RENCANA UTAMA

Betul, tepat, serentak

Betul, tepat, serentak

Jika anda mengetuk sidda atau dagga buat kali pertama tanpa sebarang latihan, anda pasti gagal memperoleh sebarang bunyi daripada kedua-dua alat muzik tersebut.




JARI-JEMARI tangan kanannya ligat mengetuk sebuah gendang kayu kecil yang dikenali sebagai sidda manakala jari telunjuk, jari tengah dan jari manis tangan kiri pula pantas memukul gendang besar besi yang dipanggil dagga yang diletakkan tegak di atas lantai di hadapannya. Kedua-duanya dipalu secara serentak.

Kepala anak muda itu pula digoyangkan ke kiri dan ke kanan berkali-kali secara spontan mengikut alunan irama merdu tabla yang terhasil melalui paluan gendang tradisional yang begitu popular dalam kalangan masyarakat India.

Gendang yang dipalu dengan penuh bersemangat berlarutan selama 10 minit. Namun persembahan itu berjaya membuktikan profesionalisme dan bakat jejaka tersebut.

Walaupun paluan tabla pemain muda itu belum setanding dengan legenda tabla seperti Zakir Hussain, Usman Khan dan Alla Khan, namun irama gendang komposisi jejaka itu masih kedengaran unik dan menghiburkan halwa telinga mana-mana penggemar muzik.

Manoj Kumar Selva Kumar, 21, sedang asyik memalu tabla bersama dua sahabat karibnya, Madan Gopal, 19, dan Mahaganesh, 34, dalam sebuah bilik berhawa dingin. Bilik itu ialah kelas untuk belajar bermain tabla yang terletak di Temple of Fine Arts, Bricfields, Kuala Lumpur.

Sejurus selesai latihan untuk hari itu, jejaka yang lebih mesra dengan panggilan Manoj menghampiri wartawan dan jurugambar Kosmo!. Sambil mengukir senyuman manis, dia bertanya, "Bagaimana persembahan kami, baguskah?"


PRAKASH (kanan) bersama anak-anak muridnya iaitu dari kiri, Manoj Kumar, Mahaganesh dan Madan berlatih bermain tabla selama dua jam setiap hujung minggu.


Dengan nada sopan, Manoj membuka bicara. Katanya, kemerduan irama gendang satu muka yang popular dalam kalangan masyarakat India itu terletak pada seni mengetuk tabla yang betul, tepat dan serentak.

"Jika anda mengetuk sidda (gendang kayu kecil) atau dagga (gendang besi besar) buat kali pertama tanpa sebarang latihan, anda pasti gagal memperoleh sebarang bunyi daripada kedua-dua alat muzik itu.

"Itulah keistimewaan tabla, berbanding dengan alat muzik tradisional lain. Sungguhpun jari-jemari seseorang lembut tetapi tanpa latihan, mereka tidak akan dapat bermain tabla dengan perasaan seronok," kata jejaka yang merupakan anak murid Prakash Kandasamy, antara pemain tabla popular di negara ini.

Manoj memberitahu, setiap hari selepas segala urusan kolej selesai, dia akan meluangkan masa selama satu hingga dua jam untuk berlatih memalu tabla di rumah atau kadangkala bersama rakan-rakan.

Memandangkan Manoj sedang mengikuti kursus Teknologi Maklumat di Kolej Taylor, Damansara, maka dia hanya berpeluang mengikuti kelas tabla pada hujung minggu. Di kelas itu, dia akan belajar tentang jenis-jenis paluan yang baru dan berlatih bersama gurunya.

"Sekiranya seseorang ingin mempelajari tabla sebagai hobi mahupun menjadikannya sebagai elemen yang merelakskan minda, mereka perlu bersedia dalam banyak aspek.

"Ini kerana mereka yang mempelajari tabla sebagai hobi kadangkala langsung tidak memiliki keghairahan untuk belajar. Kemungkinan besar mereka akan berhenti separuh jalan," jelas anak bongsu daripada dua orang adik-beradik itu.

Katanya, mempelajari tabla bukan untuk keseronokan semata-mata, sebaliknya keghairahan untuk tujuan itu perlu berputik dengan ikhlas.

Manoj mengakui, perkembangan industri muzik hari ini lebih menjurus kepada rentak muzik barat seperti hip pop, rock dan jazz sehinggakan generasi muda terlupa pada peralatan muzik tradisional.

Sebagai tanda menghargai seni warisan budaya dan ingin mewarisi tamadun muzik klasik India, ibu bapanya telah menghantar Manoj mengikuti kelas tabla ketika berusia 12 tahun.


BARISAN pemain tabla legenda yang menjadi inspirasi kepada K. Prakash dan anak muridnya.


"Bermain tabla secara konsisten membantu menenangkan fikiran, memberi keamanan pada jiwa dan menguatkan otot tangan.

"Badan juga terasa cergas setelah selesai latihan selama dua jam. Sebenarnya, posisi duduk secara tegak ketika membuat persembahan bagus untuk tulang belakang pemainnya," ujar Manoj yang baru pulang dari Pune, India setelah membuat persembahan tabla sempena Hari Peringatan Mahmod Khan Saheb pada Januari lalu bersama gurunya.

Sementara itu, Madan Gopal yang mengikuti kelas tabla sejak sedekad yang lalu berkata, dia bangga digelar pemain tabla dan bersyukur kerana dapat mewarisi kemahiran bermain alat muzik tradisional yang menjadi lambang tradisi dan budaya masyarakat India.

