URBAN

Kediaman mampu milik

Kediaman mampu milik

Warga Kedah dan Pulau Pinang kini mampu memiliki kediaman sendiri menerusi limpahan projek kediaman SPNB di dua negeri itu.


PROJEK perumahan Taman Kulim Utama menawarkan variasi produk kediaman untuk pembeli di kawasan utara Malaysia.


MEMILIKI rumah kediaman pada harga yang berpatutan sudah tentu menjadi idaman sesiapa sahaja. Namun, terdapatkah syarikat pemaju yang berani menawarkan dua pakej sekali gus iaitu harga rumah yang murah dengan janji 100 peratus rumah tidak akan terbengkalai?

Selaku sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sanggup memikul tanggungjawab dan berani memberi komitmen untuk kedua-dua insentif itu.

"Berbanding dengan syarikat pemaju swasta lain, kami mengambil margin keuntungan yang rendah. Jadi, kami menjual rumah 10 hingga 20 peratus lebih murah daripada rumah yang dijual pemaju swasta.

"Bahkan, satu lagi janji kami ialah rumah anda tidak akan terbengkalai. Macam mana nak terbengkalai, sedangkan salah satu tugas kami adalah memulihkan projek-projek perumahan yang dikategorikan terbengkalai."


AZRUL HISYAM


Demikian ujar Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Jualan SPNB, Azrul Hisyam Munap mengenai kelebihan menjadikan rumah yang dimajukan syarikat itu sebagai kediaman.

Jelas beliau, salah satu daripada fokus projek perumahan SPNB kini ialah di kawasan utara Semenanjung terutama di Kedah dan Pulau Pinang.

"Terdapat banyak permintaan terhadap perumahan di kedua-dua negeri itu terutama di daerah Kulim, Gurun, Sungai Petani, Pendang dan Changlun di Kedah manakala Jelutong, Seberang Prai Utara, Seberang Prai Selatan, Bayan Lepas dan Balik Pulau di Pulau Pinang," katanya.


ORANG ramai yang hadir semasa pelancaran rumah mampu milik SPNB di Jelutong, Pulau Pinang.


Bagi tahun 2009, Azrul Hisyam berkata, masing-masing terdapat empat projek di Kedah dan Pulau Pinang yang kini dalam pembinaan.

"Di Kedah, kami mempunyai projek Taman Kulim Utama, Mukim Padang Cina, Kulim bagi Fasa Satu; projek Mukim Gurun, Kuala Muda juga untuk Fasa Satu; projek Mukim Ayer Putih, Pendang dan projek Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu.

"Di Pulau Pinang pula, empat projek SPNB ialah Mutiara Vista Jelutong, Mukim 6, Jawi Seberang Prai Selatan, Seksyen 4, Seberang Prai Utara dan projek Mukim 12, Jalan Sultan Azlan Shah," katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.


PANGSAPURI Mutiara Vista Jelutong yang sedang dalam pembinaan di Pulau Pinang.





Melanjutkan perbualan mengenai projek-projek perumahan di kawasan utara, katanya, setakat ini projek perumahan pangsapuri Mutiara Vista Jelutong telah dilancarkan penjualannya.

"Pada harga RM75,000 seunit, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan kerana sehingga kini, daripada 412 unit yang dibuka penjualannya, sebanyak 252 unit telah ditempah. Semua unit premis kedai juga telah habis dijual.

"Mutiara Vista Jelutong merupakan kediaman berkeluasan 650 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air," jelas Azrul Hisyam.

Katanya, baki unit Mutiara Vista kebanyakan adalah untuk pembeli bumiputera. "Kesemua 40 peratus unit yang dikhaskan untuk pembeli bukan bumiputera telah ditempah. Jadi, kami amat mengharapkan warga bumiputera yang berkelayakan merebut peluang memiliki kediaman di kawasan strategik itu," tambahnya.

Antara syarat kelayakan pembeli di Mutiara Vista Jelutong termasuklah warga negara Malaysia, bermastautin di Pulau Pinang, pendapatan tidak melebihi RM3,500 sebulan, belum memiliki rumah selain pembeli perlu mendapat kelulusan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi projek di Kulim pula, jelas Azrul Hisyam, projek kediaman seluas 69.2 hektar itu merangkumi beberapa pembinaan perumahan bercampur.

"Rumah teres satu tingkat (20x70 kaki persegi) dijual pada harga RM125,000, rumah teres dua tingkat (22x70) RM195,000, rumah berkembar satu tingkat (35x80) RM179,000 dan rumah banglo (45x80) pada harga RM250,000," Azrul Hisyam.

Dengan pembangunan Kulim Hi-Tech sebagai sebuah kawasan perindustrian selain kawasan sekitar termasuk Butterworth yang jaraknya cuma 25 kilometer dari kawasan perumahan itu, Taman Kulim Utama bakal meraih perhatian pembeli.

Kata Azrul Hisyam, selain insentif jualan seperti yuran guaman percuma (untuk surat perjanjian jual beli) dan pakej fleksibel (90 hari faedah percuma untuk pinjaman dan pengeluaran EPF), harga yang disebutkan juga belum dipotong lima peratus diskaun untuk pembeli bumiputera.

Jelas beliau lagi, Taman Kulim Utama akan dilancarkan jualannya pada Sabtu ini manakala beberapa projek lain akan dilancarkan selewat-lewatnya menjelang Jun 2009.

Process time in ms: 0