STAILO

Inspirasi kasut Paris

Inspirasi kasut Paris

Tanpa memerlukan aksesori berlebihan, koleksi kasut Bally mampu memberikan gaya menawan tatkala sepasang kaki wanita menyarung sepatu itu.



"SERLAHKAN penampilan anda dengan menyarung kasut koleksi Bally."



"KIRI: KASUT Gill-Citrine ini boleh didapati dalam rona coklat. KANAN: SANDAL Rako-Platino "


SEJAK dilancarkan di pasaran, jenama Bally sudah mula dikenali sebagai label barangan mewah global. Kebanyakan produk yang dihasilkan memiliki keunikan, keistimewaan, gaya dan berkualiti.

Di Barat, pelakon Jessica Alba antara selebriti di Barat yang tidak ketinggalan bergaya dengan koleksi beg tangan Bally.

Mengimbas kembali sejarah jenama ini, Bally diasaskan di Swiss Hamlet, Schonenwerd, Switzerland pada tahun 1851 oleh Carl Franz Bally. Segalanya bermula apabila Carl mula terpikat pada rekaan sepasang kasut ketika melawat Paris.

Di Paris, beliau membeli beberapa pasang kasut untuk dihadiahkan kepada isterinya. Sekembalinya ke Switzerland, Carl mengambil keputusan untuk membuka perniagaan kasut.

Menyedari kasut antara aksesori penampilan yang digemari wanita, Carl sentiasa memikirkan idea rekaan yang menarik. Sama ada sandal rata atau kasut setinggi sembilan sentimeter, label Bally sentiasa memastikan koleksi kasut diperbuat daripada material dan kulit haiwan yang terbaik.

Selepas sandal dan kasut tinggi mendapat sambutan pelanggan, sempena tahun 2009 ini, Bally melahirkan kasut bertumit setinggi 12 sentimeter manakala bahagian hadapannya setinggi tiga sentimeter. Ia cukup unik dan anggun bersesuaian dengan jiwa dan minat wanita pada zaman moden ini.

Rekaan dan perincian pertukangan yang halus, di samping penggunaan motif flora dan material daripada kulit haiwan yang lembut menyerlahkan lagi koleksi kasut Bally.

Bukan itu sahaja, kasut tinggi dan platform (Ilbana) yang diperbuat daripada kombinasi kulit haiwan dan kulit bengkarung yang natural menghasilkan satu rekaan yang indah.


"DARI ATAS ARAH JAM: "NADRINE Hazel-Cardamon, ILLYA Putty-Black, ILBANA Sahara-Flint, "


Pada musim panas akan datang, wanita yang gemarkan gaya santai sesuai memadankan sandal Rako Platino yang ringkas dan sporty serta dihiasi aksesori di bahagian hadapan sandal.

Selain itu, jika ingin tampak seksi ketika memakai skirt atau seluar separa lutut, usah bimbang kerana kasut Gill dan Gisa dapat membantu. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Process time in ms: 16