GENK

Mengangkat martabat batik

Mengangkat martabat batik

Yusof berpegang pada matlamat untuk mengubah mentaliti masyarakat terhadap bidang kesenian batik.




"KAMU nak ambil jurusan kesenian? Nanti kamu nak kerja apa? Nak lukis batik bawah rumah?" Itulah persepsi ibu bapa Yusof Daud Ismail, 26, apabila dia menyatakan keinginan untuk mengambil jurusan kesenian yang menjurus kepada melukis batik.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah ibu bapa kurang bersetuju apabila anak menyuarakan hasrat untuk mengambil jurusan kesenian.

Bagi mereka, jurusan sebegitu tidak memberi jaminan masa depan. Lainlah jurusan kedoktoran, peguam atau jurutera yang mampu membanggakan mereka.

Namun, berkat kesungguhan dan semangat, Yusof tetap dengan pendiriannya dengan memilih jurusan kesenian. Bagi jejaka yang berasal dari Terengganu itu, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

"Berpegang pada matlamat mengubah mentaliti masyarakat terhadap bidang kesenian, diselangi dengan doa dan semangat, saya pasti apa sahaja yang dilakukan pasti menemui kejayaan.

"Walau bagaimanapun, doa sahaja tidak cukup tanpa usaha gigih, di samping menepis rasa malu untuk mencuba sesuatu yang baru," katanya kepada wartawan Kosmo! ketika ditemui di Konvensyen Tekstil 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Yusof mahu membuktikan kepada orang tuanya bahawa jurusan kesenian juga mampu memberi masa depan yang cerah.

Pada peringkat awal pengajiannya, Yusof mendapat peluang mengikuti kursus kesenian grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Merasakan tidak dapat apa yang diinginkan, dia kemudiannya menghantar permohonan baru untuk mengikuti kursus dalam kesenian tekstil yang menjurus kepada melukis batik.


REKAAN batik sudah menrima banyak perubahan terutamanya dari segi corak.


Yusof mengakui pada mulanya timbul rasa takut dan rendah diri untuk mengikuti kursus melukis batik. Ini kerana dia melihat para pengusaha batik di Malaysia masih kurang menyerlah.

"Senario di Terengganu, kalau buat batik tak ada kilang yang besar dan hebat. Kebanyakan pengusaha lazimnya melukis batik di bawah atau di belakang rumah," katanya.

Bagaimanapun, anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu menangkis segala perasaan takut. Di samping bertawakal untuk memperjuangkan seni batik ke peringkat antarabangsa.

Nampaknya, segala kerja kerasnya berbalas apabila Yusof kini merupakan seorang pensyarah dalam bidang tekstil. Dia juga pernah memenangi Piala Seri Iman pada tahun 2005.


GRADUAN tidak perlu bimbang mengenai prospek kerjaya. Selain menjadi pengusaha batik, mereka juga boleh bekerja sebagai pensyarah atau berkhidmat di syarikat yang menghasilkan batik.


"Bohong jika saya katakan tidak menempuh sebarang cabaran selama mengambil jurusan tekstil.

"Selama tiga tahun, ibu bapa saya masih tidak menunjukkan minat terhadap bidang ini. Sebabnya, abang dan kakak mengambil jurusan perakaunan dan perniagaan.

"Memang rasa sedih, tetapi saya kuatkan semangat. Alhamdulilah selepas habis diploma selama tiga tahun dan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, saya dapat lihat perubahan kedua-dua orang tua saya.

"Lebih-lebih lagi selepas saya memenangi dalam Pertandingan Piala Seri Iman, seterusnya berjaya menjadi pensyarah," katanya yang menjadi pensyarah pada usia 24 tahun di UiTM, Shah Alam.

Jelasnya, melukis batik bukanlah satu perkara yang mudah. Ia menuntut tahap konsentrasi dan ketelitian tinggi daripada inidividu demi menghasilkan rekaan dan corak yang bermutu.

Pernah juga hasil batik lukisannya tidak disentuh oleh pensyarah. Malah ditolak dengan kayu kerana mahu menunjukkan rekaan batiknya itu tidak mencapai mutu yang sepatutnya. Namun, Yusof tidak patah semangat. Dia terus mencuba sehingga berjaya.


RAHAYU, Yusof dan Suraya yakin batik mampu mendapat tempat di persada antarabangsa.


Yusof menegaskan, bidang tekstil bukan memfokus kepada batik semata-mata, tetapi turut merangkumi percetakan kain dan tenunan songket.

Oleh itu, para graduan tidak perlu bimbang tentang prospek kerja mereka selepas tamat pengajian. Selain menjadi pengusaha, mereka juga berpeluang menjadi pensyarah dan bekerja makan gaji di syarikat-syarikat yang berkaitan.

Bagi Suraya Shaari, 28, dia juga mengalami nasib yang sama dengan Yusof apabila ahli keluarganya tidak menunjukkan minat dalam bidang yang diceburinya.

Tetapi, Suraya lebih bernasib baik apabila ibunya memberi sokongan penuh terhadap penglibatannya dalam bidang tekstil.

Kini, Suraya boleh tersenyum bangga apabila dia begitu mahir dalam rekaan batik menerusi teknik blog dan cetak.

Suraya yang juga penolong pengurus Pusat Kecemerlangan Reka Bentuk Antarabangsa di Terengganu (TIDE) memberitahu, rekaan batik kini tampil lebih kontemporari. Namun, ia tetap diselitkan dengan unsur tradisional terutama dari segi rekaan coraknya yang sesuai dengan cita rasa pengguna masa kini.

Process time in ms: 15