AKADEMI

Jiwa murni pelatih jururawat

Jiwa murni pelatih jururawat

Sekumpulan pelatih jururawat didedahkan mengenai dunia sebenar kejururawatan yang tidak boleh didapati dalam pembelajaran teori.




Bagi mereka yang sempurna, menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik merupakan sesuatu yang dituntut baik dari segi sosial mahupun agama.

Jika tidak memberi sumbangan kewangan, cukuplah sekadar menunjukkan keprihatinan bagi menceriakan golongan orang kurang upaya (OKU). Cara itu boleh membuatkan mereka berasa diri dihargai.

Berbekalkan keprihatinan itulah, sekumpulan pelatih tahun akhir Diploma Kejururawatan dari Kolej Kejururawatan Murni, Seremban, Negeri Sembilan termasuk enam orang tenaga pengajar mengadakan projek jiwa murni di Taman Sinar Harapan, Taman Tuanku Najihah, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Projek anjuran bersama Kolej Kejururawatan Murni dan mahasiswa lepasan ijazah Sarjana Pengurusan Institut Pegawai Kanan Angkatan Tentera Darat, Port Dickson (INSPEKA) itu diketuai oleh Mejar Samad Igom.


PELATIH tahun akhir Diploma Kejururawatan bergambar di hadapan bangunan Taman Sinar Harapan di Seremban, Negeri Sembilan.


Ia bertujuan menimbulkan kesedaran pelatih jururawat agar bersikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan seperti insan-insan istimewa itu.

Program itu juga dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat Kolej Kejururawatan Murni untuk mendekatkan diri dengan masyarakat serta memberi sokongan moral dan kasih sayang kepada OKU.

Menurut pengasas Kolej Kejururawatan Murni, Ridzwan Shoib, mulai tahun ini, para pelatih kolej tersebut wajib mengadakan program komuniti sebagai salah satu syarat tamat kursus mengikut kreativiti masing-masing.

"Program seperti ini dapat mendedahkan pelatih mengenai dunia sebenar kejururawatan yang tidak boleh didapati dalam pembelajaran teori.

"Mereka juga boleh mendapat gambaran sebenar mengenai pengurusan pesakit OKU yang sedikit sebanyak memberi mereka pendedahan yang sewajarnya," katanya.


PROGRAM komuniti ini diadakan bagi menyediakan pelatih menghadapi cabaran kerjaya kejururawatan yang sebenar.


Tambah Ridzwan, pihak kolej sememangnya menggalakkan aktiviti-aktiviti komuniti seperti itu kerana selain memberi pendedahan kepada pelatih, ia secara tidak langsung dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Kami mempunyai enam kumpulan (batch) setakat ini. Untuk semester ini (dalam masa enam bulan), enam aktiviti komuniti seumpama ini akan dijalankan," katanya lagi.

Program itu juga mendapat sambutan baik daripada pihak pengurusan Taman Sinar Harapan dan INSPEKA yang bergabung tenaga menjayakan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan, rawatan ringan dan pertandingan mewarna.

Kerjasama itu secara tidak langsung membantu melancarkan program yang diatur oleh para pelatih kolej tersebut.

Dalam program kali ini, seramai 120 warga OKU menjalani pemeriksaan kesihatan daripada pelatih jururawat tersebut seperti rawatan cacing, kutu dan kudis buta.


SERAMAI 30 orang OKU mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna.


Selain itu, para pelatih jururawat turut menjayakan pertandingan mewarna yang disertai 30 pelajar OKU. Pertandingan itu berjaya mempamerkan keupayaan dan kreativiti peserta.

Tinjauan Kosmo! mendapati kehadiran pelawat ke Taman Sinar Harapan sedikit sebanyak memberi sinar dan semangat kepada penghuni taman tersebut.

Selain itu, program dimeriahkan lagi dengan majlis sambutan hari lahir yang diadakan oleh pihak pengurusan Taman Sinar Harapan untuk kanak-kanak istimewa dan staf yang menyambut ulang tahun pada bulan Januari lalu.

Bukan itu sahaja, mereka juga diraikan dengan jamuan nasi minyak oleh INSPEKA.

Rencana Utama!»

Tingkatkan pendapatan penternak

PROGRAM Pembangunan Tenusu di Vietnam bertujuan untuk mengoptimumkan keuntungan.

Pemotoran!»

HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi

CH Ng (tengah) bersama dua pelumba pasukan Yamaha MotoGP turut menyertai majlis pelancaran model MT-07 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Horizon!»

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16