HIBURAN

Kehilangan terbesar Nubhan

Kehilangan terbesar Nubhan


NUBHAN menyimpan banyak kenangan manis bersama dengan arwah bapanya.


PERMULAAN tahun 2009 bukan sesuatu yang indah buat penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan.

Semangat dan azam barunya meneruskan kejayaan cemerlang dalam bidang seni terbantut seketika apabila dia menerima perkhabaran mengenai pemergian bapa tersayang Ahamad Abdul Rahman pada 7 Januari lalu.

Kata jejaka berusia 23 tahun ini, dia merupakan anak bongsu dalam lapan adik-beradik dan hubungannya dengan ibu bapanya terlalu rapat. Kehilangan bapanya merupakan satu kehilangan terbesar dalam hidupnya.

Meskipun dia hilang semangat seketika saat memaksa diri menerima kenyataan tersebut, Nubhan akhirnya mampu menenangkan dirinya dan menganggap pemergian bapanya sebagai qada dan qadar yang telah ditentukan Ilahi.

Bagi menyelami lebih lanjut isi hati anak jati Negeri Sembilan ini, ikuti perbualan antara Nubhan dan Kosmo! sejurus selepas majlis pengebumian bapanya pada petang Khamis lalu.

Apa khabar? Macam mana keadaan Nubhan dan keluarga sekarang setelah pemergian bapa?

Sekarang semua okey, arwah abah telah selamat dikebumikan dan kami buat kenduri tahlil selama tiga hari. Sedih, memang sedih tetapi saya reda. Saya juga ambil cuti selama seminggu dan tangguhkan semua persembahan hujung minggu ini.

Bila Nubhan mengetahui keadaan ayah dan apa reaksi ketika menerima berita tersebut?

Semasa menerima berita itu, saya berada di sebuah restoran di Kuala Lumpur, dan kakak saya hubungi beritahu abah pengsan ketika menghadiri kenduri di rumah jiran sebelah rumah kami di Seremban. Selepas dapat tahu pada pukul 8.30 malam saya bertolak dari Kuala Lumpur, tetapi apabila sampai di Nilai, saya dapat panggilan telefon pada pukul 9.30 malam yang mengatakan bapa sudah meninggal dan saya terus ke hospital.

Arwah bapa Nubhan meninggal kerana disahkan sakit jantung pada usia 68 tahun, adakah Nubhan tahu bapa mempunyai penyakit jantung sebelum ini?
NUBHAN sempat menyedekahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum jenazah bapanya dikebumikan.


Bukan saya saja, semua ahli keluarga saya tidak tahu arwah abah ada sakit jantung kerana dia sihat saja sebelum ini, cuma ada penyakit darah tinggi dan sakit dada sikit-sikit. Emak beritahu, arwah abah menghadiri kenduri jiran dan ketika dia makan dia mengadu sakit dada dan terus saja rebah. Arwah abah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bilakah kali terakhir Nubhan bertemu arwah bapa dan ada apa-apa tanda sebelum arwah meninggal dunia?

Saya jumpa arwah abah pada hari Ahad dua minggu lepas semasa pulang ke Seremban. Arwah seperti biasa, malah kami berbual macam selalu, sebab itu saya tidak perasaan apa-apa yang berlainan dengan dirinya. Dia memang sihat, itu yang saya terkejut sangat. Cuma saya ada rasa tidak sedap hati dua tiga hari sebelum arwah meninggal, hati saya memang rasa nak balik Seremban, kawan-kawan pun perasan perangai saya sedikit pelik seperti orang ada masalah, tetapi kerana ada rakaman album dan kerja saya tak dapat balik. Rasa tidak sedap hati saya terjawab bila dapat berita sedih itu. Memang sepatutnya saya kena balik, sebab itu saya terkilan sangat tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir.

Apakah perancangan Nubhan untuk arwah bapa sebelum pemergiannya?

Tahun ini saya memang nak buat sambutan ulang tahun perkahwinan ibu dan abah pada Disember depan. Saya juga ingin beri pembantu rumah kepada mereka, tetapi nak buat macam mana Allah lebih sayangkan arwah abah. Bagaimanapun, saya bersyukur masih sempat berjasa pada arwah abah. Saya beli apa yang termampu, walaupun tidak sebesar mana. Arwah dapat merasa hasil titik peluh saya, termasuklah ketika saya bekerja sebelum menjadi penyanyi lagi.

Bagaimana pula kehidupan Nubhan dan keluarga selepas ini?

Selama ini hanya emak dan arwah abah yang tinggal di rumah kami di Seremban. Bila arwah abah sudah tiada, emak akan tinggal bersama kakak sulung saya di Kampung Juasseh kerana sebelum ini emak bergantung pada arwah abah saja. Bila arwah abah sudah tiada saya risau akan emak, sebab itu emak tinggal bersama kakak. Saya pula akan teruskan hidup seperti biasa walaupun sedih kerana saya kehilangan orang paling penting dalam hidup saya.

Process time in ms: 31