GENK

Membangunkan orang muda

Membangunkan orang muda

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghuraikan cara untuk mengembalikan remaja masa kini menjadi insan yang berintegriti dan berjati diri.




KALAU sudah menjadi 'buluh', melenturnya tidak semudah ketika masih 'rebung'. Begitu juga dengan manusia. Apabila sudah bergelar remaja atau belia, membimbing mereka memerlukan pendekatan yang berbeza.

Jika mahu melentur mereka mengikut kemahuan kita, natijahnya mungkin hanya mengecas arus konfrontasi.

Memang gejala sosial yang melanda remaja hari ini meresahkan. Idea globalisasi yang mengorbit dunia menyukarkan lagi untuk kita lari daripada pengaruhnya. Budaya-budaya baru mudah meresap. Ada anak muda di Malaysia, misalnya, sanggup berdansa tarian 'aneh' di kaki-kaki lima dan sebahagiannya membuang masa tanpa hala tuju.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan, menurut Ismail Sabri (tengah), mahu menjadikan kegiatan remaja lebih terurus sekali gus membangkitkan unsur tanggungjawab dalam diri mereka.


Hasilnya, warga muda terjebak dalam kebejatan moral, menjadi insan yang ekstrem tetapi berminda lesu, lupa akar budi dan nilai murni.

Namun, dalam masa yang sama, di sebalik gejala itu, jiwa anak muda tidak boleh dipaksa mengikut telunjuk orang yang lebih berusia. Pepatah orang tua 'lebih banyak makan garam' jika dibisikkan kepada mereka barangkali hanya akan menjadi air yang disiram pada daun keladi.

Justeru, bagaimanakah caranya untuk mengembalikan remaja masa kini menjadi insan yang berintegriti? Apakah yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka masih boleh memiliki jiwa muda yang gemarkan elemen bebas, lasak, hiburan dan bercita rasa masa kini tetapi dengan jati diri yang kuat?

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara itu.

Dalam satu interviu dengan GenK di lobi Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ismail Sabri menghuraikan pendekatan kementeriannya dalam menangani isu-isu orang muda.

"Pendekatan yang digunakan oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah cuba memahami cita rasa dan aspirasi belia zaman ini.

"Kita tidak boleh menghalang mereka. Kalau kita terus menyekat minat mereka, mereka akan bertindak menentang kita dan akan memberontak," katanya.

Itulah sebabnya Kementerian Belia dan Sukan seboleh-bolehnya memberikan banyak ruang dan platform untuk remaja dan belia menyuarakan keprihatinan mereka. Contohnya, dalam program Rakan Muda.


REMAJA sepatutnya menjadi ahli Rakan Muda dan menyertai aktiviti dalam program-program Rakan Muda.



REMAJA yang berminat untuk menjadi mekanik boleh mendapatkan latihan di mana-mana bengkel di kampung mereka di bawah program Kementerian Belia dan Sukan.





"Program itu menawarkan blog dalam Internet untuk mereka berdebat mengenai isu-isu tertentu. Kalau persatuan belia pula, mereka mempunyai majlis rundingan belia di peringkat daerah untuk mengutarakan pendapat. Kami tahu orang muda mahu suara mereka didengar," katanya.

Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Temerloh dan mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang berpendapat, dalam memahami belia, masyarakat tidak boleh terus menghukum mereka. Ujarnya: "Kita tidak boleh memaksa nilai yang kita pegang ke atas mereka, tetapi kita perlu mengubah mereka secara tidak langsung."

Pendekatan yang dinyatakan itu nampak lebih praktikal dan dalam masa yang sama masih bersifat empati.

Bukankah empangan air yang besar kalau disekat hanya akan mengumpul tenaga kuat yang akan merempuh benteng sekatan, dan akhirnya membawa kesan yang lebih buruk?


SEMANGAT cintakan negara disuntik dalam program-program belia dan remaja.


Ismail Sabri menjelaskan, latar belakangnya sebagai peguam membuatkan beliau mengkaji, memahami setiap isu yang dihadapi oleh golongan muda dan tidak terus menghukum.

Kementerian Belia dan Sukan memberi ruang untuk belia melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

"Contohnya, remaja sekarang suka melakukan pelbagai aktiviti di kaki-kaki lima seperti tarian breakdance, shuffle dan aksi-aksi ekstrem sehingga mengheret kepada masalah moral. Dari kaki lima, kita sediakan satu tempat yang khusus untuk mereka beraksi. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada terus melakukan apa yang mereka sukai. Kita berikan kebebasan tetapi dalam masa yang sama masih terkawal."

Beliau memberi contoh Kementerian Belia dan Sukan telah mewujudkan beberapa tempat khusus untuk kegiatan-kegiatan sukan ekstrem seperti di Dataran Remaja di Bukit Jalil dan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara.