Walaupun alat-alat muzik kontemporari berlambak di pasaran muzik, namun jiwanya tidak pernah tertarik dengan instrumen tersebut.

"Sejak kecil, saya suka mendengar irama merdu tabla dan cuba memalu untuk menghasilkan rentak muzik yang sinonim dengan menggunakan benda-benda yang terdapat di sekeliling saya.

"Minat yang mendalam itu akhirnya mendorong saya untuk mengikuti kelas tabla sejak di bangku sekolah," katanya.

Madan memberitahu, kemerduan bunyi yang terpercik keluar sejurus mengetuk alat tersebut sukar digambarkan dengan susunan patah perkataan.

Bercita-cita menjadi seorang pakar perubatan apabila dewasa kelak, Madan mengakui latihan secara konsisten selama dua jam setiap hari membantunya memahami alat muzik tersebut.

"Jika anda tidak berlatih selama dua hari sahaja, jari-jemari anda akan 'keras' dan kesannya anda sukar mengetuk tabla, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan rentak yang betul dan tepat," katanya.

INFO

- Tabla ialah gendang satu muka. Badannya dibuat daripada kayu. Permukaan atasnya ditampal dengan kulit kambing untuk mengubah bunyi dan menghasilkan irama indah.

- Kedua-dua jenis gendang diperbuat daripada kayu jati dan rosewood serta jackwood. Pembuatnya perlu memastikan tiada sebarang kecacatan pada kayu tersebut.

- Kayu-kayu ringan digunakan untuk membuat tabla. Keringanan kayu menentukan penghasilan bunyi yang baik manakala jika berat, ia akan menghasilkan bunyi yang kasar.

- Dagga (gendang besar) juga diperbuat daripada besi dan disaluti tembaga dan aluminium.

- Setiap tabla dijual pada harga RM400 hingga RM500 dan boleh didapati di bahagian utara India.

- Sejenis tukul besi digunakan untuk mengetatkan dan melonggarkan tali kulit haiwan yang diikat di bahagian luar tabla. Dengan ini, perubahan nada dan rentak boleh dilakukan.

Anak murid Usman Khan


SEJENIS tukul besi digunakan untuk mengetatkan dan melonggarkan tabla untuk perubahan rentak.


SEBAGAI alat permainan muzik tradisi masyarakat India, tabla seringkali dimainkan bersama vinai, sitar, mridanga, gadam dan beberapa peralatan lain bagi mengiringi upacara keagamaan, persembahan barathanatyam, perkahwinan dan sebagainya.

Alat muzik itu termasuk dalam kategori keluarga gendang yang mempunyai bingkai kayu dan permukaannya pula ditutup dengan belulang pada satu bukaan. Ia dimainkan dalam keadaan pemainnya duduk dan memalunya menggunakan tangan.

Setiap bangsa seperti Cina dan Melayu juga mempunyai gendang dengan nama yang tersendiri.

Ada gendang digunakan khusus untuk bersilat, majlis tari menari dan menyambut perayaan atau pertabalan diraja dalam masyarakat Melayu.

Begitu juga dengan tabla yang masih kekal sehingga hari ini dan digunakan dalam adat istiadat keagamaan, perkahwinan dan upacara tari menari kaum India.

Di sebalik transformasi menuju ke era dunia moden dengan masing-masing berlumba-lumba untuk berada di hadapan, masih ada lagi insan yang berjiwa halus bangkit mempertahankan warisan seni tersebut.

Kunjungan Kosmo! ke Temple of Fine Arts iaitu sebuah pusat kesenian halus yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur telah mempertemukan dengan seorang pemain tabla yang mahir mengendalikan alat muzik tradisional itu.

Berasal dari utara India, Prakash Kandasamy, 36, mula berkecimpung dalam seni muzik tradisional India iaitu tabla seawal usia 17 tahun.

Menurutnya, kemahiran bermain tabla tidak diwaris daripada keluarga.

“Minat dan keghairahan terhadap tabla datang secara tidak sengaja walaupun ketika itu saya aktif dalam tarian baratanatyam.

“Pelawaan membuat persembahan di pentas bersama pemain tabla terkenal dan terhebat di India, Usman Khan memberi saya peluang sekali gus mengubah kehidupan saya.

“Bakat yang tinggi, kegigihan dan keghairahan itulah membuatkan Usman Khan menjadikan saya sebagai muridnya dengan menawarkan peluang mempelajari kemahiran tabla selama empat tahun di Pune, India,” katanya yang turut memperoleh ilmu itu daripada Alla Rakha.

Sepanjang menetap selama empat tahun di India, Prakash sempat melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris.

Mengulas keunikan bermain tabla, Prakash berkata, irama daripada paluan tabla terhasil daripada cantuman jiwa dan mental pemain.

“Ini membuatkan rentak muziknya indah menusuk ke halwa telinga,” ujarnya.

Menyorot kejayaannya, Prakash pernah memenangi Anugerah Piala Seri Endon bagi kategori Seni Persembahan.

Lelaki yang turut menjadi pengajar tabla di Akademi Seni Persembahan (Aswara) itu memberitahu, generasi muda India kini semakin sedar dan menghargai warisan seni muzik dan budaya.

“Ini jelas kelihatan apabila kebanyakan daripada murid-murid saya terdiri daripada golongan remaja yang ghairah mempelajari alat muzik tradisional itu.

“Ada yang sanggup mengorbankan aktiviti hiburan mereka pada hujung minggu semata-mata mahu menghadiri kelas tabla dan membuat latihan bersama saya,” ujarnya yang turut mengajar tabla kepada enam remaja Melayu di Aswara.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31