RENCANA UTAMA

Memaksimum sisa buangan

Memaksimum sisa buangan

Idea Lembah Bio yang ingin diwujudkan Felcra bukan sahaja untuk mendukung komitmen hijau, bahkan menambahkan pendapatan di kalangan peserta tanah rancangan.




SEJAK dikorporatkan pada 1 September 1997, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) tidak lagi menoleh kebelakang.

Penukaran status daripada sebuah agensi berkanun kepada syarikat milik penuh kerajaan memberi peluang kepada Felcra meneroka bidang-bidang perniagaan baru.

Pada usia yang mencecah 43 tahun, Felcra yang kini dikenali Felcra Berhad telah melalui revolusi yang pantas, bahkan ramai peserta tanah rancangan terbabit sendiri seolah-olah tidak percaya apa yang dikecapi agensi berkenaan.

Satu demi satu transformasi diketengahkan dan setiap perubahan yang dilaksanakan, memberi nikmat dan manfaat secara langsung kepada lebih 94,000 peserta tanah rancangan Felcra di seluruh negara.

Tidak hairanlah, Felcra sejak penubuhannya telah berjaya mengagihkan dividen kepada ahlinya lebih RM3.1 bilion, sekali gus membuktikan bahawa agensi itu sentiasa mencatat keuntungan.

Namun bagi Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajudin Abdul Rahman, agensi itu tidak seharusnya terus selesa memainkan peranan sedia ada, malah perlu berani menggalas tanggungjawab yang lebih besar.


RUMPUT napier ditanam untuk makanan lembu. TENGAH: TAPAK projek perintis Lembah Bio. BAWAH: BENIH sawit di Lembah Bio di Felcra Seberang Perak.


Katanya, pelaksanaan projek sifar sisa bersepadu, Lembah Bio di semua ladang Felcra seluruh negara merupakan komitmen terbaru agensi itu.

"Komitmen ini bukan sahaja akan menjana lebih pendapatan kepada para peserta di semua tanah rancangan, bahkan Felcra juga bakal menjadi agensi seumpama pertama yang mengaplikasi disiplin bioteknologi dalam operasi seharian," katanya pada satu pertemuan bersama Kosmo! selepas majlis taklimat projek Lembah Bio di Felcra Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Nasir Baba dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin.

Mikrob

Sebagai agensi yang mendominasi kegiatan pertanian khususnya perladangan kelapa sawit, getah dan padi, Felcra melalui pelaksanaan Lembah Bio akan memaksimumkan penggunaaan semula sisa-sisa buangan dan menjadikannya produk bio baru yang menguntungkan.

Jelasnya, Felcra Seberang Perak telah dipilih dalam merealisasikan program berkenaan.

"Pelaksanaan program Lembah Bio adalah berkonsepkan sifar sisa melalui kitaran semula dan ia bukan hanya akan menghasilkan persekitaran yang lebih bersih serta mesra alam tetapi juga menjana pendapatan tambahan melalui produk-produk yang dihasilkan," katanya.

Melalui aplikasi bioteknologi ini, semua sisa dari kilang padi, sawit, kawasan perumahan peserta bahkan najis ternakan terutama lembu akan diproses menggunakan kaedah Efektif Mikro (EM).


FELCRA menyasarkan mahu menggantikan penggunaan baja kimia dengan baja organik. Gambar hiasan


Jelas Tajudin, EM tidak mengandungi mikrob yang khusus. Ia merupakan campuran mikroorganisma terpilih yang berupaya memberi pelbagai faedah.

Semua mikrob ini boleh didapati pada alam semula jadi dan berkebolehan melupus bahan organik dan seterusnya mengeluar bahan larutan yang berfaedah seperti asid amino, gula, alkohol, hormon dan sebatian organik.

"EM akan membantu kita mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan, memelihara ladang bebas daripada penyakit dan serangga selain memulih tanah yang bermasalah," katanya.

Proses ini ujarnya, akan menghasilkan beberapa produk yang akan digunakan semula di tanah-tanah rancangan Felcra termasuk baja dan racun serangga bioorganik serta makanan tambahan ternakan.

Katanya, buat permulaan Felcra menyasarkan mampu menggantikan penggunaan baja kimia di semua ladang di seluruh negara sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Di samping itu katanya, penghasilan baja organik itu kelak akan menjimatkan kos baja sehingga RM200 bagi satu hektar.

"Menjadi matlamat akhir untuk Felcra menggunakan 100 peratus baja organik yang dihasilkan sendiri namun pada masa sama, kita yakin satu hari nanti agensi ini mampu mengeluarkan sendiri jenama baja organik dan dipasarkan di luar," katanya.

Bahan buangan

Jelasnya, hasrat itu tidak mustahil kerana Felcra mempunyai kemudahan dan bahan mentah yang mencukupi di semua ladangnya di seluruh negara.

Selain bahan buangan sedia ada, Felcra menggalakkan para peserta dan generasi kedua menternak lembu dan kambing serta menanam jagung di kawasan rumah masing-masing.

"Najis lembu dan kambing berkenaan kemudiannya boleh dijual kepada Felcra untuk diproses menjadi baja organik. Pada masa yang sama, kita juga akan membeli batang dan akar pokok jagung yang ditanam untuk dijadikan bahan makanan lembu," katanya.


TAJUDIN meninjau projek perintis ternakan lembu fidlot Lembah Bio di Felcra Seberang Perak.


Bagi membangunkan projek Lembah Bio berkenaan, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan melibatkan 11 komponen projek berteraskan bioteknologi sepenuhnya.

Ia melibatkan ternakan lembu dan kambing secara fidlot, baja organik, tanaman kontan organik, ternakan akuakultur organik dan penghasilan beras organik.

Selain itu melalui Lembah Bio, unit fermentasi dan kompos, pusat makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D), bengkel pembungkusan serta pusat perniagaan rehat dan rawat akan diwujudkan.

Beliau berkata, projek itu dijalankan dengan usahasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan agensi-agensi lain.

Sebagai langkah awal pelaksanaan, sebanyak empat buah kandang lembu fidlot telah dibina di Felcra Seberang Perak pada Mac lalu dan kemasukan lembu terbabit akan dilakukan pada Ogos ini.

"Projek ternakan ini juga melibatkan penanaman rumput napier yang akan menjadi makanan utama lembu terbabit. Buat masa ini tanah seluas lapan hektar di sini telah pun ditanam dengan rumput berkenaan dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang," katanya.

Pemangkin

Menurut Tajudin, projek ternakan terbabit akan bertindak sebagai nukleus dan menjadi pemangkin kepada penternakan lembu bukan sahaja di kawasan penempatan Felcra berkenaan bahkan di sekitar kawasan Seberang Perak.


NAJIS ternakan terutama lembu akan diproses untuk menjana pendapatan tambahan melalui produk-produk yang dihasilkan.


Optimis Lembah Bio mampu menaiktaraf kehidupan lebih 94,000 peserta Felcra dan ahli keluarga mereka, Tajudin memberitahu, kepakaran yang dimiliki Pusat Latihan Felcra di seluruh negara akan digunakan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Pusat latihan berkenaan akan menyediakan modul-modul latihan yang berkaitan langsung dengan aplikasi bio-teknologi ini termasuk bagaimana proses EM, ternakan organik, tanaman kontan organik dan sebagainya," katanya.

Katanya, Felcra yang ketika ini bertanggungjawab mengurus dan membangunkan tanah seluas kira-kira 262,160 hektar di seluruh negara dengan pelbagai projek pertanian yang berdaya saing akan terus memastikan peserta yang bernaung di bawah agensi itu mendapat manfaat sewajarnya.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0