STAILO

Eksperimen piuter

Eksperimen piuter

Butik Paulini Heritage Craft yang berpangkalan di pasar raya besar Giant, Kelana Jaya, Selangor antara pengusaha aksesori klasik berasaskan bahan piuter.


AKSESORI klasik yang diilhamkan sesuai mengikut peredaran zaman.


SEMANGAT untuk memelihara aksesori tradisional dan mengangkat keunikan reka bentuk perhiasan itu ke persada antarabangsa menjadi pendorong pembukaan butik Paulini Heritage Craft.

Butik yang terletak di pasar raya besar Giant, Kelana Jaya, Selangor itu menawarkan aksesori klasik berasaskan bahan piuter yang menjadi lambang kemegahan di negara ini.

Pemiliknya, Salini Idris, 38, memberitahu, perkembangan industri fesyen yang lebih menjurus kepada item-item fesyen kontemporari menjadikan perhiasan diri tradisional yang menjadi warisan nenek moyang itu semakin dilupakan.


SADURAN emas dan perak meningkatkan kualiti aksesori tradisional.


"Memang benar, bukan semua orang meminggirkan aksesori tradisional seperti dokoh, tali pinggang besi, kerongsang berciri klasik, cucuk sanggul dan anting-anting. Tetapi, kebanyakan yang menggunakannya adalah warga emas.

"Generasi muda kini lebih terpengaruh dengan perhiasan diri moden, misalnya mutiara, kristal dan lain-lain lagi," kata wanita yang mengusahakan perniagaan itu bersama seorang rakan sejak tiga tahun lalu.

Wanita yang lebih mesra dengan panggilan Lini itu berkata, mengekalkan kesinambungan warisan tradisi Melayu menjadi agenda utama beliau menceburi diri dalam perniagaan pembikinan aksesori tradisional daripada piuter.

Lini yang sebelum itu pernah berkhidmat di salah sebuah firma yang menghasilkan barangan daripada piuter, menyedari keistimewaan bahan besi itu yang mampu mencipta nama seperti Royal Selangor yang menjadi ikon Malaysia.


BAHAN piuter lebih lembut dan mudah dibentuk berbanding dengan tembaga.


"Sedekad yang lalu, tidak ramai pengusaha berani membuat perniagaan aksesori klasik berasaskan piuter kerana industrinya kurang berkembang dan barang perhiasan tradisional lambat mendatangkan keuntungan lumayan.

"Pengalaman luas dan semangat ingin menjadi usahawan wanita mendorong saya menghasilkan aksesori klasik yang diolah sesuai mengikut zaman moden ini," ujar wanita yang berasal dari Sungai Siput, Perak itu.

Menurut Lini, koleksi aksesori jenama PH itu bukan sahaja klasik ataupun tradisional malah, ia juga kekal lama dan serba sedikit diadun dengan sentuhan kontemporari supaya sesuai untuk mana-mana penampilan.

"Selain menawarkan perhiasan diri tambahan, butik ini juga menghasilkan tepak sirih, bingkai gambar dan sebagainya untuk dijadikan cenderamata dan perkakasan dekorasi rumah," jelasnya.


SALINI IDRIS


Dalam pada itu, Lini berkata, bahan piuter lebih lembut dan mudah dibentuk berbanding tembaga. Ia juga lebih berkilat. Untuk meningkatkan keutuhan aksesori itu, kaedah saduran emas dan perak digunakan dalam masa yang sama supaya setiap rekaan kelihatan eksklusif.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu memberitahu, syarikat mereka juga bekerjasama dengan pihak Kraftangan Malaysia dalam mempromosi aksesori tradisional kepada masyarakat umum.

"Kami giat melibatkan diri dalam pelbagai pameran kraftangan anjuran pihak Kraftangan Malaysia yang berlangsung di dalam negara ataupun pameran-pameran dan festival seni yang berlaku di luar negara seperti Indonesia dan Paris.

"Penerokaan ke luar negara memberi ilham lebih unik dalam penghasilan rekaan yang lebih versatil dan masih mengekalkan keaslian reka bentuk," kata Lini yang kini sibuk menghasilkan koleksi terbaru untuk diperagakan di festival fesyen yang bakal berlangsung di kota London.

Lini bangga kerana selain pelancong asing, sebilangan wanita Melayu masih menggemari aksesori klasik untuk dipadankan bersama baju kurung, kebaya dan ada juga berani menyesuaikan dengan persalinan moden.




Misalnya, koleksi kerongsang bermotif flora, rantai tangan berciri klasik dan rantai yang mempunyai loket berbentuk empat segi mendapat sambutan pengunjung butik itu.

Orang ramai yang ingin memiliki koleksi eksklusif Paulini Heritage Craft, jangan melepaskan peluang mengunjungi butik yang beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Process time in ms: 63