SUKAN

Apa kurangnya sifu tempatan?

Apa kurangnya sifu tempatan?




NAMA besar dalam sukan olahraga seperti Usain Bolt, Liu Xiang dan Haile Gebrselassie tidak perlukan khidmat jurulatih asing untuk menggegar dunia.

Peningkatan prestasi mereka mendapat sentuhan jurulatih tempatan dan ia telah terbukti sehingga mereka bergelar juara.

Jaguh pecut Jamaica, Bolt berjaya mencipta nama selaku manusia terpantas di dunia.

Semua itu adalah hasil sentuhan jurulatih negaranya, Glen Mills.

Begitu juga dengan Liu Xiang, jaguh acara 110 meter lari berpagar China yang pernah menggegar dunia dengan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. Kejayaan itu bukan sahaja diraikan jutaan rakyat China, tetapi turut dikongsi jurulatihnya yang juga berasal dari China, Sun Haiping.

Legenda Habsyah, Gebrselassie juga melalui pengalaman yang sama apabila bakatnya mula dikesan seawal usia belasan tahun oleh jurulatih tempatan, Dr. Yilma Berta.

Persoalannya kini, bagaimana pula dengan jurulatih Malaysia? Adakah jurulatih tempatan kurang bermutu, atau dalam erti kata lain gagal melahirkan atlet olahraga berkualiti.




Adakah juga kita harus bergantung terus dengan sentuhan jurulatih luar untuk mendidik atlet tempatan yang sehingga kini masih belum berupaya menawan dunia.

Mengimbas pencapaian atlet olahraga negara, tidak banyak yang boleh dibanggakan kecuali kejayaan pada peringkat Sukan SEA.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tahap atlet negara sehingga kini hanya mencapai standard Sukan SEA.

Ramai yang menganggap bahawa atlet olahraga negara seharusnya lebih cemerlang pada ketika ini berbanding era 60an dan 80-an dulu.

Mana tidaknya, zaman sekarang segala-galanya ada seperti sentuhan sains sukan, kemudahan yang serba canggih dan juga insentif yang dilihat boleh membantu membakar semangat.

Namun, kemudahan ini tidak dipergunakan sepenuhnya untuk menuju puncak kejayaan.

Mungkin ramai yang masih ingat tentang kejayaan yang dilakar atlet dulu seperti Datuk Dr. M.Jegathesan, Rabuan Pit, Zaiton Othman, M. Rajamani dan yang lainnya.

Corak latihan yang mereka lalui jauh berbeza berbanding sekarang.

Mereka tidak berkesempatan untuk mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih luar, tetapi pencapaian di pentas antarabangsa sangat mengkagumkan.

M. Jegathesan adalah antara kumpulan atlet negara yang berjaya menjejak kaki ke Olimpik dan Rabuan memang digeruni di pentas Asia ketika zaman puncaknya.

Mungkin ada betulnya bila ramai yang berpendapat bahawa perbezaan antara atlet sekarang dan dulu adalah semangat.




Bekas atlet era 80-an yang enggan namanya disiarkan menjelaskan bahawa atlet masa kini terlalu terikat dengan jadual.

"Mereka tidak mengambil inisiatif untuk melakukan latihan tambahan. Mereka terlalu terikat dengan jadual yang dirangka oleh jurulatih masing-masing.

"Zaman kami dulu, lain. Selepas rutin biasa, kami akan melakukan latihan sendiri dalam usaha untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan. Semangat kami dulu juga lain. Kalau gagal mewakili negara, rasa macam mahu menangis.

"Peluang mewakili negara adalah satu kebanggaan," katanya.

Ditanya mengenai peranan jurulatih, dia menjelaskan bahawa tugas jurulatih semuanya sama.

"Terus terang saya katakan bahawa jurulatih tempatan tidak kurang hebatnya, tetapi saya kurang faham apabila jurulatih asing yang tidak begitu menonjol terlalu diberi muka.

"Saya lebih gemar sekiranya jurulatih tempatan diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melatih atlet negara kerana mereka ini lebih memahami.

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memberi seberapa banyak pendedahan yang boleh kepad atlet negara kerana dengan cara itu mereka akan menimba banyak pengalaman selain meningkatkan lagi tahap keyakinan diri.

"Aspek ini masih belum diperhebatkan sehingga ke saat ini kalau ada pun, atlet kita hanya dihantar menyertai kejohanan yang kurang berprestij.

