PESONA

Kisah Nana dan Syukri

Kisah Nana dan Syukri

Indahkah kehidupan seorang anak yang ibu atau bapa mereka dikenali ramai? Nana dan Syukri berkongsi kisah hidup mereka.




LAZIMNYA ramai beranggapan hidup sebagai anak orang kenamaan dan dikenali ramai sering dilimpahi kemewahan dan keseronokan.

Malah, tidak kurang yang menganggap rakan-rakan yang mendampingi mereka juga dapat menumpang tuah.

Namun, tidak kurang juga yang melabelkan segelintir anak-anak kenamaan bersikap hidung tinggi, sombong dan sukar didekati kerana perbezaan status. Adakah mereka begitu memilih dalam hubungan sosial sesama rakan?

Bagaimana mereka membawa diri dalam masyarakat? Adakah mereka meletakkan darjat dan status dalam menentukan siapa individu yang layak didampingi mereka?

"Saya bukan jenis orang yang terlalu memilih kawan. Saya jenis yang mudah mesra dan boleh berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Pernah saya berkawan dengan seseorang, tetapi saya kecewa kerana dia bersikap tidak jujur, sebaliknya dia memandang pada kemewahan yang saya ada," ujar Noor Diyana Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika ditemui di rumah mertuanya di Mutiara Damansara, Damansara, baru-baru ini.

Bagi Noor Diyana atau mesra dipanggil Nana, 25, bukan mudah untuk menjadi anak kenamaan seperti yang disangkakan. Ini kerana, banyak pihak yang cemburu dan cuba mengambil kesempatan.

Tambahnya, disebabkan dia merupakan anak orang kenamaan, apa sahaja yang dia lakukan menjadi perhatian.

"Semasa di sekolah, guru-guru memberi layanan yang baik kepada saya. Bagaimanapun, layanan baik guru itu tidak menjadikan saya sombong dan lupa diri.

"Ayah sentiasa berpesan supaya tidak membangga diri. Saya sentiasa ingat kata-kata ayah itu," katanya yang pernah bersekolah di Sekolah Seri Subang Jaya, Sekolah Seri Aman, Sekolah Seri Hartamas sehingga melanjutkan pelajaran ke Kolej Bellerbys di United Kingdom.

Anak kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberitahu, ayahnya pernah berpesan kepada guru sekolahnya agar melayan Nana sama seperti pelajar lain. Jika Nana melakukan kesalahan, dia berhak menerima hukuman.

Melihat penampilannya yang bersahaja, tiada siapa menyangka wanita tersebut adalah anak kepada seorang bekas menteri besar.


POTRET keluarga bersama ibu, bapa, adik beradik, ipar, anak saudara serta suami dan anak.


Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu mempunyai kawan baik yang terdiri daripada orang biasa. Setiap hujung minggu, Nana pasti akan menghabiskan masa bersama kawan-kawannya.

Walaupun Nana sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, dia tetap meluangkan masa untuk bersama enam teman baiknya.

Enam teman baik Nana ialah Suraya Rawas, Nadirah Dali, Ilyana Azmi dan Arwin Rahman.

Menariknya, tempat lepak pilihan Nana dan kawan-kawannya bukanlah tempat yang berkelas tinggi, tetapi hanya di gerai-gerai mamak di tepi jalan.

Bagaimana dengan statusnya sebagai isteri dan ibu? Jelas wanita yang mendirikan rumah tangga pada usia muda itu: "Nana bertuah kerana memiliki suami yang baik dan bertanggungjawab iaitu Syed Hussein Syed Mustafa," katanya.

Syed Hussein, 26, merupakan salah seorang anggota kumpulan Ruffage dan memiliki perniagaan perkapalan bersama abangnya.

Selain itu, kehidupan Nana dan suami diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki iaitu Syed Taariq Al-Qudsy, 2. Nana kini sedang hamil anak perempuan yang bakal dilahirkan pada pertengahan April ini.

Bagaimanakah karektor ayahnya pada pandangan Nana?

"Ayah seorang penyayang dan lucu walaupun raut wajahnya kelihatan garang.

"Nana sangat rapat dengan ayah. Ayah mudah dibawa berbincang dan banyak memberikan nasihat dan idea-idea yang bernas," kata Nana.


