GARAJ

Dulu merah jambu, kini putih

Dulu merah jambu, kini putih

Nana mengambil keputusan menukar warna kereta Honda Jazz VTEC kepada warna putih supaya ia kelihatan baru.


GEMBIRA di samping mobilnya yang bertukar rona putih.


PUAS memandu kesayangannya, Honda Jazz, yang berwarna merah jambu di jalanan, penyampai radio ERA, Nana mula membuat keputusan yang drastik.

Bukan dia mahu menukar kereta, sebaliknya Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan mengambil keputusan untuk mengecat keretanya dengan warna putih.

"Dengan harapan kononnya kereta ini nampak macam kereta baru," seloroh Nana semasa ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku yang dibuat di pekarangan Astro, Bukit Jalil beberapa minggu lalu.

Nana memberitahu, dia berasa sangat teruja dan berpuas hati berpeluang memandu Honda Jazz warna merah jambu selama tiga tahun lamanya, sebelum 'berubah angin' menonjolkan pembaharuan.

"Lama jugalah kalau hendak diikutkan saya memandu kereta dengan warna ini (merah jambu). Setelah umur saya semakin meningkat, saya rasa macam hendak menukar kepada cat lain.

"Setelah berada dalam bidang seni selama enam tahun, saya banyak belajar perkara baru, sekali gus meraih pengalaman manis dan pahit.

"Tidak dinafikan, saya telah mengalami bermacam-macam perubahan dalam kehidupan. Sejak menyertai bidang seni, sudah tentulah saya menjadi seorang manusia yang matang dalam pelbagai aspek.

"Selari dengan perbezaan diri, saya sengaja menukar kepada cat putih untuk menunjukkan perubahan yang saya alami," luah Nana dalam nada serius.


BERSYUKUR kerana keretanya tidak pernah meragam.


Wanita berusia 26 tahun itu memberitahu, kereta sub kompak yang dibeli pada November 2004 dengan hasil titik peluh sendiri, memang didatangkan dengan warna merah jambu.

"Waktu itu saya baru sahaja mencecah umur 21 tahun. Boleh dikatakan saya masih macam budak-budak lagi yang teringin kelainan.

"Biasalah, pada umur semuda ini, ditambah pula dengan punya sumber pendapatan sendiri, bermacam-macam keinginan mulai ada dalam diri.

"Jadi selepas berfikir panjang, saya pun mengambil keputusan untuk beli Honda Jazz warna merah jambu," kata Nana yang memandu kenderaan buatan Malaysia iaitu Wira Aeroback selepas keluar dari Akademi Fantasia 1 (AF1) enam tahun lalu.


NANA menganggap keretanya sebagai pusat hiburan kerana dia boleh menyanyi sekuat hati.



NANA tidak pernah menyesal membeli Honda Jazz bernilai RM105,000.



SELAIN tukar cat, Honda Jazz Nana turut mendapat rim baru.





Mengimbas saat bagaimana kereta berwarna merah jambu miliknya bertukar kepada putih, kata Nana, semuanya berlaku dengan begitu pantas, tanpa sebarang perancangan.

"Waktu itu sebenarnya saya pulang ke kampung halaman di Muar, Johor untuk menemui keluarga.

"Secara kebetulan, bapa mengajak saya pergi ke bengkel yang menjadi lokasi dia selalu hantar kereta di Batu Pahat.

"Sampai sahaja di sana, saya terus buat keputusan untuk mengecat kereta ini dengan warna lain dalam sekelip mata.

"Ditambah pula dengan kebosanan dan sengaja ingin menampilkan perubahan diri, maka saya terus setuju untuk menukar kepada cat berwarna putih.

"Selang tiga minggu kemudian, Honda Jazz ini siap dicat di bengkel tersebut.

"Selepas mengambilnya dari bengkel, saya dan bapa terus pergi ke kedai aksesori untuk menukar rim kereta.

"Pantas sungguh rasanya kalau ingin diimbas kembali setiap perubahan yang berlaku ke atas kereta saya ini," akui Nana teruja yang menjadikan kereta jenama Mazda CX9 sebagai kereta idaman.

Honda Jazz comel

Gara-gara begitu mengagumi reka bentuk dan fizikalnya yang comel, Nana nekad membeli Honda Jazz yang berharga RM105,000.

"Saya memang menyukai kereta jenama Honda. Jadi dengan kemunculan Honda Jazz, sudah semestinya ia menarik minat dan perhatian saya.

"Honda Jazz cukup memikat hati kerana ia menampilkan imej sporty tambahan pula bumper hadapan dan belakangnya juga menerima sentuhan moden yang aerodinamik.

"Dengan gaya luaran yang menarik, dalaman yang lebih selesa dan luas, ia menjadikan Honda Jazz satu pakej yang sesuai dengan kehendak serta gaya hidup pemilik kenderaan masa kini.

"Saya juga dapati Honda Jazz memenuhi keperluan sebagai pengangkutan moden dengan menggabungkan pelbagai ciri dalam satu pakej," terang Nana yang cukup 'mendalami' personaliti Honda Jazz.

Paling mengujakan, Honda Jazz yang kini tampil lebih elegan dengan warna putih tidak pernah memberi sebarang masalah kepada Nana.

"Alhamdulillah, sepanjang 'bercinta' dengan kereta ini, dia tidak pernah memberi sebarang masalah termasuk aspek teknikal.

"Empat tahun memandu Honda Jazz ini, saya mementingkan masa yang tepat untuk kereta ini dihantar servis ke bengkel.

"Barangkali sebab saya menjaganya sebaik mungkin, maka Honda Jazz ini juga menyayangi si pemiliknya," ujar Nana.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16