HIBURAN

Drama Cina, dialog Melayu

Drama Cina, dialog Melayu


BARISAN pelakon drama bersiri, Tentangan - Dendam (belakang) bergambar bersama (duduk dari kiri), Terry, Seai Kie, Ibrahim dan Vincent.


APABILA mendengar judulnya iaitu Tentangan - Dendam, pasti ada yang beranggapan ia sekadar drama tipikal yang sering dipersembahkan kepada penonton di kaca televisyen tempatan sebelum ini.

Hakikatnya drama bersiri 26 episod itu menampilkan warna yang berlainan, sekali gus berdiri kukuh sebagai sebuah drama Cina dengan menggunakan seratus-peratus dialog bahasa Melayu.

Tentangan - Dendam dikategorikan sebagai karya unik kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi satu-satunya stesenTV negara yang menjadi perintis kepada idea yang dicetuskan oleh mantan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.


JOLENE CHIN


Bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekankan konsep Satu Malaysia bagi menggalakkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini menerusi pengucapan bahasa kebangsaan dalam perbualan seharian kita.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Systemvation Sdn. Bhd. yang turut menerajui pembikinan drama berkenaan, Datuk Vincent Lye, dia berpendapat pihaknya perlu menyokong ilham yang diketengahkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan bersama.

"Systemvation tanpa berlengah lagi cuba mengaplikasikan Satu Malaysia ke dalam drama Tentangan - Dendam yang menggunakan sepenuh bahasa Melayu.

"Walaupun boleh dikatakan hampir semua pelakon yang membintangi drama bersiri ini terdiri daripada kaum Cina namun pertuturan mereka dilakukan dalam bahasa rasmi penduduk di Malaysia.


KENJI SAWAHI


"Ditambah dengan RTM yang berperanan sebagai media rasmi kerajaan maka kami melihat penyiaran drama Tentangan - Dendam ini bakal menimbulkan impak besar kelak," katanya semasa bercakap pada sidang media pelancaran drama berkenaan di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Senator Heng Seai Kie, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Datuk Ibrahim Yahaya dan para pelakon Tentangan - Dendam serta pengarah drama bersiri itu, Terry Chan.

Sambung Vincent, selain menerapkan elemen Satu Malaysia, drama tersebut juga memaparkan realiti sebenar dan ciri-ciri positif masyarakat Cina yang boleh sama-sama diikuti oleh semua kaum yang ada di negara ini.


ALVIN WONG


"Penonton dapat melihat sifat-sifat kaum Cina yang rajin berusaha, bantu-membantu dengan sesama manusia, mengambil berat soal bisnes dan tidak mudah mengalah dalam melaksanakan setiap perkara yang dihajati.

"Secara tidak langsung ia dapat menggalakkan sifat ingin maju ke hadapan dan semangat untuk mencapai lebih kejayaan kepada masyarakat masa kini.

"Memang pihak kami sengaja menyelitkan nilai-nilai murni menerusi Tentangan - Dendam bagi memberi pendidikan dan pengajaran kepada penonton," jelasnya panjang lebar.

Drama Tentangan - Dendam merupakan sambungan daripada musim pertama, Tentangan yang disiarkan di TV2 kira-kira setahun yang lalu.


WILSON TAN


Khidmat Terry bagaimanapun masih digunakan untuk musim terbaru yang menampilkan lebih banyak konflik serta aksi yang mendebarkan.

Tentangan - Dendam mengisahkan tentang kegigihan sebuah keluarga berketurunan Cina yang mengusahakan sebuah pusat peranginan. Mereka berhadapan dengan persaingan hebat serta masalah dalaman yang hampir memusnahkan seluruh empayar bisnes yang diusahakan sebelum ini.

Antara artis yang membintangi drama tersebut ialah Jason Chong, Alvin Wong, Gary Yap, Kenji Sawahi, Jolene Tan, Zoee Tan, Kelvin Lau, M. J. Tan, Joanne Chan dan Wilson Tan.

Menurut Vincent, drama Tentangan - Dendam akan ditayangkan selepas drama bersiri Gerak Khas yang sebelum ini kekal unggul dengan mendapat jumlah penonton sebanyak 1.5 juta.

"Saya harap potensi drama Gerak Khas yang disiarkan sebelumnya dapat melimpah ke slot seterusnya dalam Tentangan - Dendam sekali gus mencatat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak.


KELVIN LAU


"Drama ini memiliki mesej penting selain jalan ceritanya yang menarik. Kami percaya ia mampu meraih minat penonton. Terima kasih kepada RTM kerana menyediakan slot yang bersesuaian untuk drama ini.

"Persaingan untuk menarik penonton TV dilihat semakin sengit dalam waktu sekarang. Lantaran itu stesen televisyen tempatan sering mengadakan promosi besar-besaran untuk rancangan mereka.

"Itulah sebabnya syarikat kami turut membantu RTM dalam membuat promosi bagi meningkatkan kesedaran khalayak terhadap rancangan yang disiarkan oleh stesen televisyen ini," ujarnya.

Bagi menyaksikan drama bersiri hebat itu, jangan lupa untuk menyaksikan Tentangan - Dendam yang mula bersiaran sejak 26 Jun setiap hari Jumaat di TV2 bermula pukul 11.30 malam.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15