HIBURAN

Maximus bebas tapi terikat

Maximus bebas tapi terikat

Kami mahu dikenali kerana karya kami, kami nak jual karya bukan kerana wajah sebab kami semua bukannya tampan sangat
– MIJIERO


ANGGOTA kumpulan Maximus, dari kiri Ejal, Apex, Faizal, Zakk dan Majiero.


HIDUP mereka bertongkatkan langit dan berpijak di bumi yang nyata seperti makhluk lain. Bezanya, mereka mahu menegakkan prinsip dan jati diri yang dianuti menerusi jalur muzik yang diminati.

Mulanya bergerak secara bawah tanah atau lebih intim dengan suasana semasa disebut band indie, lima anak muda yang menggelarkan diri sebagai Maximus ini tampil berani untuk sedia beradu.

"Kami mahu dikenali kerana karya kami, kami nak jual karya bukan kerana wajah sebab kami semua bukannya tampan sangat," getus Mijiero, sang gitaris, orang yang bertanggungjawab menemukan empat lagi rakannya untuk berjuang di bawah nama Maximus empat tahun lalu.







Mungkin sebab itulah, untuk album sulung yang masih dalam proses pembikinan ketika ini, mereka tidak mengharapkan karya komposer yang telah sedia popular untuk menumpang tuah.

"Boleh dikatakan kami buat sendiri semua lagu dan lirik. Tapi ada juga karya daripada teman-teman, yang penting mereka bukan orang lama, semuanya orang baru. Kalau orang baru tak diberi peluang, macam mana karya nak berkembang, bukan," tambah Mijiero yang bertindak sebagai Penolong Penerbit dan Penggubah Muzik sepanjang pembikinan album mereka.

Memberi semangat kepada kemunculan band indie ini ke persada muzik arus perdana, Maximus sewajarnya berbangga kerana label pakaian antarabangsa Tough sanggup meminjamkan nama untuk mengiringi perjalanan awal Maximus menemui peminat ke seluruh negara.

Jika perancangan pihak syarikat rakaman berjalan lancar, Gothic Records tidak akan teragak-agak untuk menerbangkan produk album sulung Maximus untuk menjalani proses adunan bunyi ke Australia.

"Itu yang dijanjikan pihak syarikat, dan kami sangat teruja untuk memberikan satu lagi sentuhan berkualiti terhadap pembikinan album dalam industri muzik tempatan," jelas Mijiero mewakili teman-temannya yang lain.

Selain Mijiero, kumpulan yang sedang rancak mempromosikan single terbaru yang sedang hangat, Apa Mahu Mu ini turut dibarisi oleh Ejal (gitaris), Faizal (bass) dan Zakk (drummer) dan Apex (vokal). Mereka memilih nama Maximus kerana kepada mereka, nama berkenaan melambangkan kekuatan dan keagungan dalam segala aspek.

"Dah lama kami tunggu peluang sebegini dan saya pasti album ini akan memberi kepuasan kepada semua peminat muzik terutama bila bercakap bab kualiti bunyi. Itu yang buat kami gembira," kata vokalis Maximus yang menggelarkan dirinya dengan nama Apex.

Selain lagu Apa Mahu Mu yang sedang hangat bermain di corong-corong radio, Maximus turut mempertaruhkan dua lagi single mereka, Kamu dan Biar Mati Chinta Ini, untuk peminat muzik tanah air.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 32