RENCANA UTAMA

Melindungi enggang hutan

Melindungi enggang hutan

Selain melindungi habitat penting spesies burung-burung ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga mahu perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor.




KOMPLEKS hutan Belum-Temengor yang terletak di Perak berusia lebih 130 juta tahun iaitu lebih tua daripada Hutan Amazon dan Congo.

Laporan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) pada tahun 2005, menunjukkan kompleks hutan tersebut dilihat sebagai salah satu kawasan hutan terpenting di Semenanjung Malaysia yang memberi perlindungan kepada pelbagai flora dan fauna dunia yang terancam.

"Ini menjadikan kawasan hutan seluas kira-kira 266,170 hektar itu satu kawasan keutamaan yang harus dipelihara," ujar Pegawai Pemuliharaan Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS, Ravinder Kaur, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ravinder berkata: "MNS telah menganjurkan dua ekspedisi saintifik di kompleks hutan Belum-Temengor pada 1994 dan 1998 untuk merekodkan biodiversiti yang ada.

"Hasil daripada itu telah mencetuskan hasrat persatuan untuk menjadikan hutan yang penuh dengan khazanah alam itu sebagai sebuah hutan yang terlindung."

Semasa ekspedisi tersebut, MNS telah menyaksikan ribuan burung enggang hutan daripada spesies Aceros subruficollis yang kini terancam, terbang secara berkumpulan melalui hutan tersebut.

"MNS telah memulakan sebuah projek usaha sama jangka masa panjang untuk memulihara kompleks hutan Belum-Temengor yang dikenali sebagai Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS sejak lima tahun lalu," katanya sambil memaklumkan bahawa Hutan Belum-Temengor dikenali di serata dunia sebagai Kawasan Penting Burung (IBA).

Projek Pemuliharaan burung enggang MNS itu turut ditaja oleh Sime Darby Plantations Sdn. Bhd.




Burung enggang merupakan salah satu burung terbesar di hutan tropika Asia Tenggara. Sungguhpun mudah dikenali, namun burung yang tergolong dalam famili Bucerotidae itu masih belum dikaji dengan mendalam.

Di Asia, terdapat 31 spesies burung enggang daripada lapan genera yang telah dikenal pasti.

"Daripada jumlah tersebut, 10 spesies burung enggang dikenal pasti daripada enam genera yang boleh ditemui di hutan Malaysia.

"Menariknya, kesemuanya boleh dijumpai di kawasan Taman Negeri Diraja Belum dan hutan simpan Temengor yang dirujuk sebagai kompleks hutan Belum-Temengor," kata Ravinder yang telah terlibat selama tiga tahun dalam projek tersebut.

Burung enggang hutan yang telah dinamakan sebagai spesies fokus utama di kompleks hutan Belum-Temengor itu pernah digambarkan secara saintifik oleh Blyth pada tahun 1843.

Ravinder turut memberitahu bahawa burung tersebut sering kali dikelirukan dengan enggang gunung yang kelihatan hampir sama.

Sungguhpun sukar, tetapi perbezaan boleh dilihat di bahagian paruh dan kantung yang terdapat pada burung berkenaan.

Muncul di Perak

Pada mulanya spesies ini dipercayai tidak didapati di Malaysia, tetapi buat kali pertama pada tahun 1993, ia telah ditemui hinggap di sebuah tasik di Perak dan dipercayai mengunjungi kawasan itu secara bermusim semasa pokok Parkia berbuah pada bulan Ogos sehingga September.

Merujuk laman web www.orientalbirdclub.org yang menerbitkan jurnal hasil pemerhatian Ho Hua Chew dan Sutari Supari, spesies burung enggang yang ditemui di tepi Tasik Kenering, Perak telah disahkan sebagai burung enggang hutan oleh peneraju penyelidikan burung istimewa itu, Dr. Pilai Poonswad.

"Dengan bunyi keh-kek-kehk yang lebih kuat dan nyaring, burung ini berhijrah dari Myanmar dan Thailand ke Malaysia pada musim buah.

"Dari bulan Jun sehingga September, kita dapat melihat ribuan burung ini terbang di sekitar tasik," ujar Ravinder.


RAVINDER memaklumkan pemantauan terhadap kepelbagaian spesies enggang di kompleks hutan Belum-Temenggor dilakukan dengan teliti.


Laman web BirdLife International memaklumkan pada tahun 1993, populasi burung enggang hutan dianggarkan kurang 1,000 ekor.

"Walaupun demikian, penemuan satu lokasi hinggap yang dikunjungi kira-kira 900 ekor burung ini di kawasan selatan kedua-dua negara tersebut telah mencadangkan bahawa nilai tersebut perlu diimbas semula.

"Beberapa ribu ekor burung telah mengunjungi satu atau dua lokasi sarang di sebelah utara Malaysia dan kawasan ini jelas menunjukkan bahawa ia menyokong populasi penting burung tersebut," katanya.

