NEGARA

Camry bekas MB, Exco dilelong

Camry bekas MB, Exco dilelong


KERETA yang digunakan bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar ini juga akan dilelong pada bulan depan.


IPOH – Kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi bekas menteri besar dan Exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dikeluarkan semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai pukul 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.

Semua kenderaan yang didaftarkan pada 9 Januari lalu menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606.

Setiap unit kereta yang pernah digunakan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Perak itu dijual daripada harga rizab RM148,000 namun ia juga boleh dibeli secara pukal.

Kenderaan itu dikatakan mempunyai perbatuan rendah, baru digunakan untuk tempoh hanya sebulan hingga dua bulan dan masih mempunyai jaminan pengeluar selama tiga tahun.

Selain itu, kereta Toyota Camry terbabit mempunyai filem penapis haba bernilai kira-kira RM2,000, nombor pendaftaran orang kenamaan dan bebas daripada kemalangan.

Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskhah.

Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu pada 18 Mei ini.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47