menurut Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah atau nama komersialnya, Joe Chelliah, potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah lagi.

"Bakat muzik yang terpendam di kalangan para pelajar sama pentingnya dengan potensi dan bakat lain seperti kemahiran-kemahiran linguistik atau psikomotor yang juga boleh dicungkil pada peringkat sekolah.

"Satu kerugian besar jika setiap kanak-kanak tidak berpeluang untuk menguji bakat muzikalnya sewaktu bersekolah lagi.

"Tanpa pendidikan muzik, penyanyi yang lahir dalam industri menjadi kurang berkualiti kerana langsung tiada pendedehan muzik sejak kecil.

"Cuba lihat contoh seperti Fauzi Marzuki, Datuk A. Rahman Hassan dan Aubrey Suwito, mereka bukan sekadar bermain muzik di Malaysia, sebaliknya turut diundang ke luar negara.

"Jika kita mempunyai pendidikan yang tinggi dalam muzik, jangan terkejut jika Malaysia juga mampu diikitiraf ke peringkat dunia. Malah generasi akan datang mungkin akan menjadi lebih hebat berbanding penggiat muzik sekarang," katanya.


BIDANG muzik juga boleh dijadikan sebagai kerjaya profesional.


Menurut Joe lagi, cadangan pengurangan masa pelajaran muzik tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan pelajar yang kurang berkemampuan, sebaliknya, bagi golongan yang mampu dan tahu akan kepentingan muzik, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke kelas muzik di luar waktu sekolah.

Muzik bantu tingkatkan IQ

Di Malaysia, ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka fokus lebih dengan mata pelajaran yang ada dalam peperiksaan dan mereka akan memastikan anak-anak akan membesar dengan ilmu akademik yang penuh di dada.

Tetapi, tahukah anda bahawa ia sebenarnya akan memberi tekanan kepada mereka? Sebaliknya, pendidikan muzik mampu memudahkan pelajaran anak-anak kerana mampu meningkatkan IQ mereka.

Para penyelidik di University of California yang diketuai oleh Frances Rauscher dan Gordon Shaw telah menemui teori The Mozart Effect iaitu wujudnya hubungkait antara muzik dan beberapa aspek dalam fikiran manusia.


TANPA didikan muzik, generasi muda tidak tahu mengenai budaya tradisional Malaysia.


Kanak-kanak sekolah rendah terutamanya yang mengikuti kelas muzik, mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan sekolah.

Kajian dalam bidang neurologi mendapati, pemuzik yang mula mempelajari alat muzik keyboard sebelum berumur tujuh tahun mempunyai gentian saraf (bahagian otak yang membawa isyarat di antara otak kiri dan kanan) lebih tebal berbanding individu lain, sekali gus membuatkan mereka yang mempelajari muzik mampu berfikir dengan pantas.


MUZIK mampu menjadi terapi bagi merawat permasalahan yang bersarang di pemikiran manusia.


Di awal tahun 1900, muzik dijadikan sebagai agen untuk melengkapkan ilmu dalam bidang mata pelajaran lain seperti Matematik, Sains, Geografi dan lain-lain.

Kajian yang dilakukan oleh The National Center for Educational Statistics (U.S. Department of Education) merumuskan kesan penglibatan dalam aktiviti muzik memberikan peratus pelajar tersebut mempunyai lebih banyak gred A berbanding dengan pelajar tanpa ilmu muzik.

Kajian ini membuatkan hampir seluruh negara-negara maju mencadangkan penglibatan pelajar dalam kegiatan muzik untuk memudahkan perjalanan pembelajaran mata pelajaran lain.

Process time in ms: 94