STAILO

Perjalanan di pentas peragaan

Perjalanan di pentas peragaan

Apakah rahsia Azura terus bertahan di pentas peragaan selama 16 tahun?




TIADA siapa menyangka model berkulit sawo matang yang dahulunya kerap ditatap menerusi majalah fesyen dan wanita kini semakin bergaya dan yakin melangkah di pentas fesyen.

Acap kali berada di pentas sambil tubuhnya menyaluti busana rekaan pereka tempatan atau antarabangsa dan disusuli pula riak muka yang bersahaja serta kadangkala 'sombong', Azura sentiasa mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penonton.

"Walaupun sudah mencecah usia 30-an, Azura tetap vogue di atas pentas. Wajah, tubuh badan dan lagak gayanya mencerminkan Malaysia juga mampu melahirkan model bertaraf antarabangsa," bisik seorang kenalan yang kagum dengan kehebatan model tempatan, Tengku Norazura Tengku Awang, 34, ketika memperagakan fesyen rambut teknik sambungan anjuran salon Hair Kunst, The Curve Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mendekati model setinggi 178 sentimeter itu sangat menyenangkan. Terlalu banyak cerita yang mahu dikongsinya.

Walaupun pernah dilantik menjadi model rasmi untuk jenama Christian Dior, Asia Pasifik pada tahun 2000, Tengku Norazura atau nama glamornya Azura tetap mesra.

"Pengalaman menjadi duta Christian Dior merupakan detik manis sepanjang 16 tahun saya bergelar model.

"Namun peluang itu bukan tiket untuk membanggakan diri. Sebaliknya saya berusaha mempamerkan yang terbaik bahawa kita juga setaraf dengan model antarabangsa," jelasnya yang pernah memenangi pingat emas Model World Championship of Performing Arts (WCPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Model Terbaik Tahun 2003 dan Anugerah Stylo KL Fashion Festival 2008.

Staf restoran makanan segera

Mengimbas kembali kemunculannya di pentas fesyen tempatan, ibu tunggal kepada dua orang anak itu, Adam Mustakim, 12, dan Ilyas Ammar, 7, menyatakan semuanya berpunca selepas dia dilamar oleh agensi model Cilla & Associates di Kuala Lumpur.

"Sejak kecil hingga remaja saya tidak pernah menyimpan impian bergelar model. Meskipun ramai berpendapat personaliti yang saya miliki adalah ciri-ciri yang diperlukan bagi seorang model, tetapi saya pula berasa sebaliknya.

"Saya mempunyai rambut kerinting, tinggi lampai dan berbadan kurus. Saya kelihatan ganjil berbanding rakan-rakan yang lain," terang anak sulung daripada dua beradik itu.




Tambah bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Keramat, Kuala Lumpur itu, sebelum menjadi model dia terlebih dahulu bekerja di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Selepas waktu kerja saya gemar bersiar-siar di Lot 10.

"Satu hari ketika saya berjalan-jalan, tiba-tiba saya dihampiri oleh salah seorang kakitangan Cilla & Associates. Sambil menghulurkan kad perniagaannya, dia bertanyakan sama ada saya berminat menjadi peragawati. Saya hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang jawapan kerana bimbang sekiranya orang itu terlibat dengan sindiket menipu," imbas Azura yang akhirnya bersetuju selepas menyelidiki latar belakang agensi berkenaan.

Pada masa yang sama, Azura yang pernah menggayakan baju jenama antarabangsa Chloe, Salvatore Ferragamo dan Bulberry percaya kerjaya model mampu memberikan pendapatan sampingan. Malangnya, hasrat tersebut terhalang seketika kerana ibu bapanya kurang bersetuju. Mereka bimbang Azura terjebak ke kancah yang tidak diingini.

Namun, semuanya berjalan lancar selepas Azura berjanji menjaga tingkah laku dan tidak akan menerima tawaran menjadi model pakaian renang atau pakaian dalam.

Model pada usia 18 tahun

Akhirnya pada usia 18 tahun, wanita berbintang Sagitarrius itu mula menyertai agensi model terbabit. Pada peringkat awal, dia dilatih cara beraksi dan gaya berjalan dengan kasut tumit tinggi.


AZURA amat menitikberatkan soal disiplin.


"Hanya Tuhan yang tahu peritnya latihan tersebut. Bukan kerana dimarah atau berlatih dari pagi hingga malam. Amat sukar memperaga dengan memakai kasut tumit tinggi. Sebelum itu saya tidak pernah memakai kasut tumit tinggi," jelasnya yang pertama kali beraksi di pentas fesyen dengan menggayakan koleksi Bill Keith dan menerima bayaran sekitar RM60.


AZURA bergaya dengan busana Salvatore Ferragamo.



SAAT memenangi Anugerah Stylo KL Fashion Festival 2008.


Bercerita mengenai karier hariannya, Azura akan keluar rumah pada pukul 8 pagi untuk raptai sekiranya terlibat dalam pertunjukan fesyen pada sebelah malam.

Jika diberi rehat lebih daripada tiga jam, pada sebelah petang Azura mengambil kesempatan pulang ke rumah untuk menjenguk anak-anak. Kemudian dia datang semula untuk bersiap sedia, bersolek dan berdandan.

"Memang memenatkan tetapi mengenangkan rezeki ini untuk keluarga saya kuatkan semangat. Sebab itu, setiap kali tamat pertunjukan saya terus pulang ke rumah tanpa menyertai parti," ujarnya yang cukup dikenali dengan potongan rambut pendek sejak tahun 1994 sehingga kini.

Azura yang pernah melakukan pertunjukan fesyen di Hong Kong, Paris dan New York menambah: "Bagi golongan muda yang obses menyertai bidang peragaan, jangan hanya memikirkan glamor.

"Ketahuilah glamor yang diimpikan itu tidak terlaksana tanpa disusuli usaha, disiplin dan ketabahan berdepan dengan cabaran."

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 79