GARAJ

Proton, Perodua sebumbung

Proton, Perodua sebumbung

Sejauh manakah penggabungan Proton dan Perodua bakal memberi input positif kepada kedua-dua syarikat pengeluar kereta Malaysia ini?




TAHUN 2009 adalah tahun paling mencabar dalam dunia automotif. Kesan langsung daripada krisis subprima Amerika Syarikat (AS) yang merebak ke Eropah, kini menular di benua Asia.

Industri Automotif AS merupakan penanda aras terhadap ekonomi mereka secara keseluruhan. Jatuhnya konglomerat seperti GM dan Chrysler adalah titik mula terhadap kerapuhan industri yang sudah bertahan hampir 100 tahun lamanya di dunia.

Industri automotif sebenarnya perniagaan kejam yang amat menduga.

Lebih besar sesebuah pemilikan syarikat itu, maka lebih banyak sudut-sudut rapuh yang akan terbina tanpa sedar.

GM adalah contoh terbaik. Dengan memiliki genggaman saham besar di banyak negara, adalah sukar untuk memperlahankan kesan langsung impak ekonomi tersebut.

Selain memiliki Caddilac, Buick dan Chevy, GM terpaksa bertarung untuk memperjudikan masa depan Saab, Opel dan Daewoo dari dunia yang berbeza.

Meskipun tersenarai antara projek bail-out terbesar AS, ia juga tidak dapat bertahan.

Justeru, adakah syarikat-syarikat kecil seperti Proton dan Perodua terkecuali?

Tidak sama sekali. Malah, mereka seharusnya sudah mula memikirkan strategi untuk bertahan lebih baik dalam masa terdekat.

Kurang model bermakna kurang pembeli baru. Model baru yang salah juga akan terus menjahanamkan syarikat jika pertimbangannya tidak betul. Pada saat ini, apa juga tindakan yang bakal diambil akan memberi impak terus kepada syarikat.


ADAKAH penggabungan dua syarikat automatif ini mampu menyelamatkan mereka daripada kemerosotan ekonomi dunia?


Cadangan penggabungan Proton dan Perodua merupakan antara gesaan yang enak dan menarik untuk didengar, namun sukar dilaksanakan. Mungkin ramai yang mengandaikan, ia syarikat milikan negara seperti Kia dan Hyundai di Korea Selatan.

Namun, harus diingat, Hyundai dan Kia adalah dua contoh berbeza dalam industri yang bertunjangkan nasional.

Sedangkan di Malaysia, hanya Proton sahaja yang tinggal sebagai pembuat kereta nasional. Proton bergabung dengan Perodua adalah sama ertinya dengan menjual saham mereka kepada Toyota.

Banyak halangan yang perlu diselesaikan oleh kedua-dua pihak sebelum mereka boleh bekerjasama di bawah satu bumbung. Dari sudut positifnya memang banyak.

Mereka tidak perlu bersaing sesama sendiri. Satu model bagi setiap segmen dan satu model untuk satu pembeli. Kelebihan lain termasuklah perkongsian fasiliti, pembuatan perkakasan asli OEM, perkongsian vendor, pengagihan pusat pengeluaran, rangkaian pengedaran dan banyak lagi untuk disenaraikan.

Namun begitu, ia hanya dapat dilaksanakan sekiranya perkara yang paling asas dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Proton mungkin tidak menghadapi banyak rintangan. Paling sukar mungkin mendapatkan persetujuan daripada lembaga pengarah Khazanah Nasional yang merupakan pemegang saham terbesar dalam Proton Holdings Berhad.


PROTON semakin agresif dengan menghasilkan model-model jentera rekaan terbaik.


Daripada beberapa senario sebelum ini, seperti idea Proton bersama Volkswagen dan GM, kelihatannya Proton berpendirian tegas dalam memastikan Proton kekal sebagai entiti negara.

