GENK

Yoyooh.com aspirasi remaja

Yoyooh.com aspirasi remaja

Platform perbincangan, hiburan dan hobi Yoyooh.com kini menarik lebih 60,000 pengunjung sebulan.


YOYOOH.COM dapat meluaskan skop para pembaca berhubung sesuatu topik.


DILABEL sebagai media baru, laman sesawang Yoyooh.com merupakan platform khas untuk generasi muda negara ini mengaspirasikan pengetahuan dan pendapat mereka kepada khalayak umum.

Dinamakan Yoyooh, ia mudah untuk mendekati remaja memandangkan bunyinya menyerupai bahasa slanga remaja yang bermaksud 'ya lah tu'. Nama laman sesawang tersebut juga kreatif kerana mirip perkataan youth iaitu remaja.

Melalui pelbagai artikel berbentuk perbincangan, ilmiah hinggalah hiburan, Yoyooh.com dapat meluaskan skop para pembaca berhubung sesuatu topik.

Pembaca, sama ada seorang blogger atau pembaca biasa boleh mengemukakan apa sahaja pandangan mereka tentang sesuatu topik dalam ruangan original post. Anda boleh bercakap tentang isu semasa, hiburan, gender, makan, seni budaya dan banyak lagi.

Asalkan sahaja anda berdaftar menjadi ahli laman, anda boleh mengirimkan artikel atau pandangan anda termasuk menghebahkan apa-apa aktiviti untuk remaja. Tetapi, jika anda tidak menjadi ahli pun, anda masih boleh memberikan komen atas nama anonymous (tanpa nama).

Ruangan kolumnis pula merupakan ruangan artikel yang ditulis oleh individu tertentu yang dipilih oleh pihak pengendali web. Antara yang mengisi segmen kolumnis ialah Redmummy, Nama Saya Ello, Ok Moris, Corat-Coret Azra dan beberapa lagi.

Ruangan bloggers post pula satu ruang yang diwujudkan khusus untuk para blogger meletakkan perkara menarik yang ada di blog mereka untuk dipamerkan di laman Yoyooh. Secara tidak langsung, mereka dapat mempromosikan blog masing-masing.

Menariknya, laman web tersebut berusaha untuk memeriahkan bidang penulisan blog di negara ini dengan mewujudkan anugerah blogger. Anugerah tersebut dilaksanakan dengan para pembaca laman Yoyooh mencalonkan blog-blog terbaik mereka.

Daripada pencalonan, ia akan mengalami proses penyaringan dan disenarai pendek. Menerusi rating yang diberikan pembaca, pemenang-pemenang akan dipilih dan pihak pengendali laman web akan mencipta kategori bersesuaian. Antara kategori-kategori anugerah blog yang dijangka diwujudkan ialah blog jenaka, blog menyokong filem dan blog diari terbaik.

Selain itu, laman tersebut turut menawarkan ruangan forum untuk diskusi. Yoyooh.com baru beroperasi sejak enam bulan lalu, dan setakat ini ia menerima 60,000 kunjungan dalam sebulan.

Sehingga kini, ia sudah mempunyai hampir 300 ahli.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31