RENCANA UTAMA

Bakal sampai ke Jerman

Bakal sampai ke Jerman

Di sebalik pendedahan media mengenai pelbagai jenama coklat luar negara menggunakan bahan tidak halal dalam produk mereka, wartawan ADHAM SHADAN melaporkan alternatif jenama coklat Malaysia. Ia bukan sahaja halal, enak bahkan sudahpun menarik penggemar coklat dari Singapura dan Jerman.




Ungkapan Sense of Village Chocolate (Rasa Coklat Kampung) pada coklat Beryiel's Chinno itu bagaikan memberi gambaran dari mana asalnya. Dibungkus rapi persis coklat-coklat luar negara, ia merupakan coklat tempatan yang dihasilkan di Kluang, Johor.

Meskipun berasal dari desa, coklat buatan Malaysia itu mampu menawarkan mutu coklat setanding dengan coklat-coklat import. Beryiel's Chinno merupakan antara coklat keluaran syarikat Brely's Secret (BS). Selain Beryiel's Chinno, BS turut menghasilkan jenama coklat Brely's Secret dan La Vasse.

"Ungkapan itu seakan-akan memberi makna yang orang kampung juga mampu buat coklat," kata Ketua Pegawai Eksekutif BS, Mohd. Hairul Azizi Amat Tokimin ketika ditemubual Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo! berkesempatan mengikuti lawatan ke kedai coklatnya di Desaru, Johor tidak berapa lama dulu.

"Sebenarnya, coklat daripada industri kecil dan sederhana (IKS) seperti kami sama sahaja mutunya dengan coklat-coklat import dari luar negara. Rasanya pun sama enak. Cuma yang membezakan adalah jumlah yang dapat kami keluarkan," ujarnya sambil memberitahu pihaknya telah menghasilkan 60 jenis coklat.

Hairul, 29, menyifatkan coklatnya semakin mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat dan para pelancong terutama pelancong-pelancong Singapura.

"Mereka rasa coklat saya, lalu bertanya buat sendirikah? Mereka kata, ia sangat sedap. Mereka beli coklat saya dalam kuantiti yang banyak. Mungkin juga kerana nilai wang mereka yang lebih besar memberikan mereka kuasa membeli yang lebih besar," katanya.

Bahkan lebih membanggakan, coklat dari kampung buatan usahawan bumiputera itu telah berjaya memikat tiga buah syarikat Jerman ketika menyertai pameran coklat dan biskut di Colonge, Jerman baru-baru ini.

"Tiga syarikat Jerman tertarik dengan coklat kami dan berhasrat untuk memasarkannya di negara mereka," katanya sambil memberitahu BS dijangka memiliki kilang yang lebih besar di Gombak, Selangor pada Ogos ini. Ia dijangka mampu mengeluarkan 23 tan coklat dalam sebulan berbanding 1.5 tan sahaja di kilang di Kluang.

"Saya sedang memikirkan tawaran itu. Saya melihat ia sebagai jalan untuk saya menembusi pasaran antarabangsa, tetapi saya juga perlu mengukur baju di badan sendiri. Untuk menembusi pasaran antarabangsa, saya perlu mempertingkatkan keupayaan pengeluaran. Perancangan untuk mewujudkan kilang yang lebih besar ini juga didasari daripada matlamat untuk memperluaskan produk sehingga ke pasaran antarabangsa," ujarnya.


COKLAT-COKLAT keluaran Brely’s Secret ini kelihatan setanding dengan coklat-coklat import di pasaran.


Enggan menyalahkan stigma masyarakat tempatan yang biasanya memandang sepi produk tempatan, Hairul berkata, dia berusaha untuk melakukan pelbagai strategi dalam perniagaannya.

Antaranya, pembungkusan coklat seboleh-bolehnya dihasilkan setanding dengan coklat import. Pemprosesan coklat pula dibantu oleh mesin berteknologi Belgium, cuma kemasan akhir atau corak coklat adalah buatan tangan sendiri.

Lebih daripada itu, apa yang diusahakan ini juga sebagai satu fardu kifayah.