Jadi, seakan-akan ada sinar harapan untuk bergabung dengan Perodua. Jika sekalipun persetujuan ini dicapai, prosedur paling rumit ialah memastikan penyelesaian di pihak Perodua pula.

Perodua walaupun pada namanya merupakan Perusahaan Otomobil Kedua, namun hakikatnya ia tidak lebih daripada sekadar lambang Malaysia.

Saya pernah menggunakan ungkapan 'kereta tempatan yang diimport' pada Perodua Nautica. Ramai yang membidas. Malah diperhatikan, ramai pembaca tidak menyedari bahawa kereta tersebut merupakan Toyota Rush versi 'pendek' di Jepun.

Bukan memperlekehkan Perodua, namun sebenarnya kagum dengan corak pemilihan model, mengekalkan dan menamatkan pengeluaran model-model mereka. Setakat ini, mereka berjaya melakukan dengan baik. Lihat sahaja berapa banyak Myvi dijual setiap bulan malah, Kancil yang berusia 15 tahun dalam produksi itupun masih lagi dijual.

Strategi perniagaan beginilah yang membolehkan Toyota menjadi pengeluar kereta nombor satu. Corak pemasaran, kapasiti pengeluaran dan kawalan kualiti yang tinggi membolehkan Perodua kekal sebagai model terlaris tempatan.

Sebelum bergabung, Perodua harus melepaskan pegangan saham secara langsung daripada Daihatsu/Toyota. Ia bagi memastikan pegangan mutlak dalam syarikat yang membenarkan mereka membuat setiap keputusan.

Dengan kata lain, Proton perlu berunding dengan Toyota/Daihatsu untuk membolehkan kedua-duanya bersatu.

Perodua dimiliki UMW Corporation sebanyak 38 peratus dan Daihatsu 20 peratus. Selebihnya dikongsi bersama Daihatsu Malaysia, Mitsui, PNB dan MBM Resources. Sejarah telah melakarkan bahawa Toyota dan anak syarikatnya, Daihatsu bukan sahaja merupakan pembuat kereta yang cekap, mereka juga peniaga yang bijak.


KANCIL masih popular dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.


Penjenamaan tidak menjadi masalah. Masing-masing boleh mengekalkan nama produk, kelebihannya cukup jelas jika penggabungan ini berjaya kerana model-model seperti Savvy merupakan hot-hatch yang memang diimpikan jurutera Daihatsu.

Dengan rangkaian edaran yang besar di seluruh pelosok bumi, tidak mustahil Savvy akan kembali ke pasaran yang selama ini hanya menjadi impian Proton. Kereta sebaik ini sebenarnya jauh melepasi piawaian mana-mana model Daihatsu bersaiz K-Car.

Logiknya mudah. Daihatsu tidak perlu membelanjakan kos yang tinggi untuk menjual kereta dengan kadar piawaian rendah seperti di Malaysia. Tiada yang mempertikaikan keutuhan kerangka, apatah lagi teknologi seperti ABS, beg udara dan ESP yang begitu asing untuk dibicarakan sebagai perkakasan piawai dalam mana-mana kereta baru yang dijual di Malaysia.

Dari segi teori, sekiranya penggabungan ini terjadi sudah tentulah kesan positifnya dapat dilihat pada kedua-dua pihak. Tidak mustahil kumpulan ini bakal menjadi konglomerat automotif terbesar negara.

Malah, sehingga kini sebahagian besar pasaran kereta penumpang dikuasai oleh dua syarikat ini.

Impian ini sebenarnya memang boleh menjadi kenyataan, namun banyak jalan dan liku yang perlu ditempuhi sebelum kedua-duanya dapat tinggal sebumbung. Ia bukan mudah namun tidak pula mustahil.

Diva Interaktif!»

Datuk Siti difitnah?

SITI menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya mengenai perihal pemberian hadiah kepada wartawan demi menjaga hubungan baik.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0