SUKAN

Bola sepak negara makin malap

Bola sepak negara makin malap


KEJAYAAN Kedah menjulang gelaran treble buat kali kedua musim 2008 sedikit sebanyak mengubati kekecewaan peminat sukan bola sepak Malaysia.


TAHUN 2008 nampaknya bukan tahun cemerlang buat sukan bola sepak negara.

Selain daripada kejayaan treble pasukan Kedah dalam Liga Malaysia, tidak banyak yang boleh dibanggakan mengenai sukan No. 1 negara itu.

Boleh dikatakan bola sepak negara sehingga kini nampaknya semakin 'bulat'.

Kegagalan skuad kebangsaan dalam dua kejohanan utama sekali lagi menjadi topik hangat di kalangan peminat tempatan yang terus-menerus mempersoalkan kredibiliti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika tewas kepada Vietnam pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka edisi ke-41 Oktober lalu, tanda-tanda kemerosotan skuad bimbingan B. Sathianathan itu sudah jelas terbayang.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila skuad negara sekali lagi gagal pada kempen Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Phuket, Thailand awal bulan ini.

Persiapan yang dilakukan di Slovakia serta kejohanan pemanas badan pada Piala Cabaran Grand Royal di Myanmar masih belum cukup untuk memperbaiki mutu skuad negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan setelah tewas kepada Thailand dan Vietnam.

Beban daripada hamburan kata-kata nista terhadap skuad negara sudah pastinya terpalit di bahu FAM selaku badan bertanggungjawab terhadap perjalanan bola sepak negara.


SKUAD negara gagal menyerlah sepanjang tahun ini selepas kecundang dalam kempen Pestabola Merdeka dan Piala Suzuki AFF.


Tindakan FAM yang menyambung semula kontrak Sathia secara bersyarat selama setahun lagi mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini mereka lantang memberi amaran bahawa kontrak jurulatih itu akan dinilai berdasarkan prestasi pada Kejohanan Piala AFF.

Begitupun, ada wajarnya juga langkah yang diambil FAM itu. Jika dilihat pencapaian skuad negara sepanjang tahun ini, dalam 11 perlawanan yang diharungi di peringkat antarabangsa, skuad bimbingan Sathia itu hanya tewas tiga kali dan seri sekali, termasuk tewas 0-2 kepada Chelsea dalam kempen pra-musim kelab gergasi England itu di Asia.

Memandangkan kempen Kelayakan Piala Asia akan bermula Januari depan, masa pastinya tidak cukup bagi jurulatih baru membentuk skuad yang lebih segar dan bermaya.

Ketika ramai peminat setia sukan negara mengharapkan satu perubahan baru dilakukan oleh FAM terhadap kualiti skuad bola sepak negara, namun semuanya hampa apabila hasil perubahan tersebut seperti tidak kunjung tiba.

Kejayaan memperbaiki ranking dunia kepada kedudukan ke-151 awal bulan ini masih belum cukup meyakinkan bahawa bola sepak negara adalah yang terhebat di rantau Asia Tenggara.

Malah kebangkitan yang dipamerkan juara baru Piala AFF, Vietnam, negara jiran Singapura dan Myanmar sejak kebelakangan ini juga amat membimbangkan.


KELIBAT pemain asing sekali lagi diharamkan oleh FAM dalam saingan Liga Malaysia tahun depan.


Jika di rantau Asia Tenggara pun skuad negara gagal menyinar, peminat perlu akur bahawa impian untuk melihat Malaysia tersenarai dalam acara bola sepak pada Sukan Olimpik elok dilupakan.

Selain kredibiliti dan peranan utama FAM kerap kali dipersoalkan, kualiti pemain yang dilahirkan daripada program pembangunan yang dicanang-canang FAM selama ini juga sudah mula memualkan hati peminat negara.

Timbalan presiden FAM, Khairy Jamaluddin sendiri mengakui kurangnya perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar umbi seperti di peringkat daerah dan negeri menjadi punca negara ketandusan pemain yang berkualiti.

Justeru, selepas post mortem dijalankan ekoran kegagalan skuad negara pada kempen Piala AFF baru-baru ini, FAM mula merangka projek baru untuk lebih memberi penekanan yang serius terhadap pencarian bakat-bakat muda bagi memperbaiki kualiti pasukan negara.

Perkara ini juga diakui sendiri oleh Sathia yang berpendapat kekurangan pertandingan kompetitif pada peringkat umur bawah 18 tahun menjadi punca kelemahan skuad bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

"Walaupun telah memilih pemain yang paling konsisten dalam Liga Malaysia untuk mewakili negara, dalam banyak perlawanan, pemain-pemain yang dipilih masih melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku," kata Sathia.

