VARIA

Rezeki musim tengkujuh

Rezeki musim tengkujuh


DERETAN gerai-gerai ubi di tepi jalan Machang-Tanah Merah, Kelantan ini hanya muncul pada musim tengkujuh, setiap tahun.


LAZIMNYA musim tengkujuh yang tiba setiap penghujung tahun di pantai timur amat dinantikan Sharifah Mahmod.

Apa tidaknya, itulah masanya beliau memasarkan pelbagai jenis ubi yang ditanam tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pangkal Berangan.

Hampir semua jenis ubi yang ditanamnya dijual di gerai di tepi jalan Machang-Tanah Merah, Kelantan.

Yang menariknya, lebih 20 deretan gerai menjual ubi di situ akan hanya muncul setiap kali tiba musim tengkujuh dan beroperasi dalam masa lima hingga enam minggu, bergantung kepada bekalan.

Ketika ditemui di gerainya, Sharifah, 43, berkata, beliau menanam pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, ubi itik, ubi badak dan ubi tongkol dengan menganggarkan masa matangnya pada musim tengkujuh, iaitu November dan Disember.

"Biasanya, di sini kami mula menanam ubi pada bulan Februari dan Mac, bergantung kepada tempoh matang jenis-jenis ubi. Ubi yang lambat matang seperti ubi kayu dan ubi badak, kami tanam awal tahun untuk pastikan ia boleh dijual pada hujung tahun," katanya.

Ubi-ubi berkenaan, bergantung kepada jenisnya, dijual pada harga antara RM2 hingga RM4 sekilogram.

Sharifah juga mendapatkan bekalan ubi daripada penduduk kampung yang kebanyakannya rajin bertani.

"Gerai ini dibuka setahun sekali. Di sini, musim tengkujuh bagaikan pesta ubi. Semua jenis ubi ada dijual dan ramai pengguna jalan raya ini berhenti untuk membelinya. Kami bersyukur kerana rezeki penduduk bertambah setiap kali datangnya musim tengkujuh," katanya.

Jelasnya, beliau mampu memperoleh pendapatan lumayan setiap musim dan cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak di awal tahun.

Selain ubi, pelbagai jenis ulam-ulaman dan ikan air tawar turut dijual di gerai yang dibuka setiap hari sehingga lewat petang.

Ahmad Ikhsan Osman, 16, turut menggunakan masa cuti sekolahnya untuk mengumpul pendapatan sampingan dengan menjual ubi di gerai itu. Selain ubi, dia juga menjual ikan air tawar yang ditangkap kawan-kawannya.

Faridah Yusof, 43, dari Kota Baharu berkata, beliau berkunjung ke gerai berkenaan hampir setiap tahun untuk membeli pelbagai jenis ubi, termasuk ubi keledek dan ubi kayu untuk dibuat kuih.

Katanya, di gerai-gerai itu, beliau mempunyai banyak pilihan ubi segar yang murah harganya, menyebabkan beliau tidak kisah berkunjung ke situ walaupun agak jauh dari Kota Baharu.

"Tak apa jalan jauh sikit, asalkan anak-anak Kak Dah puas hati dapat merasa kuih muih tradisional yang Kak Dah buat sendiri," katanya. - Bernama

Process time in ms: 63