"Kita seharusnya lebih berani menghantar atlet muda beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia kerana ilmu yang diperoleh daripada kejohanan seperti itu akan membantu mematangkan seseorang atlet itu," kata bekas atlet terbabit.

Ditanya sama ada jurulatih asing banyak membantu meningkatkan prestasi atlet negara, dia menjawab: "Saya tidak nampak keberkesanannya. Terus terang saya katakan bahawa jurulatih tempatan seharusnya diberi peranan lebih besar dan pada masa yang sama atlet perlu kerap dihantar menyertai kejohanan di luar negara. Ini adalah proses untuk membina keyakinan diri selain membantu meningkatkan prestasi atlet itu sendiri."




Menurutnya lagi, bekas jaguh negara seperti Istiaq Mubarak, Marina Chin, G. Shanti dan ramai lagi, mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih tempatan tetapi mereka masih mampu menampilkan yang terbaik di pentas antarabangsa.

"Mungkin pemimpin sukan kita terlepas pandang kewibawaan jurulatih sendiri yang selama ini berjaya melahirkan atlet bertaraf Asia," katanya.

Bagi ketua jurulatih olahraga negara, Hanapiah Nasir, dia lebih terbuka untuk berbicara mengenai isu ini.

Hanapiah menjelaskan bahawa standard yang dimiliki jurulatih tempatan ketika ini adalah sebaris dengan jurulatih asing.

"Kita kena lihat perkara ini dari sudut yang luas merangkumi kepakaran dan kejurulatihan," jelas Hanapiah.

"Setiap jurulatih sama ada tempatan atau asing mempunyai peranan yang sama dan mereka yang dipilih adalah daripada kalangan yang berkelayakan."

Begitupun, Hanapiah mengakui daripada sudut yang lain, negara sebenarnya masih memerlukan jurulatih dari luar.

"Kita mempunyai beberapa tahap kejurulatihan dengan kelompok atlet pelapis dan atlet elit yang dibimbing oleh jurulatih yang berbeza.

"Selain itu, terdapat juga pengkhususan dalam kejurulatihan merangkumi jurulatih bagi acara utama, jurulatih pembangunan dan jurulatih pendidikan," tambah Hanapiah yang juga bekas jaguh dekatlon negara.

Menurutnya lagi, program kejurulatihan yang dikendalikan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) ketika ini sebenarnya berada pada landasan yang betul.

"Kita ada sasaran, iaitu mempunyai seorang atlet yang mampu mara ke pentas final pada Sukan Olimpik kelak.

"Kita ada nama-nama besar seperti Lee Hup Wei, Roslinda Samsu dan Rayzamshah Wan Soffian, yang mana atlet-atlet ini mempunyai masa depan yang cukup cerah.

"Daripada pemerhatian saya, kita juga mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan dalam acara-acara lompatan dan lari berpagar di pentas antarabangsa," jelas Hanapiah lagi.

Bagi ketua jurulatih skuad pelapis, Mohd. Manshahar Abd. Jalil, dia enggan menyalahkan mana-mana jurulatih asing di sebalik kegagalan negara melahirkan ramai atlet berkualiti.

Namun, secara peribadi, Manshahar juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menganggap jurulatih tempatan juga telah gagal membentuk atlet olahraga bertaraf dunia.

Menurutnya, tanggapan sebegitu sebenarnya tidak berasas kerana selama ini telah terbukti bahawa jurulatih tempatan juga mampu melahirkan atlet olahraga yang hebat.

"Jurulatih tempatan memiliki kaliber tersendiri. Apa yang penting, mereka perlu diberi kepercayaan dan peluang untuk satu tempoh yang panjang," jelas Manshahar yang bertanggungjawab mengembangkan karier Roslinda.

"Namun, kehadiran jurulatih asing juga perlu dilihat dari sudut positif terutamanya dalam perkongsian ilmu. Ia merupakan satu kelebihan buat jurulatih tempatan apabila dapat bekerjasama dengan jurulatih asing."

Cumanya, Manshahar melihat masalah komunikasi sebagai antara punca atlet tempatan gagal menerima latihan terbaik daripada jurulatih asing.

"Ini hakikat yang perlu kita terima kerana ada atlet kita yang gagal untuk memahami arahan daripada jurulatih asing semata-mata masalah komunikasi," tambah jurulatih lompat bergalah ini.




