NEGARA
Amukan bukit, empat tertimbus

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang semalam yang mengorbankan empat mangsa dan seorang lagi dipercayai masih terperangkap semalam seakan-akan ‘ulangan’ kepada tragedi Highland Towers pada 1993 lalu.
Tragedi semalam berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tempat berlaku runtuhan tiga blok 12 tingkat apartmen Highland Towers pada 11 Disember 1993, mengorbankan 48 orang itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama.
Jumlah korban itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata, pasukan mencari dan menyelamat sedang mengenal pasti kedudukan seorang lagi mangsa, iaitu seorang lelaki, yang dipercayai masih terperangkap.
Keempat-empat mangsa yang disahkan terkorban dikenali sebagai Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, Dr. N. Yogeswari, 40, Eng Yee Peng, 30 dan Surinah, 30.
Kesemua mangsa terperangkap dalam timbusan tanah runtuh itu dikenal pasti lokasinya oleh gerakan menyelamat dijalankan selama 24 jam sejak kejadian.
![]() |
|
|
Pasukan mencari dan menyelamat mula menggunakan jengkaut untuk mengesan mangsa yang tertimbus itu memandangkan kejadian telah berlaku lebih 12 jam.
Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab tetapi ketika kejadian beliau sekeluarga berada di kediaman ibunya di Kampung Baru.
Kejadian yang sama menyebabkan 10 mangsa cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah dan sehingga tengah malam tadi, pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.
Walaupun dilaporkan 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu berjaya menyelamatkan diri tetapi ia mencemaskan kira-kira 3,000 hingga 5,000 penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Menurut Khalid lagi, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan selama 24 jam tanpa henti walaupun hujan dan pasukan penyelamat turut membuat dua laluan alternatif supaya penghuni yang tinggal di kawasan berhampiran boleh keluar.
“Mereka yang diarahkan pindah dari kawasan kejadian ditempatkan di pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang,” katanya.
Kawasan runtuhan itu meliputi empat hektar dengan lingkungan satu kilometer meliputi kawasan sekitarnya, katanya.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.





Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


