HIBURAN

Pengalaman pahit Shazroul

Pengalaman pahit Shazroul


SELAIN bakat, Shazroul juga mempunyai imej dan stail yang baik.



HAZAMI


DITITIPKAN syarat agar tidak menjalinkan hubungan cinta dalam tempoh lima tahun oleh pihak pengurusannya, membuatkan pendatang baru dalam dunia seni suara, Shazroul hanya akur tanpa memperlihatkan sebarang bantahan.

Jejaka berusia 24 tahun itu tidak pernah menolak 'arahan' yang dikeluarkan pengurus yang dianggap sudah seperti ibunya sendiri.

Ditambah keluarga Shazroul sendiri sudah memberi sepenuh kepercayaan yang diberikan kepada pengurusannya, lantas penyanyi berbakat tersebut melihat ada hikmah di sebalik 'undang-undang' yang harus dipatuhi itu.

"Saya ada beritahu Shazroul bahawa dia tidak boleh bercinta dalam tempoh lima tahun mendatang. Tetapi ini semua terpulang kepada dia.

"Saya risau dia tidak dapat rehat dan tidur yang secukupnya selepas ini," ungkap pengurusnya, Muzie, ringkas sambil matanya mengerling ke arah pucuk muda bernama lengkap Shazroul Fazlie Zahari di bawah jagaannya itu.

Si empunya diri, Shazroul bagaimanapun tidak lekas beremosi. Malah jauh sekali untuk dirinya melatah tentang syarat yang ditetapkan oleh pengurusnya. Dia melihat perkara itu sebagai kebaikan tersendiri untuk kariernya yang baru hendak bermula.

"Saya tidak kisah jika tidak menjalinkan perhubungan cinta dalam tempoh yang ditetapkan ini. Saya rasa perlu untuk tumpukan sepenuh konsentrasi dengan kerjaya seni.

"Kalau ada teman wanita dalam waktu sekarang, barangkali saya tidak dapat menunjukkan komitmen. Malah sukar hendak membahagikan masa di antara karier dan perihal peribadi.

"Jadi lebih baik kalau saya hidup solo dahulu serta memantapkan diri sebagai penyanyi," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Cuma Satu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur minggu lalu.

Ingin mulakan hidup baru

Sambung anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia tidak mampu menipu diri dan peminat bahawa dia juga tidak terkecuali memiliki keinginan macam insan biasa yang mahu bersosial.

"Terus-terang saya juga ada ramai kawan perempuan. Tetapi saya hanya berkawan saja dan tidak sampai hendak menjalinkan cinta.

"Buat permulaan ini, saya ingin bercerita tentang kerjaya seni daripada berbicara tentang soal remeh-temeh ini," akui jejaka kelahiran 11 September 1985 berterus-terang.

Kalau ada sesiapa yang masih ingat, Shazroul sebenarnya menyertai rancangan realiti terkenal, Akademi Fantasia 4 (AF4) pada tahun 2006.

Shazroul bagaimanapun hanya sampai ke peringkat Prelude AF4 sekali gus mematikan impiannya yang tinggi melangit itu untuk berada dalam AF4.

"Waktu itu saya memang kecewa sangat sebab tidak dapat sertai AF4. Rasanya macam saya sudah hilang segala-galanya disebabkan saya mempertaruhkan harapan tinggi untuk berada dalam akademi.

"Nasib baiklah saya ada keluarga yang begitu menyayangi dan tidak henti-henti memberikan motivasi agar saya tidak berputus harap selepas tidak dapat masuk ke AF4.

"Bayangkan apabila dalam tempoh tiga tahun keluarga menggalakkan saya untuk menjadi penyanyi. Mereka yang terdiri daripada ibu-ibu saudara dan sepupu sanggup menghulurkan bantuan kepada saya untuk menjadikan saya sebagai artis.

"Mereka nampak bakat dan kebolehan saya menyanyi lalu mereka bersepakat untuk mengumpul dana agar saya muncul dengan sebuah album dan benar-benar diangkat sebagai penyanyi.

"Saya turut mengambil kursus vokal selama enam bulan dengan Hazami. Pada waktu sama, saya juga menerima undangan pertunjukan pentas. Pernah sekali dibayar paling banyak iaitu RM5,000 manakala paling kecil jumlahnya adalah RM300.

"Tetapi saya tetap bersyukur dengan bayaran yang diterima. Saya seboleh-bolehnya mahu memperkenalkan diri kepada khalayak terlebih dahulu.

"Sebagai pendatang baru, sudah pastilah saya kena menapak dari bawah demi bergelar penyanyi lelaki yang disegani suatu hari nanti," tutur Shazroul bersungguh-sungguh.

Penantian jejaka yang berbintang Virgo itu nampaknya tidak sia-sia. Malah sewaktu pelancaran album perdananya, Cuma Satu baru-baru ini, Shazroul muncul dalam keadaan serba-serbinya indah dan menawan.