Menggemari kawasan hutan hijau, khususnya yang bertanah rendah dan bukit yang mempunyai ketinggian sehingga 1,000 meter, spesies tersebut mempunyai diet yang pelbagai.

"Makanan utamanya bukan sahaja buah-buahan, tetapi juga haiwan invertebrata dan vertebrata kecil. Ia akan bersarang dari bulan Januari sehingga Jun di dahan pokok yang besar dan tinggi," jelas Ravinder.


FORMASI terbang berbentuk huruf V burung enggang hutan.





Sungguhpun membiak di Thailand, tambah wanita tersebut, kawasan Belum-Temengor merupakan kawasan penting bagi spesies berkenaan.

"Kami mendapati kawasan Belum-Temengor penting kerana faktor makanan yang ada di hutan tersebut,"tambahnya.

Dengan formasi terbang berbentuk huruf V, Ravinder berkata, corak terbang itu sama setiap kali burung-burung tersebut berhijrah ke Perak.

"Sekiranya burung ini tidak dilindungi, habitat pentingnya akan musnah dan lama-kelamaan, ia akan hilang dari muka bumi."

Dalam usaha memelihara spesies penting itu, Ravinder berkata, MNS turut bekerjasama dengan penduduk Orang Asli di Belum dan Temengor, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan beberapa pihak lain.

"Kerja-kerja pemeliharaan melibatkan bancian untuk menentukan penyebaran, status, saiz populasi dan keperluan sebenar dalam setiap habitat.

"Burung ini memerlukan pokok besar untuk tinggal. Oleh itu, tidak menghairankan jika kita nampak lebih daripada beberapa ekor burung bersarang pada sebatang pokok besar," jelas Ravinder.

Sehubungan itu, katanya, peranan penting yang dimainkan oleh pokok-pokok besar dengan kehidupan burung enggang perlu diberi perhatian.

"Lubang pada pokok besar merupakan sarang burung-burung ini. Sekiranya bilangan pokok-pokok besar berkurangan akibat aktiviti pembalakan, maka populasi burung enggang hutan turut menerima kesan."

Dalam pemantauan yang dilakukan pada tahun lalu, sebanyak 3,261 ekor burung enggang spesies berkenaan telah dicatatkan.

"Melalui program sukarelawan kami, bancian dilakukan dengan beberapa individu berada di atas sebuah bukit tinggi dan melihat arah yang berbeza.

"Untuk mengelakkan kiraan yang berulang, kami telah meletakkan garis had," jelas Ravinder.

Menyebarkan benih

Burung enggang amat penting dalam penyebaran benih. Kehadiran mereka menyebabkan hutan sihat. Mereka seperti 'petani hutan'.

Burung enggang, kata Ravinder lagi, merupakan burung yang berdedikasi.

"Burung enggang betina akan mengurung diri mereka dalam lubang sarang untuk mengeram telur dan membesarkan anaknya, sementara burung jantan akan keluar mencari makanan

"Si ibu tidak akan meninggalkan anaknya sehingga ia matang dan mampu terbang sendiri. Ada pihak mengatakan sekiranya si bapa mati, keluarga itu juga akan mati," kata Ravinder yang tidak menafikan adakalanya disebabkan keadaan benar-benar terpaksa, burung betina akan keluar dari sarangnya untuk mencari makanan.

Beliau menambah: "Bermula dengan penumpuan pada burung enggang hutan, kini projek pemeliharaan itu telah berkembang dengan turut melibatkan aktiviti pemantauan terhadap sarang-sarang spesies lain burung tersebut.

"Setakat ini, dengan kerjasama Orang Asli di hutan sekitar Belum-Temengor, kami berjaya mengesan 10 sarang dengan empat daripadanya masih aktif.

"Sungguhpun demikian, populasi burung enggang didapati berkurangan dengan pantas disebabkan aktiviti pemburuan haram dan pemusnahan hutan di habitatnya," ujar Ravinder.

Beliau memaklumkan bahawa kumpulan projeknya masih belum berjaya menemui lokasi tepat sarang burung enggang hutan sungguhpun tinjauan udara dan tanah telah dilakukan.

"Ini disebabkan keadaan hutan yang tebal dan juga pokok tinggi yang dijadikan sarang, menyukarkan kita menemuinya," jelas Ravinder.


BURUNG enggang hutan menggemari pepohon besar dan tinggi.


Wanita berusia 27 tahun ini berkata: "Matlamat kami adalah untuk memelihara kompleks hutan Belum-Temengor kerana peranan besar yang dimainkannya dalam ekosistem flora dan fauna.

"Kami berharap dapat membangunkan kajian burung enggang dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan burung istimewa ini kepada ekosistem hutan di Malaysia.

"Bukan hanya itu, MNS juga berharap perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor dapat dilakukan."

Process time in ms: 32