INFINITI

Kecil daripada biasa

Kecil daripada biasa

Mini-ITX merupakan sejenis papan induk bersaiz kecil yang dibangunkan oleh VIA. Ia merupakan versi mini kepada papan induk ATX yang lazim terdapat di pasaran.


KOMPUTER yang berasaskan Mini-ITX membolehkan penjimatan kerana ia menggunakan bekalan kuasa yang rendah.


JIKA dilihat pada saiznya, pasti ramai yang tidak menyangka ia merupakan sebuah komputer peribadi. Namun, setelah melihat kemampuannya di paparan monitor, ramai yang mula jatuh cinta dengan rekabentuknya yang pelbagai dan menarik. Saiznya yang lebih kecil berbanding komputer desktop memberikan penjimatan ruang yang ketara berbanding komputer biasa.

Mini-ITX merupakan sejenis papan induk bersaiz kecil yang dibangunkan oleh VIA. Ia merupakan versi mini kepada papan induk ATX yang lazim terdapat di pasaran. Papan induk bersaiz kompak ini dikeluarkan oleh pengeluar seperti Intel, MSI, Axiomtek, Commell, DFI, IBASE, Eyetech, Unicorn dan Samsung.

Dihasilkan bagi tujuan memenuhi kehendak pengguna yang inginkan komputer yang menggunakan bekalan kuasa yang minima, unit pemprosesan Mini-ITX dipateri terus pada papan induk selain mempunyai chipset yang menyokong pelbagai fungsi seperti rangkaian, bunyi dan grafik - kesemuanya diintegrasi menjadi satu unit. Dengan kata lain, papan induk jenis ini menggabungkan komponen asas tanpa memerlukan kita membelinya secara berasingan.

Sebuah papan induk Mini-ITX berserta unit CPU boleh diperolehi dengan harga sekitar RM300 manakala ingatan RAM 2GB boleh didapati pada harga di bawah RM100. Harganya yang agak rendah menyebabkan ramai yang membuat pengubahsuaian pada komputer mengikut citarasa masing-masing.

Piawaian Mini-ITX telah dihasilkan pada 2001 oleh VIA Technologies. Secara perbandingannya, papan induk ATX berukuran 300mm x 240mm. Papan induk Mini-ITX pula hanya 1/3 dari saiznya iaitu sekitar 170mm x 170mm. Saiznya dapat dikurangkan dengan membuang ruang ekspansi atau expansion slot dan memateri komponen terus ke papan induk.

"Menggunakan komputer yang berasaskan Mini-ITX membolehkan kita berjimat kerana ia menggunakan bekalan kuasa yang begitu rendah," jelas Nasrul Hakim Suleiman, 28 salah seorang pengguna Mini-ITX. Menurutnya lagi, "Komputer yang menggunakan papan induk Mini-ITX tidak menggunakan tenaga yang kecil jika dibandingkan dengan komputer yang menggunakan ATX. Ini merupakan sesuatu yang sihat kerana disamping dapat menjimatkan penggunaan elektrik, kita juga boleh menyumbang ke arah Kempen Pengkomputeran Hijau."

Komputer desktop biasa menggunakan bekalan kuasa yang lebih kerana ia mempunyai komponen yang dipasangkan pada slot PCI dan juga kipas untuk tujuan mengurangkan haba pada komputer. Ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan elektrik.

Mini-ITX juga pilihan yang baik bagi mereka yang tercari-cari komputer yang dapat memenuhi bajet mereka di kala ekonomi dunia yang sedang merundum. Kosnya yang agak rendah berbanding komputer biasa juga membolehkan kita berjimat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Hakim mengakui kosnya yang lebih rendah merupakan salah satu faktor mengapa beliau membuat keputusan memiliki komputer berasaskan Mini-ITX. Beliau hanya membelanjakan sekitar RM800 untuk komputer Mini-ITX kesayangannya itu.


LIHATLAH perbandingan saiz antara CPU berasaskan Mini-ITX (kiri) dengan CPU biasa (kanan).


Sungguhpun begitu, beliau tidak menafikan komputer jenis Mini-ITX tidak dapat menandingi prestasi komputer biasa, namun ia sudah memadai untuk melakukan tugasan biasa.

Menurut kakitangan bahagian Teknologi Maklumat di salah sebuah bank di Kuala Lumpur ini lagi, "Kebanyakan pengguna inginkan komputer yang terkini dan berprestasi tinggi namun hanya menggunakannya untuk melayari Internet, menaip tugasan dengan aplikasi Word dan melakukan tugasan-tugasan ringan lain yang boleh dilakukan oleh komputer biasa."

Mereka yang ingin mendapatkan komputer jenis Mini-ITX ini wajar mengetahui yang unit pemprosesannya tidak boleh dipertingkatkan lagi. Ia mungkin bukanlah satu-satunya kekurangan Mini-ITX, tetapi ia tidak menjadi sebab untuk pengguna tidak memilikinya.

Process time in ms: 63