URBAN
Bazar pasaran mewah
Apakah yang membezakan Bazar Hujung Minggu A:fair berbanding bazar-bazar sedia ada?

KEHADIRAN bazar-bazar di sekitar ibu kota bukanlah suatu perkara baru. Kehadiran bazar-bazar yang menjual pelbagai produk pada harga berpatutan ini merupakan punca pendapatan untuk menampung kos kehidupan harian.
Bazar Hujung Minggu A:fair satu keunikan yang membezakannya daripada bazar-bazar lain di ibu kota.
Dianjurkan oleh A:fair Event yang diasaskan oleh Zuhri Yusuf dan rakan-rakan kongsinya, bazar tersebut memberi fokus untuk membantu usahawan, mereka yang telah kehilangan pekerjaan dan penganggur.
"Inisiatif ini merupakan idea isteri saya, Marlena Mansor, yang mendapat ilham pembukaan bazar ini setelah menerima pelbagai e-mel daripada individu-individu yang ingin mencari peluang berniaga.
"Sebelum ini, kami bermula dengan aktiviti blogshop ataupun jualan-jualan melalui laman web dan lama-kelamaan ia berkembang kepada penganjuran bazar A:fair ini," kata Zuhri yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bermula di Kelana Jaya pada akhir bulan Februari lalu, bazar yang berpegang pada objektif untuk membantu individu tertentu ini telah berubah lokasi ke SoHo KL, Solaris Mont Kiara demi menarik lebih ramai pengunjung.
"Bazar tersebut dilancarkan secara rasmi pada 25 April lalu dan lebih 100 vendor terlibat dalam inisiatif tersebut," kata Zuhri yang memaklumkan bazar hujung minggu itu bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 malam.
Ia bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung dan memberikan masa yang banyak kepada penjual untuk meningkatkan jualan mereka.
"Kami mahu orang ramai tahu bahawa penganjuran bazar ini adalah untuk membantu mereka. Sehubungan itu, kami menawarkan potongan sebanyak 20 peratus kepada vendor-vendor yang merupakan graduan yang masih menganggur ataupun mereka yang kehilangan pekerjaan.
"Bagaimanapun, individu-individu berkenaan harus menunjukkan dokumen sokongan untuk membuktikan status mereka," ujar Zuhri diskaun tersebut diperluaskan kepada kumpulan-kumpulan lain seperti ibu-ibu tunggal.

Bazar Hujung Minggu A:fair berbeza daripada pasar lambak atau bazar-bazar lain kerana ia merupakan sebuah bazar yang seragam dan juga pasaran yang mewah.
"Contohnya, kami sebagai penganjur menyediakan pelbagai kemudahan kepada vendor termasuk meja, kain alas meja dan juga penyejuk udara bagi keselesaan kepada penjual dan pengunjung. Malah, kami juga menyediakan makanan dan minuman kepada vendor-vendor ini," kata Zuhri.
Di samping kepelbagaian barang jualan termasuk pakaian, barangan perkakasan rumah, kraf tangan dan juga makanan dan minuman, bazar berkenaan turut mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari.
![]() |
|
BANTAL kecil bersaiz empat segi bermotifkan flora. |
![]() |
|
KEK cawan berwarna-warni turutdijual di bazar ini. |
![]() |
|
|
Antaranya, persembahan band-band muzik, persembahan fesyen pakaian yang ditawarkan vendor, pertandingan-pertandingan dan juga ceramah perniagaan.
"Kami turut menyediakan konsultasi perniagaan secara percuma kerana objektif penganjuran bazar ini adalah untuk menarik pengunjung daripada setiap peringkat usia, khususnya kumpulan keluarga. Kami turut mendapat kerjasama daripada badan-badan seperti Yayasan Buah Pinggang Negara untuk mengadakan saringan kesihatan," katanya.
Sementara itu, isteri Zuhri, Marlena berkata : "Kami sebagai penganjur beroperasi pada margin yang tidak mengaut keuntungan banyak dan kami amat berpuas hati kerana dapat membantu golongan ini.
"Inisiatif seperti ini amat penting dan berguna khususnya dalam keadaan kemuraman ekonomi masa kini. Penganjuran bazar ini seumpama salah satu cara kami berbakti kepada masyarakat."
Penerapan konsep baru dalam bazar itu ternyata membuahkan hasil apabila syarikat berkenaan telah menerima beberapa permintaan agar bazar seumpama itu dibuka di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan terbaru, di Kuantan, Pahang.
"Di SoHO KL, bazar ini diadakan pada hujung minggu tetapi di beberapa lokasi lain seperti di pusat beli-belah Cineleisure Damansara dan KL Sentral ia akan diadakan secara harian untuk tempoh tertentu," katanya memaklumkan bahawa bazar di Cineleisure Damansara akan diadakan bermula pada 30 Mei sehingga 14 Jun ini dan di KL Sentral dari 1 Mei sehingga 1 Jun 2009.
Kedua-dua pasangan suami isteri yang berusia 27 tahun itu berharap penganjuran bazar tersebut bukan sahaja dapat membantu peniaga tetapi melihat kumpulan itu sebagai aspirasi individu lain untuk berniaga dan berusaha dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 017-603 5580 atau menghantar e-mel ke a.fairwknd@afairweekend.com. Maklumat terkini juga boleh diperoleh di laman sesawang www.afairweekend.com.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.







Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