BERSAMA bapa tersayang, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.


Tambah Nana, bapanya tidak pernah menghalang Nana untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Apa yang penting, Nana tahu membezakan sama ada orang tersebut berniat baik atau sebaliknya.

Walaupun bapanya sibuk dengan urusan kerja, tetapi beliau tetap akan meluangkan masa untuk bersama keluarga dengan membawa mereka sekeluarga bercuti.

Selain Nana, dia mempunyai dua orang kakak iaitu Noor Fansyurina, 29, Noor Aini, 27 dan dua orang adik iaitu Ahmady Karimy, 22, dan Noor Alia, 11.

Seorang lagi anak orang terkenal berkata: "Dahulu, saya pernah berasa rendah diri disebabkan tidak dilahirkan dalam keluarga berada. Saya hanya anak seorang peneroka dan tinggal di rumah setinggan.

"Kawan-kawan saya juga tidak ramai kerana masa saya banyak dihabiskan dengan menjaga adik-adik selepas pulang dari sekolah.

"Tidak cukup dengan itu, saya juga membantu ibu menjual kacang goreng, jeruk dan kuih sagu bagi meringankan beban ayah. Bila difikirkan balik, itulah pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila dan disebabkan itulah, saya sentiasa beringat dan tidak pernah lupa diri walaupun kini saya telah mengecapi kesenangan hidup," ujar anak kedua pengasas Sendayu Tinggi, Alif Syukri Kamarulzaman memulakan ceritanya.


SELAKU Ketua Pemasaran Sendayu Tinggi Sdn. Bhd., Syukri sering mengikuti program promosi produk di seluruh negara.



SYUKRI ketika belajar di sekolah pondok di Pasir Tumbuh, Kelantan.


Menurut Alif Syukri, 24, atau lebih mesra dengan panggilan Syukri, apa yang dikecapi pada hari ini adalah atas usaha dan penat jerih ibunya, Rozita Ibrahim yang banyak berkorban demi anak-anak.

"Semua ini kerana ibu. Jika bukan kerana ibu, kebahagiaan yang dinikmati sekarang tidak akan saya rasai," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di pejabat Sendayu Tinggi di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Adakah perubahan tersebut menyebabkan Ketua Bahagian Pemasaran Sendayu Tinggi Sdn. Bhd. itu lupa diri?

"Saya tidak pernah lupa asal usul kami. Malah, kesusahan itu akan saya ingat sampai bila-bila," ujarnya.

Syukri memberitahu, ibunya selalu berpesan agar pandai membawa diri dan menjaga nama baik keluarga. Dia juga dididik agar sentiasa bersederhana dalam segala hal.

Malah, ibu sentiasa menerapkan nilai-nilai agama kepada anak-anaknya. Justeru, Syukri dihantar ke sekolah pondok.

Alam persekolahannya bermula di Teluk Gadong, Klang. Dia kemudiannya dimasukkan ke sekolah pondok di Pasir Tumbuh, Kelantan bagi mendalami ilmu agama pada usia 14 hingga 16 tahun.

Selepas ibunya berjaya menjadi usahawan, Syukri dimasukkan ke sekolah swasta Integrasi As-Syakirin di Seksyen 13, Shah Alam. Semasa itu, mereka berpindah ke Subang Jaya, Selangor.

Ketika itu, jualan kosmetik Sendayu Tinggi sudah mula diterima orang ramai. Ia bermula dengan menjualnya kepada kawan-kawan dan jiran-jiran terdekat.

Bagaimana dengan kehidupannya sekarang? Syukri memberitahu, dia sangat gembira lebih-lebih lagi selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Ammar Ahyan, 8 bulan.


KIRI: BERGAMBAR bersama ibu tercinta, Rozita Ibrahim.
KANAN: POTRET kenangan pada majlis perkahwinan Syukri dan Nur Shahida. BAWAH: BAWAH: KEHADIRAN cahaya mata menceriakan kehidupan Syukri sekeluarga.


Syukri kini tinggal bersama isterinya, Nur Shahida Mohd Rashid, 23, dan keluarganya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Process time in ms: 62