Beliau menambah: "Kebanyakan pemain boleh bermain pada tahap yang baik tapi bila (dalam) perlawanan, mereka tak ada konsistensi. Itulah yang saya nampak selama setahun saya menjadi jurulatih."

Kematangan dan konsistensi corak permainan sebenarnya banyak dipengaruhi oleh penglibatan pemain dalam perlawanan kompetitif pada peringkat umur muda dan bukan kerana latihan semata-mata.

Maka tahap kompetitif perlawanan liga domestik sesebuah negara juga memainkan peranan penting dalam melahirkan pemain berkualiti yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah mempunyai tahap konsistensi yang berpanjangan.

Persoalannya kini, adakah wajar FAM yang diterajui Sultan Ahmad Shah selama lebih dua dekad lalu bertanggungjawab terhadap kemerosotan bola sepak negara yang dilihat seakan-akan tidak menunjukkan peningkatan?

Sikap tidak tegas FAM yang kerap kali melakukan perubahan dalam kempen Liga Malaysia juga dianggap sebagai antara satu punca utama mengapa bola sepak negara semakin merosot.

Sejak Liga Semi Pro ditukarkan kepada Liga Profesional pada 1997, kualiti yang dipamerkan pasukan-pasukan tempatan juga dilihat tidak banyak meningkat.

Selepas membenarkan semula peraturan menggunakan pemain import dalam Liga Malaysia (Liga M), tahun ini FAM membuat keputusan untuk menarik balik peraturan tersebut bagi saingan musim depan 2009.

Adakah wajar FAM menarik balik kemeriahan pertandingan di peringkat domestik dengan mengharamkan khidmat pemain import hanya kerana mahu memberi peluang kepada pemain tempatan mempamerkan bakat sebenar?

Tidakkah FAM sedar bahawa kemasukan pemain import sebenarnya banyak membantu peningkatan prestasi dan kemahiran pemain tempatan dalam pertandingan liga yang kompetitif selain turut menjana pendapatan persatuan negeri dan kelab menerusi kutipan tiket dan tajaan.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau Shebby turut mempertikaikan langkah FAM itu yang dianggap semakin berundur ke belakang.

"Kalau seseorang pemain tempatan bermain bersama-sama pemain import, maka dia mempunyai peluang untuk meningkatkan kebolehan dan kemahirannya," kata Shebby.

Kemasukan pemain import bukannya menutup terus peluang pemain tempatan untuk beraksi di liga sendiri, malah ia akan membuka lebih banyak persaingan yang sihat di antara pemain pasukan itu.

"Dalam liga di England dan juga di negara lain, mereka tidak mengharamkan pemain import dan mereka juga tidak pernah walau sekali mengubah peraturan liga mereka. Dan hasilnya, kita dapat lihat negara seperti England dan Sepanyol muncul gergasi bola sepak dunia.

"Jadi saya tidak faham mengapa FAM mahu mengharamkan semula pengambilan pemain import dalam pasukan liga tempatan sedangkan ia membawa kebaikan kepada kualiti dan persaingan di antara pasukan dan pemain kita sendiri" katanya lagi.

Hakikatnya, FAM sebenarnya berdepan misi yang sukar sepanjang penubuhan persatuan itu sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Mereka telah melakukan segala yang termampu untuk memperbaiki reputasi dan mutu bola sepak negara sekali gus memenangi kepercayaan peminat untuk terus mengawal sukan paling popular negara ini.

Selain masalah tersebut, FAM juga mempunyai hubungan yang dingin dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang merajuk dengan Malaysia.

Ia berpunca selepas Malaysia menjemput Manchester United mengadakan perlawanan persahabatan ketika kempen Piala Asia sedang berlangsung di Jakarta.

Natijahnya, AFC mengugut untuk memindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke lokasii lain di kalangan negara anggota.

FAM pula berkeras enggan memujuk AFC mengubah pendirian mereka setelah badan bola sepak Asia itu mengemukakan pelbagai permintaan yang tidak masuk akal menerusi presidennya, Mohammad Hammam.

Ramai yang mempertikaikan sumbangan AFC kepada bola sepak negara dan banyak juga pihak yang bengang setelah mengetahui AFC seperti lupa daratan sehingga sanggup berpindah ke negara lain.

Apa pun yang berlaku, hubungan dingin itu masih belum lagi berakhir.

Menjelang tahun 2009 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, harapan kita amat besar untuk melihat masalah-masalah yang membelenggu sukan bola sepak negara akan dapat diatasi.

Tidak harus ada lagi halangan kepada objektif baru FAM yang mahu memperhebatkan program pembangunan baru di peringkat akar umbi selain berazam mengubah kedudukan Malaysia dalam ranking dunia.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15