NEGARA

Abby tuntut cerai

Abby tuntut cerai


ABBY menyerahkan borang tuntutan perceraian kepada Norman di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Selepas pelakon Abby Abadi gagal memfailkan permohonan untuk bercerai dengan suaminya, Norman Hakim pada 3 November lalu, pelakon utama siri drama Gerak Khas itu sekali lagi memfailkan permohonan cerainya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam.

Bagaimanapun, Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 29, tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguamnya, Ahmad Nazib Johari untuk memfailkan permohonan cerai tersebut kerana difahamkan ibu kepada tiga anak itu sedang menjalani penggambaran.

Menurut Ahmad Nazib, anak guamnya itu memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya Norman, 32, selaku defendan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 iaitu cerai dengan kebenaran mahkamah dengan persetujuan defendan.

"Hari ini (semalam) mahkamah menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes. Pihak kami akan serahkan surat kepada Norman Hakim untuk dia hadir ke mahkamah.

"Kita akan mengetahui pendiriannya sama ada setuju atau tidak untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47," katanya.

Seandainya Norman Hakim atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 32, tidak bersetuju untuk bercerai mengikut Seksyen 47, pihaknya akan meminda permohonan cerai itu kepada Seksyen 50, permohonan cerai secara taklik atau Seksyen 53, permohonan cerai secara fasakh.

Tindakan Abby untuk berpisah dengan Norman Hakim dikatakan berpunca daripada kes tangkapan khalwat suaminya itu bersama pelakon baru, Memey Suhaiza atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 20, pada 30 Oktober lalu.

Process time in ms: 31