URBAN

Konsep tentera kafe CT-ONE

Konsep tentera kafe CT-ONE

Kafe berkonsep ketenteraan ini diilhamkan sendiri oleh Mejar (B) Adnan Hashim kerana cintanya pada tugas yang pernah disandangnya satu ketika dahulu.




BARU dilancarkan pada 11 Julai lalu, kafe berkonsep ketenteraan yang pertama di Malaysia, CT-ONE FORZE CAFE mula menarik perhatian masyarakat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Ini berikutan kelainan yang ditampilkan oleh pihak pengurusan kafe berkenaan terutama dalam aspek dekorasi, hiasan, penggunaan pinggan ala-ala tentera, layanan dan juga keunikan menu yang pasti menambat hati pengunjung.

Mengetengahkan pilihan warna hijau sebagai teras utama kafe tersebut, ia dianggap sebagai simbol yang sinonim dengan anggota tentera yang berkhidmat mempertahankan negara daripada serangan musuh.

Menurut Pengarah Urusan CT-ONE FORZE CAFE, Mejar (B) Adnan Hashim, kafe itu diwujudkan atas dasar cintanya pada kerjaya yang pernah disandangnya satu ketika dahulu.

"Sebagai seorang bekas anggota tentera, kerjaya ini telah terlalu sebati dengan diri saya. Justeru, selepas bersara, saya tetap mahukan ingatan mengenainya sentiasa mekar di fikiran.

"Atas sebab itulah, saya berusaha menubuhkan kafe ini sebagai salah satu lokasi santai untuk golongan veteran rakan-rakan tentera. Paling tidak, apabila berkunjung ke sini, mereka boleh mengimbas kembali kisah-kisah lama dan berkongsi pengalaman masing-masing," kata Adnan kepada Urban.


PELBAGAI menu menarik ala tentera sedia menanti kehadiran pengunjung.


Paling istimewa tambah beliau, kafe ini memberi potongan harga sebanyak lima peratus kepada bekas anggota tentera tanpa mengira pangkat bagi menghargai pengorbanan dan jasa mereka kepada negara.

Selain itu, CT-ONE FORZE CAFE bakal dilengkapi dengan Kios Maklumat Ketenteraan yang bertujuan memberi input-input berkaitan kerjaya ketenteraan kepada golongan muda yang mungkin tidak mengetahuinya.

"Melalui kios tersebut, usaha sedemikian diyakini akan membantu menaikkan semangat anak-anak muda serta golongan belia untuk menyertai atau berkhidmat sebagai anggota tentera," jelas beliau sambil menambah setiap pekerja di kafe itu berpakaian ala tentera dan akan memberi tabik hormat kepada pelanggan yang baru masuk ke kafe.


FIRDAUS WONG (kiri) dan Shahairi Kamarudin menunjukkan antara menu yang ada berlatarbelakang gambar pesawat juang tentera.


Dalam pada itu, suasana di kafe ini memang jelas menyerlahkan semangat ketenteraan menerusi pemilihan filem dan lagu yang bertemakan tentera serta patriotik yang sentiasa dimainkan sebagai halwa mata dan telinga pengunjung.

Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, kafe ini turut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi untuk memudahkan pengunjung melayari Internet tanpa sebarang bayaran dan juga ruang solat bagi mereka yang mahu menunaikan kewajipan tersebut.


PELANGGAN berpeluang
menikmati makanan dalam suasana unik sambil dilayan pekerja berpakaian celoreng.


Sementara itu, Penolong Pengurus Jualan & Pemasaran CT-ONE FORZE CAFE, Firdaus Wong, berkata, konsep kafe itu sesuai dengan temanya termasuk setiap menu yang dihidangkan juga berkonsepkan tentera atau dalam erti kata lain 'mententerakan makanan'.

"Pemilihan menu dilakukan secara kolektif untuk menjadikannya unik berbanding dengan menu biasa yang ada dijual di tempat lain.

"Antaranya ialah menu nasi hijau yang dihidang dengan aneka sajian sama ada chicken chop, gulai ayam, daging masak lemak, ikan keli dan sebagainya, bergantung pada selera pelanggan. Ia turut dikenali sebagai Military Set.

"Istimewanya sajian ini adalah ia dihidangkan di dalam messtin iaitu sejenis peralatan yang biasanya digunakan untuk memasak atau menghidangkan makanan jika bertugas di dalam hutan.

"Cara hidangan sedemikian juga membuatkan pelanggan akan merasai bagaimana seseorang anggota tentera menikmati makanan mereka," ujar Firdaus lebih lanjut.


SETIAP pekerja turut diterapkan dengan disiplin bercorak ketenteraan.


Tidak ketinggalan, air minuman yang dijual dinamakan sempena terma-terma ketenteraan seperti Ambush Drink, Military Delights Drink, Military Refreshing Fruit Juice dan Military Milk Shake.

"Ambush Drink, contohnya merupakan gabungan minuman bertenaga dan minuman biasa seperti oren, anggur dan sebagainya untuk memberi kesegaran kepada sesiapa yang menikmatinya.

"Begitu juga dengan minuman-minuman yang lain, semuanya mempunyai keunikan tersendiri dan sukar dilupakan selepas merasainya," kata Firdaus sambil menambah harga yang dikenakan juga amat berpatutan.

CT-ONE FORZE CAFE merupakan salah satu cabang perniagaan baru syarikat CT-ONE Corporation Sdn. Bhd. (CT-ONE) yang terlibat sebagai salah sebuah syarikat yang menguruskan pembekalan peralatan kepada Angkatan Tentera Malaysia.

Dengan keluasan 2,000 kaki persegi (610 meter persegi), kafe ini boleh memuatkan kira-kira 80 pengunjung dalam satu-satu masa. Ia juga menyediakan sebuah bilik khas yang boleh diduduki oleh 10 orang jika mahukan privasi ketika berada di sana.


KEWUJUDAN kafe ini membolehkan bekas anggota tentera bersantai sambil mengimbas kenangan silam.


Untuk jangka masa panjang, pihak pengurusan akan sentiasa memperbaiki serta memperkemaskan lagi ciri-ciri atau konsep ketenteraan dan kemudahan sedia ada dari semasa ke semasa melalui idea pengunjung yang terdiri daripada komuniti tentera dan orang ramai.

Malah, Adnan memberitahu, pihaknya mempunyai matlamat untuk membesarkan lagi perniagaan ini dengan pembukaan cawangan atau outlet-outlet baru menerusi kaedah francais yang mengutamakan kakitangan pengasas dan bekas-bekas tentera.

Berpegang pada cogan kata keramat 'Ya, Kami Boleh dan Doakan Kejayaan Kami', Adnan percaya CT-ONE FORZE CAFE akan mengorak langkah untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.





Process time in ms: 31