"Ia sebagai usaha untuk menghasilkan produk coklat yang halal. Saya akan pastikan ia bersumberkan yang halal. Saya tahu, terdapat banyak coklat import di pasaran yang tidak halal," katanya sambil memberitahu produknya diluluskan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Terbaru media pernah juga melaporkan, banyak jenis coklat import bukan sahaja dihasilkan dengan campuran minuman keras malah, tidak kurang juga yang menggunakan lemak haiwan yang tidak halal termasuk babi.

Dakwaan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dibuat berasaskan kepada penemuan bahan kimia emulsifier yang dikatakan mengandungi lemak haiwan berkenaan dalam adunan coklat.


KEDAI Brely’s Secret yang terletak di Desaru, Johor.



MOHD. HAIRUL AZIZI





Justeru, tentunya usaha yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan seperti BS dapat menyediakan alternatif terbaik kepada pencinta coklat.

Ditanya mengapa nama coklatnya tidak dinamakan dengan bahasa Malaysia atau kemelayuan, Hairul berkata, sebelum ini mereka menggunakan jenama Azwa.

"BS baru beroperasi sejak hampir dua tahun lalu tetapi kerja-kerja perusahaan coklat kami telah bermula sejak tahun 2006 lagi. Kami ada menggunakan nama seperti Azwa, tetapi ia sukar untuk memikat hati masyarakat kita.

"Dalam tempoh itu, kami buat kajian dan dapati kebanyakan coklat di dunia menggunakan nama daripada bahasa Perancis atau Latin. Maka, kami terpaksa mengikut keadaan itu jika mahu terus bersaing. Kini, dengan nama seperti Breyl's (yang bermaksud coklat), orang pun tidak tahu itu produk buatan tempatan.

"Tetapi, itu tidak bermakna, kami akan menggunakan nama-nama seperti itu selamanya. Ia cuma strategi sementara. Apabila produk kami sudah dikenali dan diterima masyarakat, kami akan menggunakan nama Melayu," katanya.

Hairul berkata, pihaknya tidak lupa untuk mengharmonikan coklat keluarannya dengan cita rasa tempatan. Mereka menghasilkan coklat berherba tongkat ali, kacip fatimah, roselle dan kayu manis. Selain itu juga, mereka menghasilkan coklat dengan perisa buah-buahan tempatan seperti durian, mangga dan pisang.

Coklatnya juga terlibat dalam usaha mempromosi destinasi menarik di Malaysia dan dijadikan ole-ole buat para pelancong di sekitar Desaru.

"Banyak agensi memberi galakan kepada usahawan muda untuk menceburi bidang keusahawanan. Koko untuk membuat coklat saya juga diperoleh daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM)," katanya.

Hairul menyifatkan industri membuat coklat merupakan industri yang amat berpotensi di negara ini, cuma masalah utamanya adalah kekurangan sumber koko.

"Kadang-kadang masalah kita untuk menembusi pasaran antarabangsa juga adalah kerana kita kekurangan sumber, sedangkan untuk eksport, ia memerlukan bilangan sumber yang besar secara konsisten. Faktanya, negara kita hanya mampu mengeluarkan 30,000 tan koko sahaja sebulan, sedangkan untuk menyemarakkan industri coklat, kita memerlukan keupayaan mengeluarkan 300,000 tan koko sebulan.

"Pihak saya dengan pemantauan LKM juga sedang berusaha membangunkan tanah tanaman koko berkeluasan hingga 300 ekar," katanya.

Jauh di sudut hati Hairul, apa yang dilakukan ini adalah bagi membuktikan bahawa produk orang kampung boleh berdiri sama tinggi dengan produk bandar dan luar negara.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, anak muda yang bercita-cita tinggi itu berkelulusan dari Universiti Putra Malaysia dalam jurusan arkitek landskap. Dia juga merupakan pemilik resort The Balau.

"Saya berasal dari kampung. Hidup keluarga saya dahulu amat susah. Nasi putih dengan garam pernah menjadi hidangan saya. Pernah juga tiga tahun berturut-turut keluarga saya ibarat tidak berhari raya apabila Lebaran tiba. Tidak ada pakaian baru dan melaluinya seperti hari-hari biasa.

"Kini, saya cuba membuktikan bahawa orang kampung juga boleh berjaya," ujarnya optimis.

Process time in ms: 16