Masakan tidak, pemuja Josh Groban, Michael Buble, Hazami dan Datuk Siti Nurhaliza itu membuat persembahan bertenaga selama setengah jam sambil dibantu pemuzik yang dikepalai oleh Edrie Hashim. Siap dengan dua penyanyi latar sekali.

Shazroul juga muncul dengan gaya menarik apabila penampilannya mendapat sentuhan perunding imej dan pereka fesyen popular, Syaiful Baharim. Lantaran itu, tidak hairanlah apabila sebagai pendatang baru dalam industri, Shazroul sudah bijak bergaya dan memiliki stail.

"Saya bersyukur dengan segala yang disediakan pada majlis pelancaran album ini. Semuanya dilaksanakan atas bantuan saudara-mara yang mahukan saya tampil kali pertama dalam majlis ini di depan klien, pihak media dan masyarakat dalam rupa yang positif," jelasnya.

Diperlekeh komposer tempatan

Bukan mudah sebenarnya untuk Shazroul muncul dengan album Cuma Satu yang memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM70,000.


DUA tahun menanti, akhirnya album Cuma Satu muncul juga di pasaran.



SHAZROUL bangga kerana akhirnya dia menjadi penyanyi rakaman.


Ada pahit serta duka yang perlu ditempuhi terlebih dahulu sebelum naskhah itu berjaya direalisasikan di depan mata.

Sebelum ini Shazroul pernah merakamkan sebanyak tujuh buah lagu dengan seorang komposer yang boleh dianggap popular di negara ini.

Tetapi disebabkan komposer itu seakan-akan ada muslihat tersorok dalam menyiapkan hasil kerjanya itu maka Shazroul lekas angkat kaki. Kisah hitam itu berlaku kira-kira dua tahun lalu.

"Komposer itu melenting tidak tentu pasal disebabkan saya tidak dapat hadir ke studio seperti yang ditetapkan untuk merakamkan lagu disebabkan ada masalah yang tidak boleh dielakkan.

"Saya bercakap dalam nada baik kepada komposer itu. Saya mengatakan tidak dapat pergi ke studio kerana ada hal. Selepas itu saya sarankan dia agar hubungi pengurus saya untuk perbincangan lebih lanjut.

"Dia terus memaki hamun saya sambil mengatakan saya berlagak dan menyombong diri disebabkan sudah ada pengurus walaupun album belum siap sepenuhnya.

"Dalam keadaan marah si komposer ini cakap kepada saya agar meninggalkan pengurus sedia ada jika saya benar-benar ingin bergelar penyanyi yang berjaya.

"Menyedari macam ada udang di sebalik batu lalu saya terus tinggalkan komposer ini dan tidak menghubunginya semula setelah kejadian tersebut," jelasnya sedikit kecewa.

Selain itu, Shazroul pernah diperlekeh oleh komposer tempatan saat dia mahu mendapatkan khidmat individu yang punya nama penting dalam bidang penggubahan dan penulisan lagu.

"Memang terasa perit sedikit pada awalnya kerana saya dan pengurus tidak berjaya mendapat khidmat komposer yang diingini. Masing-masing tidak ada kepercayaan terhadap kemampuan penyanyi baru macam saya.

"Bermacam-macam alasan diberikan kepada saya tatkala mahu meminta lagu. Kononnya sibuk menghasilkan lagu untuk penyanyi lain. Bahkan memberikan janji palsu kononnya untuk berikan lagu kepada saya. Namun sehingga ke sudah saya masih tidak dapat maklum balas daripada individu ini.

"Kecewa jugalah apabila berdepan dengan pengalaman ini. Tetapi saya dan pengurus tidak mudah patah semangat dengan dugaan awal ini. Lantas kami ambil keputusan untuk mendapatkan khidmat komposer dari Indonesia, Ryan Kyoto setahun yang lalu.

"Kesudahannya saya berjaya dapat tiga lagu daripada Ryan yang berjudul Selamanya, Telah Terhenti dan Cuma Satu. Dalam waktu sama, saya juga mendapatkan khidmat komposer, penyanyi dan guru vokal, Hazami untuk lagu Usah Sesali dan Cinta Luhur.

"Alhamdulillah apabila Cat Farish dan Adeep turut menyumbangkan sebuah lagu iaitu Satu. Selain itu, saya ada juga terima lagu daripada muka-muka baru seperti Riza Omar dan Mufizal Mokhtar untuk lagu Untuk Ku serta Farhana Jasni dan Nurul (AF2) untuk lagu Permata Di Jiwa.

"Lalu akhirnya muncul album penuh saya, Cuma Satu setelah dua tahun menanti dengan penuh sabar," jelasnya sambil tersenyum kepuasan.

Album Shazroul yang diterbitkan oleh 2 P's In A Pod Sdn. Bhd. itu boleh dibeli di Internet dengan melayari laman sesawang www.2ps.com.my atau boleh berhubung terus di talian 019-606 0658 untuk urusan penghantaran secara terus.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 110