Dalam pada itu, bekas jaguh jarak jauh negara, M. Ramachandran memberi cadangan agar jurulatih tempatan diberi peranan sepenuhnya untuk membimbing atlet negara.

Pendirian Olahragawan Kebangsaan tahun 1993 ini adalah berdasarkan pengalamannya yang pernah berlatih di bawah jurulatih tempatan, R. Jeganathan dari tahun 1987 hingga 2003.

"Saya tidak nampak sebarang masalah dengan jurulatih tempatan. Mereka mempunyai potensi untuk melahirkan atlet berkualiti.

"Saya sendiri bermula dengan jurulatih tempatan dan sehingga bersara, saya masih mendapat sentuhan jurulatih tempatan.

"Lihat sahaja kejayaan saya di pentas Sukan SEA. Begitu juga dengan Sukan Asia dan juga Kejohanan Asia," ujar jaguh acara 5,000 dan 10,000m ini yang telah mengumpul lapan pingat emas Sukan SEA 1993 hingga 1999.

Hakikat yang pasti, pendirian daripada Hanapiah, Manshahar dan Ramachandran ini adalah berasas dan dibuat atas keyakinan mereka bahawa sukan olahraga negara mampu mencipta kegemilangan suatu hari nanti.

Soal kebolehpercayaan kepada jurulatih asing ataupun kemampuan jurulatih tempatan adalah persoalan kedua.

Apa yang penting, semua pihak perlu mengkaji dan memandang serius ungkapan peribadi yang diluahkan Hanapiah ketika ditemui baru-baru ini.

"Daripada segala aspek, Malaysia dan Thailand tidak banyak bezanya, malahan kita mungkin mendahului dalam beberapa perkara.

"Namun, satu perkara yang tiada dalam diri atlet kita hari ini dan ada pada atlet Thailand adalah semangat patriotik ketika menyarung jersi negara," jelas Hanapiah.

Jurulatih tempatan, asing sama saja

JURULATIH tempatan dan asing sama saja.

Itu pandangan kebanyakan atlet olahraga negara yang melihat perkara tersebut dari sudut yang lebih luas.

Begitupun, tanpa mahu menidakkan kemampuan anak tempatan, ada di kalangan atlet negara juga merasakan perlunya sentuhan jurulatih asing dalam usaha mengembangkan pembangunan sukan negara khususnya olahraga.

Bagi ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, dia tidak berkira untuk berlatih di bawah jurulatih mana, asalkan latihan yang diberikan mampu meningkatkan prestasinya.

“Bagi saya mereka sama sahaja. Jurulatih tempatan ada kelebihan dan begitu juga dengan jurulatih asing,” jelas pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah ini.

“Apa yang penting adakah keserasian antara atlet dan jurulatih tersebut,” ujarnya yang pernah dibimbing anak tempatan, Mohd. Manshahar Abd. Jalil dan jurulatih dari Rusia, Gennady Potapovich.




Pemegang rekod Sukan SEA acara 110 meter lari berpagar, Rayzamshah Wan Sofian pula tidak menolak hakikat yang dia berminat untuk berlatih di bawah jurulatih asing suatu hari nanti, walaupun kariernya telah dikembangkan oleh jurulatih tempatan.

“Buat masa ini saya tidak terfikir untuk bertukar jurulatih. Namun, saya akui jurulatih asing mempunyai pengalaman luas yang mungkin kurang pada jurulatih tempatan,” jelas Rayzamshah yang kini dibimbing Raymie Abu Bakar.

Atlet dari Sabah itu turut menjelaskan bahawa program latihan tersusun dan sistematik adalah faktor utama kepada kejayaan seseorang atlet.

Dalam pada itu, bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad mengakui lebih serasi berlatih di bawah kendalian jurulatih tempatan.

“Saya telah berlatih di bawah ramai jurulatih tempatan dan luar. Setiap daripada mereka ada kelebihan tersendiri.

“Namun, tidak diakui jurulatih asing mempunyai kemahiran yang jauh 10 tahun ke hadapan berbanding kita,” tambah Nazmizan yang mempunyai catatan peribadi 10.38 saat dalam acara 100m .

Nazmizan pernah berlatih di bawah dua jurulatih Rusia, Gennadi Joubriakov dan Alex Sasha selain jurulatih tempatan seperti Chan Kay Yew dan Harun Rasheed.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0