PESONA

Cabaran memasak di Akademi Baba's

Cabaran memasak di Akademi Baba's

Akademi 1001 Rasa Baba’s dengan format TV realiti menampilkan 128 orang peserta yang kurang mahir memasak untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai RM10,000.


BUKAN otai atau pakar masak yang dicari, sebaliknya individu yang kurang mahir memasak.


MUSIM kedua Akademi 1001 Rasa Baba's mula menemui penonton sejak 3 Mei lalu, pukul 7 malam di TV9 dengan pelbagai kelainan.

Kali ini rancangan realiti program masakan yang dikendalikan oleh syarikat pengeluar rempah ratus terkenal, Baba Products (M) Sdn. Bhd., itu, menampilkan seramai 128 orang peserta bagi merebut wang tunai sebanyak RM10,000.

Apa yang menariknya mengenai program itu, bukan 'otai' atau pakar masak yang dicari, sebaliknya remaja dan golongan dewasa yang terdiri daripada mereka yang tidak tahu memasak.


PENULIS (kiri) berkesempatan memasak pada majlis pelancaran Program Akademi Baba's musim kedua.


Uji bakat pencarian peserta dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, para peserta terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan antara 18 hingga 35 tahun itu. Mereka dilatih oleh 13 orang tenaga pengajar.

Tenaga pengajar terdiri daripada tukangmasak tempatan yang berpengalaman dan chef-chef profesional. Ia juga merupakan bekas pemenang siri pertandingan masakan Cabaran 1001 Rasa Baba's.


PARA pelajar juga akan mendapat tip-tip masakan yang berguna daripada chef-chef terkenal.


Ketua Bahagian Pengiklanan dan Promosi, Claudian Navin Stanislaus berkata, akademi ini bukan sahaja pertandingan memasak, tetapi juga sebagai tempat terbaik untuk para peserta belajar memasak.

"Sebanyak 32 resipi terbaru, mudah dan menyelerakan disediakan oleh para peserta di samping mendapat tip-tip yang berguna daripada chef-chef terkenal," katanya selepas merasmikan musim kedua, Akademi 1001 rasa 2009 di Vision Studio, Petaling Jaya.

Claudian memberitahu, program itu diteruskan kerana ia adalah sebuah program realiti yang berbeza dengan program yang sedia ada.

Pada masa yang sama, ia mendapat sambutan daripada penonton.


PARA pelajar dilatih oleh 13 orang tenaga pengajar.


"Program ini mendapat rating yang tinggi dalam kalangan penonton, justeru ia diteruskan untuk musim yang kedua," katanya.

Bagi musim kedua ini, program Akademi 1001 Rasa Baba's masih mengekalkan Chef Kamarul sebagai hosnya.

Para penonton juga akan melihat pelbagai telatah yang mencuit hati daripada para peserta apabila mereka diusik oleh chef-chef yang mengendalikan setiap episod.


SEBANYAK 32 resipi perlu dimasak oleh para peserta dengan menggunakan rempah ratus Baba’s.


Dalam pada itu, bukan peserta sahaja berpeluang menjadi juara. Dengan hanya menonton rancangan tersebut, para penonton juga turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Peraduan penonton di rumah menawarkan hadiah wang tunai sumbangan Baba's, telefon bimbit LG dan set meja Claytan.

Process time in ms: 31