HIBURAN

Suara hati Mas

Suara hati Mas




Sebelum ini tiada siapa yang mengendahkan wanita bernama Asma Ghani atau Mas. Keadaan berbeza hari ini apabila dia diburu dan dikejar media, semuanya gara-gara kisah 'kegilaannya' sehingga terpaksa dirawat di wad sakit mental.

Dalam ketenangannya menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal yang memikul status selebriti, tiba-tiba saja namanya melonjak naik.

Pada masa yang sama, entah mana datangnya, muncul pula seorang lelaki bernama Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd. Shahril. Kekasih Mas katanya.

Sepanjang enam hari Mas ditahan di Wad Psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Rock yang menjadi tumpuan utama untuk mendapatkan kenyataan berkaitan dengan Mas.

Malah Rock begitu beria-ia mahu menjadi 'hero' dalam drama yang 'diciptakan' Mas.

Namun setelah Mas keluar dari wad, lain pula ceritanya. Rock dikatakan dalang dan punca Mas dimasukkan ke wad. Apa sebenarnya ini?

Ketika bercakap dengan janda beranak dua ini, dengan keadaan waras dan penuh yakin, Mas terkejut apabila mendapat tahu tentang kenyataan Rock yang pernah diberikan kepada pihak media.




"Saya terkilan sangat dengan apa yang telah berlaku ini. Sebenarnya dialah punca segalanya. Bukan mahu memburukkan tapi ini kenyataan.

"Dia mahu jadikan saya terkenal. Tetapi kenapa perlu buat begini? Macam ini ke cara untuk membantu menaikkan karier saya?

"Keadaan jadi bertambah teruk adalah. Rasanya dia bukan naikkan nama saya, tapi naikkan nama dia. Dia sengaja mencari publisiti murahan," ujarnya dengan nada kesal.

Tak mahu kahwini Rock

Pelik bila pada mulanya, Rock mengatakan Mas begitu sayang dan mencintainya sehingga tidak sanggup untuk melepaskan lelaki itu. Malah dalam kenyataannya seperti disiarkan akhbar ini pada Sabtu lalu, Rock memberitahu bahawa Mas pernah mengajak dia berkahwin.

Dalam kenyataannya, Rock mendakwa Mas bercadang berkahwin dengannya pada bulan Mac ini. Namun, lain pula cerita Mas. Dengan nada yang agak tegas, Mas memberitahu dia tidak pernah langsung memikirkan untuk berkahwin dengan lelaki itu yang juga merupakan pelakon tambahan.

"Bila saya nak kahwin dengan dia? Sikit pun saya tak pernah merancang untuk berkahwin apalagi dengan lelaki yang bernama Rock. Saya tak pernah merayu kepada seorang lelaki untuk berkahwin dengan saya.


MAS kini sedang dalam tempoh mencari ketenangan bersama keluarga dan dua anaknya di Tawau, Sabah.


"Bunyinya agak keterlaluan. Seolah-olah saya tak ada maruah dan tidak ada keluarga sehingga dia berani memberi kenyataan begitu. Lagipun macam mana saya nak kahwin dengan dia kalau selama ini saya yang banyak berhabis?

"Untuk pengetahuan semua, baru sebulan saya kenal dia dan bukan setahun seperti yang dikatakannya. Kalau saya kenal dia setahun, rasanya badan saya mesti kurus kering sebab tak ada duit dan bukan berisi macam sekarang," ujar Mas dengan serius.

Enggan berselindung, Mas akui, sejak berkenalan dengan duda beranak tiga itu, hidupnya menjadi bertambah huru-hara. Malah lelaki itu juga yang membuatkan emosi bekas pelajar Akademi Fantasia 2 itu cukup terganggu.

"Saya tak cintakan dia. Banyak benda yang saya buat di luar kesedaran. Saya hanya mengikut apa yang disuruh. Perkara sudah berlalu. Harap-harap saya tidak berjumpa dengannya lagi," tambah Mas.

Isu RM200,000 dan Maestro

Untuk lebih pengesahan, Kosmo! turut bertanyakan tentang tujuan utama Mas membuat laporan polis dan dia akui bahawa laporan yang dibuatnya itu mengenai penangguhan albumnya yang agak lama, atas nasihat Rock. Dia tidak menyangka sama sekali akan berhadapan dengan tragedi pahit sebaik membuat laporan berkenaan seterusnya dihantar ke HKL.


KERATAN akhbar Kosmo! Sabtu lalu yang menyiarkan kenyataan Rock bahawa Mas mengajak dia berkahwin menjelang Mac 2009.


Mengenai dirinya bercakap sendirian dan membuat bising di balai polis Ampang Jaya, Mas menafikannya.

" Kalau saya kata saya dianiaya, orang akan ketawakan saya. Sebelum mahu membuat laporan saya banyak berfikir. Patut atau tidak saya buat begitu.

"Tapi selepas Rock memberi sokongan dan dia pun suruh saya buat laporan polis berkenaan kelewatan proses album saya, saya pergi.

"Lagipun saya geram, saya sudah berikan RM20,000 kepada Maestro untuk menghasilkan album saya. Tetapi masa saya buat laporan, saya tak buat kacau langsung.

"Tiba-tiba saja pihak polis menyuruh saya mengikutnya ke hospital kononnya untuk membuat pemeriksaan doktor. Saya pun pergilah. Tapi tak sangka bila sampai saja di sana saya terus ditahan.

"Kalau saya tahu itu semua perancangannya (Rock), tak adalah mengikut telunjuknya," kata Mas yang berhenti berniaga seketika untuk memfokuskan penyiapan albumnya itu.

Dalam pada itu, Mas berkata, bapanya, Ghani Gibie, 69, kesal dengan apa yang telah Rock lakukan kepadanya. Sangka Ghani, kehidupan anaknya di Kuala Lumpur begitu sempurna tanpa perlu menghadapi masalah.

Kini, apabila peluang ke Tawau, Mas sedikit tenang kerana dapat berjumpa dengan dua anaknya walaupun masih berserabut dengan masalah yang menimpa dirinya.

Cuma, wanita ini akan menanti panggilan dari Maestro untuk menyambung semula sebuah lagi lagu yang tertangguh untuk menyempurnakan album mininya.

Rencana Utama!»

Kallas buatan anak tempatan

PROJEK penggantian kubah dan kallas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini siap sepenuhnya awal tahun ini.

Process time in ms: 47