GENK
Jangan takut bereksperimentasi

![]() |
|
|
BERMULA 23 April lalu, terbukalah sekali lagi ruang untuk bakat muda negara ini menyertai Anugerah Usahawan Kandungan Generasi Baru atau NextGen Contentpreneur Awards (NCA) 2009.
Setelah penganjuran NCA 2008 berjaya tahun lalu, anugerah itu kini datang lagi bagi menyemarakkan industri penyiaran, multimedia dan komunikasi. Pertandingan terbuka kepada para pelajar berusia 18 hingga 25 tahun itu menjadi wadah untuk warga muda mengenengahkan bakat mereka dalam penghasilan video pendek, video muzik, dokumentari, animasi dan reka bentuk grafik atau web.
Merupakan satu inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi peringkat kebangsaan, ia dianjurkan oleh Astro dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MSC Malaysia.
Penganjuran sulung pada tahun lalu yang ditutup penuh gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur meninggalkan kenangan indah buat para pemenang dan menjadi satu episod permulaan bagi menerobosi bidang berkenaan.
GenK berkesempatan menemubual beberapa pemenang anugerah NCA tahun lalu, baru-baru ini. Antaranya adalah sebuah kumpulan dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang mengungguli NCA 2008 dengan menggondol empat anugerah sekali gus.
Karya mereka berjudul Contaminated merangkul Anugerah Kesan Bunyi Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Anugerah Muzik Video Terbaik.
"Program ini sudah menjadi platform buat pelajar universiti atau kolej seperti kami untuk menonjolkan kreativiti dalam bidang kandungan multimedia. Ia satu peluang yang terbuka untuk kami mengenengahkan kemampuan kami kepada khalayak.
"Terima kasih kepada NCA kerana menganjurkan pertandingan seperti ini. Sebelum ini, agak sukar untuk kami mendapat peluang menonjolkan bakat dan mengenengahkan hasil karya kami kepada umum," kata Quek Shio Chuan, 23, yang mengetuai kumpulan yang dianggotai lima pelajar. Shio Chuan dan ahli kumpulannya ditemui Kosmo! di pejabat Astro Entertainment Sdn. Bhd., Seri Kembangan, Selangor.
Rakan-rakan kumpulannya ialah Racheal Chin Ying Yih, 23, Tan Jia Vern, 22, Quek Shio Yee, 19, dan Teoh Chin Hong, 23.
"Dengan adanya pertandingan ini, ia juga dapat memberikan keyakinan kepada kami atas apa yang kami usahakan. Sebelum ini, kami mungkin tidak tahu sejauh mana kualiti karya yang kami hasilkan. Tetapi, dengan adanya NCA, ia bagaikan memberi kepastian bahawa kami berada di landasan yang betul," tambah Shio Chuan.
Dalam pertandingan tersebut, pemenang setiap kategori membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000. Maka dengan ini, mereka memperoleh RM40,000 menerusi empat kategori yang dimenangi.
Shio Chuan berkata, sebanyak RM20,000 telah dikongsi sesama ahli kumpulan, manakala selebihnya dimasukkan ke dalam akaun projek.
"Wang yang dimenangi telah menyuntik semangat kami untuk menghasilkan projek yang lebih baik lagi. Kami gunakannya untuk menampung kos projek-projek baru kami. Dengan wang itu, ia sedikit sebanyak dapat merealisasikan rancangan kami untuk menghasilkan projek yang lebih baik. Maklumlah, untuk membuat projek yang lebih hebat tentunya memerlukan lebih banyak kos.
"Hasilnya, sebuah dokumentari yang kami hasilkan berjaya meraih anugerah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-6 anjuran Finas dan Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini," ujarnya.

Ceritanya lagi, kumpulannya juga telah dipelawa untuk membuat kerjasama menghasilkan filem dengan pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi yang lain.
Berhubung tawaran memohon bantuan kewangan sehingga RM1 juta daripada SKMM dan MSC bagi pemenang-pemenang untuk menerbitkan kandungan multimedia produksi sendiri, Shio Chuan berkata, pihaknya belum membuat permohonan itu.
"Kami belum bersedia lagi untuk itu kerana kami masih menuntut di universiti. Mungkin kami akan memohon apabila kami mula bekerjaya nanti," katanya.
Apabila ditanya apakah nasihat mereka kepada bakat-bakat muda yang ingin menyertai NCA 2009, rakannya, Tan Jia Vern berkata:
"Hantar penyertaan anda. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan kreativiti anda. Lagipun dari sini, anda mendapat pendedahan.
"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," kata Jia Vern sambil dipersetujui rakan-rakannya yang lain.
Selain itu, turut ditemubual GenK adalah sebuah kumpulan yang berjaya meraih anugerah Efek Bunyi Terhebat. Kumpulan tersebut diketuai oleh Mohd. Rasydan Naim,23.
"Saya dan rakan-rakan yang lain ingin merakamkan terima kasih kepada NCA kerana memberi ruang mengenengahkan bakat kami," katanya yang kini menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya.
Mohd. Rasydan dan rakan-rakannya memenangi NCA 2008 menerusi karya animasi mereka, Kesungguhan.
"Hadiah RM10,000 yang kami menangi telah kami gunakan untuk menaiktaraf komputer kami agar ia membantu menghasilkan karya-karya yang lebih hebat," katanya.
Bercerita detik lucu pengalaman menyertai NCA tahun lalu, Mohd. Rasydan bercerita, karya yang dihantar kumpulannya merupakan karya saat akhir.
"Ia merupakan karya yang berjaya kami siapkan di saat-saat akhir. Kami menghantarnya kepada pihak penganjur pada hari terakhir penyertaan. Penyertaan adalah dalam bentuk DVD dan kami hantar sampai 20 buah DVD!
"Alhamdulillah, karya kami dapat memikat hati juri dan dinobatkan sebagai pemenang bagi anugerah Efek Bunyi Terhebat," ujarnya.
NCA 2009 telah dilancarkan pada 9 April lalu. Penyertaan boleh dihantar dari 23 April hingga 23 Jun ini. Pertandingan itu melibatkan kandungan pendek (TV dan telefon bimbit), dokumentari, video muzik, animasi dan reka bentuk grafik atau web.
Turut dipertandingkan adalah anugerah Kandungan Pendek Luar Biasa (video TV), Kandungan Pendek Luar Biasa (video telefon bimbit), Dokumentari Serba Baru, Animasi Tiada Tandingan dan Kesan Visual Paling Mengagumkan.
Begitu juga Reka Bentuk Web Unik, Arahan Seni Luar Biasa, Kesan Bunyi Hebat, Reka Bentuk Grafik Menakjubkan, Video Muzik Cemerlang dan Penggunaan Media Kreatif.
Majlis anugerah NCA 2009 dijangka berlangsung pada 31 Julai ini.
Pengadilan dibuat berasaskan jalan cerita asli, konsep menarik, penciptaan berkualiti, persembahan dan pengalaman keseluruhan dari segi nilai hiburan dan tindak balas penonton.
Seperti mana NCA 2008, pemenang yang terpilih dalam setiap kategori dalam NCA 2009 juga akan memenangi trofi dan wang tunai RM10,000.
Untuk maklumat lanjut mengenai NCA, syarat dan peraturan pertandingan dan borang penyertaan, sila layari www.astro.com.my.





Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak