KESIHATAN

Baik Buruk

Baik Buruk


RUANGAN Baik Buruk pada minggu ini akan menerangkan kepadam anda mengenai kebaikan lutein, regangan dan urutan serta keburukan kosmetik karsinogen.

LUTEIN UNTUK MATA




DITEMUI dalam bayam, sayuran daun hijau dan jagung, lutein sememangnya bagus untuk memperbaiki kesihatan mata dengan menghalang kerosakan akibat proses pengoksidaan. Suplemen lutein 1,000 miligram juga elok diambil dua kali sehari.

Pengambilan buah-buahan dan sayuran yang mengandungi vitamin C dan bioflavonoid lain juga boleh mencegah masalah kerosakan fungsi mata. Di samping itu, unsur glutathione dalam telur, bawang putih, avokado, asparagus dan bawang merah dibuktikan baik untuk melawan katarak.




Sementara itu, kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika mendapati bahawa pengambilan gabungan beberapa jenis vitamin boleh mengelakkan masalah kemerosotan makular berkaitan usia (AMD).

Sekumpulan pesakit AMD telah diuji dan menunjukkan perkembangan positif, iaitu pengurangan risiko kehilangan penglihatan sebanyak 25 peratus kerana mengambil vitamin C, vitamin E, beta-karotin, dan zat besi setiap hari.

REGANGAN DAN URUTAN

SAMA seperti petua mengurangkan stres dengan memastikan kediaman sentiasa dijaga rapi dan bersih, begitu juga manfaatnya apabila mengamalkan senaman regangan dan urutan dengan tangan sendiri.

Biasakan diri dengan regangan yang ringkas, seperti meregang leher dengan memusingkan kepala dalam separa pusingan dan kemudian ke arah bertentangan.




Bahu juga boleh diregang dengan menaikkan kedua-duanya ke atas dan kemudian menurunkannya semula dalam beberapa ulangan.

Ambil masa beberapa minit untuk duduk atau baring sendirian dan menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melepaskan secara perlahan.

Seterusnya, tanpa perlu bantuan sesiapa, gunakan tangan untuk mengurut satu sisi bahagian tubuh dan kemudian menukar tangan untuk mengurut bahagian tubuh yang sebelah lagi.

Stres juga boleh dihindar secara berperingkat melalui amalan pemakanan seimbang, mendapat tidur yang cukup, serta senaman lanjutan. Hakikatnya, orang yang gembira lebih sukar untuk berasa tertekan akibat perkara-perkara remeh.

KOSMETIK KARSINOGEN




APA yang anda sapukan pada wajah dan tubuh anda? Bahan untuk mencantikkan diri atau karsinogen yang bertindak umpama racun dalam penggunaan jangka masa panjang?

Pejuang alam sekitar dan kumpulan yang menimbulkan isu ini bukan merujuk kepada hal-hal alergi remeh seperti ruam kulit akibat penggunaan kosmetik.

Menurut aktivis daripada Kumpulan Kerja Alam Sekitar dan Kempen Kosmetik Selamat di Amerika Syarikat, persoalan isu tersebut merujuk kepada kandungan dalam produk kecantikan seperti paraben (digunakan sebagai pengawet), petrokimia (dalam krim kulit, bedak asas, atau salap bibir), serta raksa (dalam maskara dan ubat titisan mata).




Bahan-bahan lain adalah seperti serbuk plumbum (dalam gincu), dioksana (syampu dan sabun badan) serta phtalate (pengilat kuku, semburan rambut dan minyak wangi).

Bukan sahaja bahan-bahan itu sudah dikenal pasti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai unsur karsinogen, malah sesetengahnya dikategorikan sebagai Ďagen penjejas endokriní iaitu bahan kimia yang menyerupai atau merencat aktiviti hormon dalam tubuh.

Semua itu dikhuatiri mengganggu aturan hormon semula jadi, terutamanya pada wanita, selain menjadi pemangkin penyakit yang berkaitan gangguan hormon.

Process time in ms: 0