HIBURAN

Emosi Raja Azmi terganggu

Emosi Raja Azmi terganggu

"Saya memang kaki wayang, begitu juga Roslin tetapi tidak suami saya. Kami memang selalu tengok wayang bersama tetapi dengan izin suami dan ditemani anak-anak" – Raja Azmi




MINGGU ini, nama penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman hangat diperkatakan. Bukan sahaja kerana filem 'panas' terbitannya iaitu Anu Dalam Botol tetapi ada pihak mendakwa kononnya Raja Azmi atau mesra dipanggil Kak Mi mempunyai hubungan terlarang bersama pemain badminton negara Roslin Hashim.

Cerita kontroversi itu bertambah hangat apabila ia hadir tepat pada waktunya iaitu ketika perkahwinan Roslin bersama bekas isterinya Faizah Mohamad runtuh dan hanya mampu bertahan selama 12 hari sahaja.

Maka, bertitik tolak daripada itu, banyak pihak memandang serong dengan hubungan baik bak kakak dan adik yang terjalin antara Kak Mi dan Roslin.

Ini termasuklah dakwaan yang mengatakan Kak Mi telah bercerai dengan bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek lima bulan lalu oleh sebuah laman web interaktif.

Berita itu telah mengejutkan mereka sekeluarga. Sementelah usia perkahwinan Kak Mi dan Jailani pada tahun ini genap 25 tahun.

Sehubungan itu, Jailani bersama Kak Mi dan Roslin mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, Khamis lalu seperti yang dilaporkan Kosmo! semalam.

Bagi mendasari kisah selanjutnya ikuti temu bual Kosmo! bersama Jailani, Raja Azmi dan Roslin.

Apabila berita Kak Mi dan Jailani telah bercerai dengan Jailani tersebar, apa reaksi Kak Mi?

RAJA AZMI: Saya ada baca cerita itu, mula-mula memang terkejut sangat macam tsunami melanda sebab selama ini kami bahagia tiba-tiba saja ada cerita tidak benar seperti itu. Tetapi bila berfikir dan anak-anak yang baca gosip itu turut tergelak sebab tidak sangka ibu bapa mereka jadi bahan gosip. Cerita itu berkait-kait dan seratus peratus tidak betul. Kami masih suami isteri yang sah!

Ada pihak mendakwa Kak Mi sebenarnya kekasih Roslin dan sebab itu Kak Mi bercerai dengan Jailani. Komen Kak Mi?

(Ketawa) Saya mengaku hubungan kami rapat sebab Roslin sudah tinggal bersama kami sekeluarga sejak 10 tahun lalu. Tetapi hubungan kami sudah macam keluarga, bak adik dan kakak. Bila pula saya bercinta dengan dia, kalau saya bercinta dengan dia buat apalah saya sibuk-sibuk carikan dia pasangan hidup dan menguruskan pertunangan dan perkahwinan dia. Macam saya cakap tadi, saya tidak pernah bercerai.




Tetapi pihak yang mendakwa itu mengatakan perkahwinan Roslin sekadar cover line cinta Kak Mi dan Roslin. Malah, kata pihak tersebut Kak Mi merupakan dalang kepada penceraian Roslin. Betul ke?

Jika benarlah nak cover line, kenapa hanya 12 hari sahaja. Fikir logik, kalau saya bercinta dengan Roslin dan nak cover line, mesti saya suruh dia jangan bercerai sebab boleh cover line untuk tempoh yang lebih lama. Sekarang ini keputusan cerai di tangan dia bukan saya atau sesiapa pun. Saya lagi nak lihat dia bahagia, tetapi tidak sangka pula jadi macam ini. Besar dosanya meruntuhkan masjid yang dibina, saya bukanlah orang seperti itu, cinta saya hanya pada suami sahaja.

Banyak juga pihak selalu melihat Kak Mi keluar berdua dengan Roslin. Mungkin sebab itu Kak Mi dan Roslin dikatakan bercinta.

Saya memang kaki wayang, begitu juga Roslin tetapi tidak suami saya. Kami memang selalu tengok wayang bersama tetapi dengan izin suami dan ditemani anak-anak. Mungkin orang yang melihat kami keluar berdua tidak ternampak anak-anak saya, sebab itu mereka cakap begitu.

Apakah gosip ini mengganggu perjalanan filem Anu Dalam Botol?

Ia sangat menganggu! Sekarang ini saya dalam proses menyemak skrip akhir dan saya terganggu sebab terpaksa melayan isu macam ini. Emosi saya juga terganggu kerana menanggung malu selain nama baik keluarga saya terjejas.

Sebab itu Kak Mi buat laporan polis?

Ya. Sebenarnya saya tidak kisah gosip-gosip ini, tetapi bila ia membabitkan suami saya dan mengatakan suami saya dayus kerana perangai saya, itu yang saya marah. Suami saya yang mengajak saya dan Roslin untuk buat laporan polis, biarlah polis siasat dan beri pengajaran pada mereka yang suka membuat fitnah tanpa usul periksa.


SELEPAS 25 tahun Raja Azmi dan Jailani mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga cahayamata, tiba-tiba muncul insan durjana yang menabur fitnah terhadap mereka.


Tindakan Kak Mi terhadap orang yang menyebarkan cerita ini?

Mengenai cerita kononnya kami cerai itu saya serahkan pada pihak polis kerana laporan telah dibuat. Cuma untuk orang yang menyebarkan cerita kononnya saya punca Roslin bercerai dan saya kekasih Roslin, saya akan saman pihak tersebut.

Penerimaan suami, bagaimana?

Suami saya sangat matang dan memahami situasi saya. Dia sentiasa ada di sisi tidak kiralah apa jua yang orang cakap pasal saya. Malah, hubungan saya, suami dan Roslin masih baik tidak ada yang berubah. Cerita-cerita itu tidak merenggangkan kami.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 62