"Kita jadikan kegiatan mereka lebih terurus dan kita bangkitkan unsur tanggungjawab dalam diri mereka. Contohnya, ada remaja menari shuffle tanpa hala tuju di Jalan Bukit Bintang sebelum ini kini beralih ke Dataran Remaja di Bukit Jalil. Yang pakar dalam kalangan mereka, kita tiupkan sifat kepimpinan dalam diri dengan menjadi pengajar kepada yang lain.

"Kita adakan pertandingan-pertandingan mingguan dan bulanan untuk menarik lebih ramai remaja ke tempat beraksi yang sewajarnya. Kita sudah melakukannya. Hasilnya sudah mula nampak," katanya.

Menurut menteri itu, kajian pengukur perkembangan kualiti hidup Indeks Belia Malaysia (IBM) terbaru menunjukkan peningkatan berbanding IBM terdahulu. Skor IBM 2008 ialah 70.0 berbanding 68.7 dalam IBM 2006.

Belia ialah mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Pada masa ini belia merangkumi 46 peratus populasi Malaysia.

"Kita jangan melihat belia daripada aspek yang negatif sahaja. Anak muda sekarang sebenarnya mempunyai sisi positif tetapi kurang ditonjolkan," katanya. Beliau menambah: "Apa yang saya amati sepanjang menerajui kementerian ini ialah mereka lebih kreatif, informatif, berkeyakinan dan berfikiran terbuka."

Berdasarkan sifat kreatif yang ada pada mereka, kementerian menyerahkan kepada mereka untuk merancang aktiviti dan program sendiri berdasarkan kreativiti masing-masing.

Kementerian, misalnya, memberikan peruntukan RM3,000 untuk setiap persatuan belia. Mereka sendiri merancang program masing-masing menggunakan peruntukan tersebut.

"Ini bukan lagi zaman kerajaan merancang dan melaksanakan program dengan remaja menjadi peserta. Ini ialah zaman golongan remaja yang merancang, melaksana dan mereka sendiri menjadi peserta.

"Kita berikan kebebasan untuk remaja mencorak aktiviti mereka. Kita mahu mereka mengikuti program yang mereka selesa menyertainya," katanya.




Kementerian juga merancang agar setiap programnya mampu menjangkau seluruh komuniti dan kawasan di negara ini. Hujung tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan telah melancarkan banyak program antaranya Rakan Muda Kampung Baru Cina, Rakan Muda Estet India dan Rakan Muda Kampung Siam. Ini akan diperluaskan lagi kepada komuniti lain seperti Orang Asli, kaum-kaum di Sabah dan Sarawak, rumah pangsa, rumah Felda, kampung tradisional Melayu dan banyak lagi. Ini belum lagi disebut Rakan Muda Sekolah yang telah pun berjalan.

Nampaknya, semangat Kementerian Belia dan Sukan untuk menghidangkan lebih banyak aktiviti berfaedah khusus kepada remaja semakin membara. Baru seminggu lalu program 'Satu Komuniti Satu Persatuan' dilancarkan. Stesen radio khusus untuk remaja juga bakal bermula pada April ini.

"Setiap 222 kawasan Parlimen di negara ini juga bakal memiliki pusat siber. Sebanyak 1,200 gelanggang akan dibina dan ini mungkin membolehkan sebuah kawasan dewan undangan negeri mempunyai dua buah gelanggang sukan.

"Kita juga akan mewujudkan program latihan kepimpinan dan perkaderan yang bersifat pembangunan sahsiah, ciri kepimpinan, kerohanian, semangat jati diri, patriotisme dan sebagainya di daerah-daerah.

"Sekarang kita mahu menjangkau ke akar umbi. Tidak ada lagi program setakat peringkat negeri sebaliknya kita sasar lebih mendalam iaitu di daerah-daerah. Kita harap apabila banyak program diadakan, remaja tidak punya banyak masa untuk terlibat dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Kementerian Belia dan Sukan juga merancang lebih banyak lagi program untuk membantu belia dari sudut ekonomi dan memulakan perniagaan.

Antara yang menarik diperkatakan ialah program perantis.

Program itu membantu mana-mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berhenti sekolah untuk mendapatkan sijil latihan. Mereka boleh melakukannya di kampung masing-masing dengan seliaan modul kementerian. Kementerian tidak mahu menyusahkan mereka dengan memaksa belia itu mengikuti latihan di bandar-bandar yang jauh.

"Katakan remaja itu berminat untuk menjadi mekanik. Dia boleh mendapatkan latihan di mana-mana bengkel di kampung mereka. Kita akan beri elaun RM300 sebulan kepada belia ini dan mereka akan menjalani latihan selama enam bulan. Kemudian, kita keluarkan sijil untuk mereka," katanya.

Program-program yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu menunjukkan bahawa kementerian dan kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu melahirkan remaja yang memiliki towering personality (personaliti unggul) manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula ingin melihat kemunculan remaja glokal.

"Remaja ialah aset kepada negara. Kita mahu melihat aset ini berpemikiran global namun tetap menjunjung akar budi dan asal usul diri," kata Ismail Sabri.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31