RENCANA UTAMA

Alat muzik dan minyak merah

Alat muzik dan minyak merah

Kalau anda fikir anda seorang yang serba boleh, tunggu sehingga anda bertemu dengan Abdul Rahman Albaladi.





TIGA alat muzik 'gubahan' Abdul Rahman Albaladi yang diperbuat menggunakan bahan terbuang.



TAMPAK tidak bernilai? Alat muzik buatan Abdul Rahman ini dapat menghasilkan bunyi seperti serunai!


TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pernah menyaksikan penyanyi dan pemuzik buta, Abdul Rahman Muhammad, 65, membuat persembahan suatu ketika dahulu.

Baginda dikatakan menghampiri Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Albaladi, dan bertanyakan tentang alat muzik yang dimainkannya.

"Saya tidak pernah lihat alat seperti ini," kata baginda sambil mata terus tertumpu kepada alat yang diperbuat daripada buluh dan bertempek pelbagai perkakasan rumit dan berselirat wayar putih itu.

"Ampun Tuanku. Patik sendiri belum pernah lihat alat ini, Tuanku," balas pemuzik itu, membuatkan Tengku Abdullah sedikit tergamam.

Kemudian mereka sama-sama tertawa. Sehingga hari ini, kenangan itu menjadi jenaka yang disebut-sebut dalam persembahannya.

Bukan Tengku Abdullah saja yang pernah menegurnya kerana keunikan alat berasaskan buluh itu.

"Pelancong dari Jepun juga tertanya-tanya, 'di mana awak lihat contoh untuk buat alat ini?' Bagaimana saya hendak menjawab soalan itu?" kongsi Abdul Rahman yang pernah menyertai Festival Islam di Jerman dan program pelancaran produk halal di negara-negara lain.

Mungkin disebabkan bakatnya bermain alat muzik dan menyanyikan lagu Arab padang pasir dengan begitu cemerlang membuatkan orang ramai melupakan statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU).

Alat yang mendapat perhatian ramai itu ialah kecapi buluh yang diolah untuk menghasilkan pelbagai bunyi termasuk bunyi seperti gendang besar dan gendang anak, gong kecil dan gong besar, canang, kompang, gedomba dan banyak lagi.


TENGKU Abdullah juga kagum melihatkecanggihan kecapi buluh yang direka sendiri oleh Abdul Rahman.



KERANA persembahan uniknya, Abdul Rahman sudah merantau ke lebih 14 buah negara.



MENURUT Abdul Rahman, gambus terlalu 'manja' terhadap persekitaran, membuatkan ia amat sukar untuk dikendalikan.


"Ia seperti satu kumpulan wayang kulit atau kuda kepang. Segala bunyi yang diperlukan ada di sini," ujarnya.

Mengubahsuai sendiri alat muzik tradisional itu selama enam bulan dengan menggunakan kekuatan deria pendengarannya, perkakasan yang ditambah pada kecapi itu, kata Abdul Rahman, menggunakan barang-barang terpakai atau terbuang.

Menariknya, kecapi moden itu tidak dapat berfungsi seperti alat muzik pada asalnya.

"Ia dipasang dengan amplifier dan hanya boleh didengar setelah disambungkan dengan bekalan elektrik, sama seperti gitar elektrik," jelasnya.

Kalau sudah melibatkan amplifier, maka Abdul Rahman turut dituntut memiliki kemahiran mengendalikan alat mixer yang mempunyai lebih daripada 10 punat penyelaras.

Menyaksikan beliau membuat persembahan di Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan, dengan dua set organ dan alat mixer di tangan kanan manakala kecapi di tangan kiri, ternyata Abdul Rahman tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk mengendalikan kesemuanya seorang diri.

Alah bisa, tegal biasa adalah penjelasannya. Kalau sudah melakukannya sejak berumur 18 tahun, pada usia sekarang sememangnya segala-gala menjadi mudah.


KETIKA Abdul Rahman sibuk membuat persembahan, orang kanannya iaitu isterinya sendiri, Siti Mariam Abdul Rahman, membuat demonstrasi kelebihan minyak merah yang tenggelam di dasar botol berisi air.





"Sebenarnya orang buta lebih cepat menguasai alat-alat seperti ini berbanding orang celik.

"Contohnya, kemahiran membaca tulisan braille. Orang buta lebih cepat dapat menguasainya kerana kami tidak bergantung kepada penglihatan," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Abdul Rahman turut memukau penonton dengan alat rekaannya yang lain yang menghasilkan bunyi menyamai serunai dan saksafon.

Diperbuat daripada batang paip PVC, kepingan belon, penutup bekas filem dan kepala tiub tayar basikal, bunyi yang dihasilkan saling tidak tumpah seperti alat saksafon sebenar. Maka tidak henti-hentilah Abdul Rahman menarik perhatian penonton.

Hilang deria penglihatan sejak berusia enam tahun, Abdul Rahman tidak membiarkan kekurangan itu menjadi alasan untuknya berpatah arang dengan kecacatan. Sebaliknya, bapa kepada enam orang anak itu terus berikhtiar untuk hidup.

"Orang buta, apabila mereka hilang pandangan, Tuhan lebihkan pada pendengaran. Walaupun buta, saya perlu mencari jalan lain untuk terus hidup," jelasnya menceritakan bibit pertama melibatkan diri dalam bidang hiburan itu.

Hasil daripada bermain muzik dan menyanyi itulah, beliau berjaya menyekolahkan keenam-enam orang anaknya dengan empat daripada mereka bergelar atau bakal bergelar graduan universiti.

Bagaimanapun, hiburan bukanlah satu-satunya produk Abdul Rahman. Beliau juga dikatakan menjadi OKU pertama yang mengeluarkan ubat sendiri dan mendapat kelulusan Amalan Pengeluar Barangan (GMP).

"Saya kenal Abdul Rahman sebab minyak merah yang dijualnya. Selepas itulah baru saya tahu tentang bakatnya bermain alat muzik. Lihat saja lepas dia buat persembahan nanti.

"Orang ramai akan menyerbu gerainya kerana minyaknya memang berkesan dan bagus," kata seorang suri rumah yang turut menonton persembahan Abdul Rahman di Kampung Serongga pada malam itu.

Bagaimanapun, belum pun sempat persembahan disudahkan, orang ramai sudah mula bersuara bertanyakan bila mereka dapat membeli minyak merah itu!

Process time in ms: 31