RENCANA UTAMA
Loghat Kelantan jadi taruhan
Keseragaman menari dengan liuk lentok tubuh dan gerak halus jari-jemari amat penting di lantai persembahan Mak Yong.

KETIKA sekumpulan anak muda asyik menerokai hiburan dan tarian moden di ibu kota, belia dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) pula cenderung menguasai seni tradisional. Bukan disebabkan mereka tergolong dalam kelompok remaja yang ketinggalan zaman atau 'budak kampung', sebaliknya ada sebab kenapa mereka melakukannya dengan senang hati.
Tinjauan Kosmo! mendapati mereka lebih selesa mengorak langkah dalam seni persembahan tradisional kerana kepuasan yang dikecapi sukar dicari ganti.
Ironinya, kebanyakan generasi muda kini begitu berbangga menunjukkan kemahiran atau bakat tarian hip hop, shuffle dan break dance di depan khalayak. Namun bagi Nor Azura Abu Bakar dan rakan sebayanya pula, kedua-duanya berasa gembira dan teruja apabila berpeluang menghiburkan pengunjung tempatan dan pelancong asing dengan persembahan drama tari Mak Yong.

Menyaksikan pementasan Mak Yong berjudul Nik Kecik Dewa Muda yang berlangsung di Pusat Pelancongan, Kuala Lumpur baru-baru ini, membuktikan kesungguhan mereka memartabatkan warisan tradisional, terutamanya pementasan Mak Yong.
"Sekiranya kami (anak-anak muda) tidak memelihara atau meneruskan kesenian Mak Yong, tidak mustahil pada masa hadapan, Mak Yong akan hilang dan pupus dalam budaya masyarakat Melayu. Tidak dinafikan, segelintir remaja hari ini kurang meminati dan lebih teruk, kebanyakan mereka tidak mengetahui apa itu Mak Yong.
"Remaja sekarang menilai dan berpendapat seni tradisional membosankan. Tanggapan itu diluahkan tanpa menyaksikannya terlebih dahulu. Perlu diketahui, persembahan Mak Yong, bukan seperti zaman dahulu. Walaupun masih mengekalkan jalan cerita berunsurkan ketuhanan dan raja-raja, tetapi elemen dan lawak jenaka moden turut diselitkan untuk halwa telinga penonton," tegas Nor Azura, 23, yang mendukung watak anak raja (pak yong), Nik Kecik Dewa Muda sempena program Mak Yong Ekstravaganza 2008 (MYE'08) baru-baru ini.

Mengisahkan tentang Nik Kecik Dewa Muda yang memerintah negeri Selurah Tanah Jawa yang bermimpi didatangi seorang tua tiga kali bongkok dan tiga kali tegak. Orang tua tersebut meminta baginda pergi memburu seekor kijang iaitu Kijang Mas Kijang Ucana yang terdapat di Alah Sunyi Belukar Yang Muda-Muda.
Keberangkatan Nik Kecik Dewa Muda dipersetujui oleh bonda baginda. Lalu baginda pun pergi bersama dua orang pengasuh.

