STAILO

Rawatan gelombang radio

Rawatan gelombang radio

Rawatan gelombang radio adalah untuk menegangkan kulit wajah dengan menggunakan mesin gelombang radio yang menjadikan kulit wajah lebih berseri, tegang dan bersinar sama ada anda mengenakan mekap atau tidak.


URUTAN dilakukan selama 30 minit supaya kulit benar-benar tegang.



WAJAH berseri, kulit tegang dan tidak mudah berkedut menjadi idaman setiap wanita terutama mereka yang berusia lebih daripada 30 tahun.

Peredaran masa dan perkembangan teknologi mendorong wanita mencuba pelbagai jenis rawatan bagi menjaga kecantikan kulit wajah masing-masing.

Ada pula gemar merawat wajah dengan rawatan muka berasaskan kaedah tradisional yang sarat dengan penggunaan bahan-bahan herba asli dan tulen.

Sementara itu, terdapat juga wanita yang yakin kepada rawatan yang menggunakan mesin berteknologi untuk memperoleh hasil yang lebih cepat tetapi selamat.

Rawatan gelombang radio mungkin kedengaran pelik bagi anda kerana biasanya perkataan itu dikaitkan dengan radio.

Usah risau. Ini kerana fungsi rawatan itu sama dengan rawatan wajah yang banyak terdapat di pasaran iaitu mengekalkan keayuan dan kejelitaan kulit.


RAWATAN gelombang radio turut menggunakan produk penjagaan kulit Giena Skincare.


"Rawatan gelombang radio ini adalah untuk menegangkan kulit wajah dengan menggunakan mesin gelombang radio. Rawatan itu akan menjadikan kulit wajah lebih berseri, tegang dan bersinar sama ada anda mengenakan mekap atau tidak.

"Teknik rawatan gelombang radio amat diperlukan oleh golongan wanita yang semakin lanjut usia. Ia sekali gus akan mengurangkan kebimbangan terhadap masalah kekurangan ketegangan kulit, pembentukan garis-garis halus dan kedut," jelas Norazizan Ghazali, pakar kecantikan selaku Pengarah Urusan Beauty Arena Sdn. Bhd. kepada Stailo ketika ditemui di pusat kecantikan yang dikenali sebagai Beauty Palace di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Wanita yang lebih mesra dengan panggilan Rozi itu memberitahu, sebelum rawatan dimulakan, pelanggan akan ditanya sama ada mereka ada memakai bahan yang dibuat daripada logam pada wajah seperti susuk dan pendakap gigi.

Katanya, maklumat itu penting bagi mengelakkan masalah apabila mesin gelombang radio digunakan pada wajah. Dalam hal ini, pelanggan diminta berterus terang supaya rawatan yang dilakukan memberi hasil sempurna.


BAKAL pengantin boleh melakukan rawatan wajah gelombang radio 10 hari sebelum majlis perkahwinan.


Jika pelanggan memakai sebarang aksesori logam, maka gelombang radio yang disalurkan melalui mesin tersebut gagal bertindak untuk menegangkan kulit, sebaliknya ia akan diserap masuk ke dalam bahan logam tersebut.

"Bagi bakal pengantin, elok mereka melakukan rawatan wajah ini tujuh atau 10 hari sebelum majlis perkahwinan. Hasilnya, wajah akan tampak lebih berseri dan berkilau. Kilauan akan bertahan dalam tempoh satu hingga tiga bulan, bergantung kepada jenis dan usia kulit," katanya.

Rozi memberitahu, sebelum melakukan sebarang rawatan wajah, ahli terapi di pusat kecantikan tersebut akan melakukan ujian ke atas kulit pelanggan bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah kulit yang teruk seperti jerawat dan kulit muka berminyak.

"Jika masalah ini timbul, kami akan lakukan rawatan lain sebelum meneruskan rawatan gelombang radio," ujarnya yang menunjukkan mesin analisis kulit yang diletakkan di satu sudut salon kecantikan itu.

Rozi juga berkata, sebelum melakukan rawatan menegangkan kulit wajah dengan menggunakan teknik gelombang radio, cucian berganda perlu dilakukan untuk memastikan kulit benar-benar bersih. Pencuci susu yang bersifat lembut dan menyegarkan kulit digunakan untuk menanggalkan solekan pada wajah.


TOPENG muka serbuk emas membolehkan kulit mudah bernafas dan melembutkan kulit.


"Seterusnya, basahkan sedikit losen tonifying untuk segarkan kulit wajah sekali gus meneutralkan cucian. Kulit akan berasa segar pada tahap ini. Ini diikuti pula dengan sapuan sedikit skrab exfoliating yang digosok perlahan pada kulit," jelasnya sambil memberitahu semasa menggosok, elak menekan kulit dengan kuat sehingga memberi tekanan pada wajah.

Sementara itu, skrab dioles pada seluruh wajah kecuali mata dan bibir. Biarkan selama empat hingga lima minit. Kemudian bersihkan skrab dengan sempurna sebelum losen tonifying disapukan sekali lagi.

Ujarnya, sebelum memulakan teknik rawatan gelombang radio, sejenis kolagen yang dipanggil Ampoule disapu pada seluruh wajah. Kemudian, urut wajah dengan menggunakan Aireena Aromassence daripada Giena Skincare selama 10 minit.

"Kepingan logam akan diletakkan di bahagian bawah badan untuk menyalurkan gelombang radio bagi rawatan selama 30 minit.


SUASANA tenang dan indah di Beauty Palace.


"Dengan menggunakan sejenis alat urut berwarna hitam, urutan dilakukan di seluruh wajah terutama bahagian pipi yang sentiasa mengalami masalah kekurangan ketegangan. Urutan diteruskan selama 30 minit sehingga kulit kelihatan tegang," kata wanita yang memiliki produk penjagaan kulit Giena Skincare itu.

"Serbuk emas juga digunakan dalam rawatan ini. Ia bertindak sebagai agen awet muda yang membantu menghilangkan garisan-garisan halus, di samping melembapkan tekstur kulit yang kering akibat panahan matahari dengan memakai topeng muka serbuk emas.

"Pati yang terkandung di dalamnya membolehkan kulit mudah bernafas sekali gus memperketatkan kolagen bagi menampilkan kulit yang lembut," kata Rozi sambil memberitahu amalan penggunaan serbuk emas diaplikasikan sejak turun-temurun untuk kulit awet muda.


SERBUK emas bertindak sebagai agen awet muda.


Rozi mengingatkan bahawa rawatan itu hanya sesuai untuk mereka yang berusia 28 tahun ke atas, selain tidak sesuai untuk ibu mengandung, ibu menyusukan bayi, penyakit jantung yang menggunakan pacemaker, orang yang mengalami luka dan sawan.

Mereka yang berminat mencuba rawatan gelombang radio itu boleh kunjungi salon Beauty Palace yang dibuka setiap Selasa hingga Sabtu mulai 10 pagi sehingga 8 malam manakala Ahad dibuka dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Process time in ms: 0