KESIHATAN

Tengok doktor 'koyak perut'

Tengok doktor 'koyak perut'


PEMBEDAHAN major memerlukan pesakit ditidurkan sepenuhnya. - Gambar hiasan.





SEMASA disorong masuk ke dalam bilik bedah, Suri masih berbual-bual dengan doktor yang akan melakukan pembedahan membuang fibroid pada rahimnya.

Bagi pembedahan yang berlangsung selama dua jam di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur itu, Suri memilih bius setempat kerana dia tidak mahu ‘ditidurkan’.

Suri tidak berasa sakit ketika doktor menghiris bahagian bawah perutnya. Cuma sekali sekala tubuhnya dirasakan bergoncang.

Bagaimanapun, denyutan jantungnya seakan-akan mahu terhenti apabila dia terpandang pada cermin yang terletak tidak jauh dari katil pembedahannya.

“Daripada pantulan cermin itu, saya nampak sendiri doktor sedang ‘mengoyak’ perut saya untuk memasukkan besi penahan bagi mengeluarkan isi fibroid itu.

“Ketika itulah, saya sedar betapa kuatnya ubat bius tersebut. Selepas pembedahan, seharian saya terasa kebas di bahagian pinggang,” kata Suri yang enggan nama sebenarnya didedahkan.

Anestetik atau dalam bahasa mudahnya, bius, amat biasa digunakan dalam pembedahan besar ataupun kecil.

Menurut Pakar Runding Anestetik, Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, Dr. Abd. Hakim Mohamad, ubat bius dihasilkan daripada dadah jenis barbiturat, benzodiazepins atau ketamine tetapi dalam dos yang dibenarkan.

“Risiko akibat bius selalunya berlaku disebabkan beberapa keadaan seperti penyaluran oksigen yang tidak mencukupi kepada pesakit.

“Selain itu, pesakit yang terlalu sensitif dengan ubatan akan mengalami kesan sampingan seperti ‘tidur’ yang boleh mencecah sehingga beberapa hari serta kebingungan.

“Kes yang lazim kami terima ialah pesakit tidak mengetahui mereka tidak mempunyai enzim pseudocholinesterase. Enzim ini berfungsi ‘mengeluarkan’ ubat bius yang disalurkan ke dalam tubuh pesakit secara semula jadi.

“Selagi ubat bius itu tidak keluar melalui saluran kencing, pesakit akan tidur. Lama atau singkat bergantung kepada keadaan tubuh pesakit,” katanya yang mengakui kaedah pembiusan setempat merupakan alternatif terbaik dalam kebanyakan kes pembedahan separa kritikal.

Ujar Abd. Hakim yang berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang ini, bius setempat lebih selamat, praktikal serta cepat.

“Seperti kes Suri tadi, ia jelas membuktikan keberkesanan bius setempat. Sebenarnya, dos yang diberikan cukup untuk membuatkan bahagian yang perlu dibedah, kebas dan seterusnya langsung tiada rasa sakit,” ujarnya sambil menunjukkan kit asas bius setempat.

Bius juga menyebabkan semua otot mengendur, begitu juga fikiran. Ini memudahkan doktor mengawal tubuh pesakit.

Kaedah anestetik


DR. ABD. HAKIM bersama alat bius.


Terdapat dua kaedah bius

1. Anestetik umum: Ia merujuk kepada bius seluruh badan pesakit. Kaedah ini digunakan bagi pembedahan major yang melibatkan bahagian kepala seperti membuang darah beku, kanser di bahagian perut, dada atau pembuangan apendiks yang telah pecah.

2. Anestetik setempat: Melibatkan pembedahan separa kritikal seperti patah anggota tangan dan kaki, serta ketumbuhan kecil.

n Sub anestetik setempat

1. Analgesia: Pesakit dibiuskan secara keseluruhan namun masih mampu memberi respons khusus terhadap ulangan atau simulasi kesakitan. Pesakit kadangkala tidak mampu bernafas.

2. Analgesia separuh: Ubat bius diberikan tetapi pesakit mampu memberi respons kepada arahan verbal.

3. Anxiolysis: Bius tahap sederhana ini membolehkan pesakit bertindak balas pada arahan lisan secara normal walaupun konsentrasi, memori dan koordinasi tidak seimbang. Pesakit juga tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Process time in ms: 0