Bercerita lanjut, Nor Azura yang kini menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Muzik, Fakulti Muzik, Aswara menyifatkan untuk melibatkan diri dalam persembahan Mak Yong, memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Banyak perkara dan ilmu yang perlu dipelajari, selain berlakon, menyanyi dan menari.
Melihat lakonannya yang lancar mengungkapkan dialog dalam dialek Kelantan, sama sekali kita tidak menyangka bahawa Nor Azura merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan langsung dengan negeri berkenaan.
"Saya hanya lancar bertutur loghat Kelantan ketika menjayakan pementasan Mak Yong. Di luar pentas, saya boleh memahami, tetapi untuk membalas semula percakapan dalam loghat Kelantan, sukar sama sekali.
![]() |
|
REBAB merupakan alat muzik penting dalam persembahan Mak Yong. |
"Memandangkan hampir keseluruhan persembahan Mak Yong menggunakan dialek dari negeri Cik Siti Wan Kembang, maka saya perlu belajar memahami dan menyebut setiap butir kata dengan betul. Ini bagi memastikan pementasan berjalan lancar," katanya yang mengakui sukar mengalunkan lagu-lagu Mak Yong.
Walaupun sedang belajar mendendangkan lagu-lagu tradisional, Nor Azura tetap berhadapan dengan masalah menguasai lenggok lagu-lagu Mak Yong. Kadang-kala remaja berkulit hitam manis ini menitiskan air mata dan berputus asa apabila gagal mengalunkan lagu dengan sempurna.
Mujurlah dia dibantu dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada adi guru, Mohd Nasir Md Yusof (Pak Nasir) yang mempunyai pengalaman lebih daripada 40 tahun dalam arena seni Mak Yong.
![]() |
|
"WATAK peran yang dilakonkan oleh pelakon lelaki." |
![]() |
|
|
Kunci utamanya ialah memastikan lenggok yang dilontarkan bersesuaian, Nor Azura perlu peka dan menumpukan sepenuh perhatian mendengar gesekan rebab (alat muzik bertali tiga). Gesekan yang dimainkan itu akan 'memandu' si penyanyi sama ada perlu mengalunkan lenggok yang cepat mahu pun perlahan.
Selain sukar melantunkan lagu Mak Yong, aspek tarian dan lakonan juga menambahkan kegusaran dalam dirinya. Apatah lagi, Nor Azura diberi tanggungjawab memegang watak utama yang 'memaksanya' perlu menghasilkan dan menampilkan mutu lakonan dan tarian yang terbaik. Keseragaman menari dengan liuk lentok tubuh dan gerak halus jari-jemari amat penting di lantai persembahan Mak Yong.
"Bukan mudah untuk melakukan tiga elemen (berlakon, menari dan menyanyi) secara serentak. Namun begitu, inilah keunikan yang diterapkan dalam tari drama Mak Yong. Saya bertuah kerana bukan sahaja berpeluang mempelajari teknik nyanyian, malah mendalami teknik lakonan sekali gus memperoleh ilmu tarian.
"Plot yang memerlukan saya berdiri dan berlakon seorang diri di atas pentas, antara tugasan yang mencabar. Tanpa bantuan dan sokongan pelakon lain, perasaan gugup datang menganggu kerana mata penonton hanya tertumpu kepada saya," ujarnya yang memasang impian untuk terus mendalami lagu-lagu Mak Yong.
Tambahnya yang juga pelakon teater bangsawan: "Sukar dijelaskan, mengapa seni tradisional indah di mata saya. Ia merupakan hiburan yang unik dan istimewa. Ciptaan lirik pula banyak mengandungi bahasa kiasan, kata-kata nasihat, teladan dan kasih sayang.
Sementara itu, Sabihah Abdul Rahman Wahid yang pernah menggondol juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2007, mendapati kisah Mak Yong merupakan pementasan yang menyeronokkan. Kombinasi unsur tarian, lakonan, nyanyian dan komedi membuatkan seni ini tidak membosankan.
Lebih menarik lagi apabila dia berpeluang berdandan dan berhias cantik dalam persalinan puteri raja. Sedikit sebanyak kostum tersebut menyerlahkan kegemilangan persembahan dan menarik perhatian penonton.
"Seronok kerana terpilih untuk membawa watak Tuan Puteri Ratna Emas iaitu puteri dari kayangan. Dikelilingi dayang-dayang, sambil menyanyi dan menari di taman bunga sungguh mempesonakan. Namun begitu, meskipun sudah serasi dan mampu menguasai lagu-lagu tradisional, seperti Nor Azura, saya juga menghadapi masalah mengalunkan lagu Mak Yong.
"Daripada pengalaman kesukaran dan terus mempelajarinya, terbit rasa hormat pada penyanyi dan pelakon Mak Yong senior kerana mampu menyanyi dengan baik," jelas Sabihah, 23, yang menyanyikan lagi Sedayong Pak Yong, dalam pementasan tersebut.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.






Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


