NEGARA

Burj Dubai jadi kebanggaan

Burj Dubai jadi kebanggaan


NOR SHAHAROM di samping model menara Burj Dubai di pejabatnya di Dubai.


DUBAI - Beliau terlibat dalam projek Burj Dubai yang diusahakan Emaar Properties sejak hari pertama lagi, tetapi warga Malaysia, Nor Shaharom Mansor tetap terpegun setiap kali melihat keindahan senibina bangunan yang semakin memuncak tingginya menggapai langit.

Nor Shaharom, penolong pengarah di Emaar bagi projek menara Burj Dubai ini, bagaimanapun tidak semudah itu membocorkan rahsia yang tertutup rapi mengenai ketinggian sebenar bangunan ikonik ini yang boleh dilihat dari sejauh beberapa kilometer.

Beliau akan memberitahu anda bahawa sebarang cubaan untuk mencungkil maklumat berharga itu daripada mana-mana pihak yang terlibat juga adalah sia-sia.

"Setiap konsultan dan kontraktor yang terlibat dalam projek ini telah diminta menandatangani perjanjian menyimpan rahsia bagi memastikan pembocoran maklumat dikawal," kata Nor Shaharom, anak kelahiran Melaka ini di pejabat sementara beliau di kaki bangunan pencakar langit yang sedang dibina ini.

"Ketinggian sebenarnya masih lagi rahsia. Ia akan didedahkan kepada umum sehari sebelum perasmiannya," kata Nor Shaharom sambil ketawa dan memberikan jawapan selamat apabila ditujah dengan soalan tentang ketinggian bangunan ini.

Bangunan ini, yang telah pun diiktiraf sebagai struktur buatan manusia tertinggi di dunia, akan siap pada September 2009.

Pada asalnya Burj Dubai dijadual siap menjelang akhir tahun ini, tetapi sasaran tarikhnya diubah setelah ketinggian sebenar menara ini dikaji semula, begitu juga penambahan pada reka bentuknya.

Bagi siswazah lulusan senibina University of Louisiana, Lafayette, Amerika Syarikat ini, penglibatan beliau dalam daya usaha yang begini besar merupakan satu cabaran dan penghormatan.

Projek bernilai AS$20 bilion ini secara keseluruhannya berketinggian 629 meter, sementara tiang KVLY-TV yang memegang rekod struktur bersokong tertinggi di dunia sejak 1963, berukuran 628.8 meter. - Bernama

Process time in ms: 15