HIBURAN
FFVPM6 dikuasai UTAR

MALAM Anugerah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-6 (FFVPM6) yang berlangsung hujung minggu lalu menjadi malam gemilang buat Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) apabila karya hasil kreativiti dua pelajar universiti swasta tersebut membolot kesemua hadiah kategori utama.
UTAR memperoleh kemenangan berganda menerusi tiga naskhah berkualiti iaitu The Last Exit, Rewind dan Witty Wings.
The Last Exit yang bertanding menerusi kategori cipta bagi video pendek menjulang trofi kumpulan produksi terbaik.
Naskhah berjudul Rewind iaitu video pendek dan dokumentari yang bertanding menerusi kategori perdana pula merangkul Anugerah Video Pendek Terbaik.

Witty Wings pula meraih Anugerah Dokumentari Terbaik.
Sungguhpun ini penyertaan kali pertama, namun tuah menyebelahi para pelajar UTAR.
The Last Exit dan Witty Wings merupakan hasil kreativiti pelajar penyiaran UTAR, Quek Shio Chuan.
"Kemenangan pada malam itu tidak dijangka walaupun saya ada menaruh sedikit harapan memandangkan saingan yang cukup sengit.
"Kira bertuahlah, sebab saya dapat dua kamera dan duit lagi. Kemenangan ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya.
"Lagipun, saya masih pelajar, ini pengalaman yang cukup berharga buat diri saya dan juga semua rakan yang berkongsi hadiah kemenangan ini," ulas pelajar berusia 22 tahun.

Bukan setakat produksi terbaik dan dokumentari terbaik, malah Shio Chuan juga memenangi pelbagai anugerah lain seperti pengarah terbaik, suntingan terbaik, penataan bunyi terbaik, sinematografi terbaik dan pengarah seni terbaik menerusi The Last Exit.
Sementara menerusi Witty Wings, pelajar itu turut memenangi anugerah suntingan dan pengarah terbaik.
Menurutnya lagi, The Last Exit dihasilkan semasa pengajiannya di universiti tersebut.
Witty Wings pula dihasilkan selepas ia dibentangkan dalam bentuk kertas kerja kepada panel juri terlebih dahulu sebelum diluluskan untuk penggambaran bagi menyertai festival itu.

"Itu perbezaan antara kategori cipta dan perdana. Yang susahnya kategori perdana sebab dalam masa yang singkat kami harus keluarkan idea dan terus melakukan penggambaran dengan bajet serta tempoh masa yang diberi.
"Semasa buat penggambaran dokumentari, saya dan kumpulan memilih lokasi Endau Rompin.
"Pada mulanya kami tidak yakin ia berjaya dihasilkan kerana kami semua kena tunggu burung itu muncul. Bayangkan dalam hutan penuh dengan nyamuk dan bermacam serangga.
"Mungkin nasib kami baik, jadi dapatlah kami rakamkan gambar untuk burung murai batu yang menjadi objek utama naskhah kami itu," jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi pengarah filem suatu hari nanti.
Kegembiraan Shio Chuan turut dikongsi bersama rakan sekelasnya, Chin Fui Hian, 22, apabila dia memenangi anugerah video pendek terbaik bagi kategori perdana menerusi Rewind.

![]() |
|
|
Selain itu, Rewind turut membawa pulang dua lagi anugerah iaitu suntingan terbaik dan pelakon pembantu terbaik.
Sama seperti rakannya, Fui Hian juga tidak dapat menyembunyi kegembiraannya apabila memperoleh kemenangan menerusi kategori utama.
"Mestilah saya seronok, memang saya harap untuk menang, tetapi semasa saya menghantar kertas kerja Rewind, saya hanya tampilkan storyboard saja tanpa skrip.
"Sebenarnya agak pening juga saya mahu memikirkan jalan cerita kerana ketika itu saya hanya ada konsep idea. Sedangkan pelakon, skrip dan lokasi semuanya belum ada. Namun, dengan bantuan semua pihak, saya dapat menyiapkannya dan akhirnya berbaloi dengan meraih anugerah ini," jelasnya.
Tambah Fui Hian, kemenangannya itu diharap dapat memberi peluang yang cerah untuknya pada masa hadapan.
Ini kerana menjelang Mei nanti dia bakal menggenggam segulung ijazah.
"Tidak lama lagi saya dan Shio Chuan akan menjalani latihan praktikal di Popiah Pictures.
"Justeru, kemenangan ini merupakan satu bonus untuk pengalaman kami. Saya berharap kami berdua akan menjadi orang terkenal dalam bidang penyiaran.
"Namun ia mungkin memerlukan masa yang agak lama untuk dicapai," tutur Fui Hian.
Dalam pada itu, festival filem yang diadakan khas untuk para pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta itu mendapat sambutan yang menggalakkan, malah turut mendapat sokongan penggiat industri sendiri.
Pada malam kemuncak FFVPM6 tersebut, ramai selebriti dan penggiat seni hadir termasuk Pierre Andre, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Ellie Suriati, Hans Isaac, Kencana Dewi, Tan Sri Jins Shamsudin, Ahmad Idham dan David Teo.
Majlis anugerah bertambah meriah dengan persembahan daripada Awang BPR, Amylea AF dan Datuk Ahmad Jais.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.





Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


