NEGARA

Zulkifli bukan ganti Norman - Yusof

Zulkifli bukan ganti Norman - Yusof




KUALA LUMPUR - "Tidak ada sesiapa yang akan menggantikan tempat Norman."
Demikian tegas penerbit, Datuk Yusof Haslam mengenai kekosongan tempat yang bakal ditinggalkan oleh pelakon Norman Hakim dalam drama bersiri, Gerak Khas tidak lama lagi.

Yusof juga menafikan kenyataan sebuah akhbar yang mendakwa beliau sudah memilih seorang pelakon baru, Zulkifli Ariffin, 22, bagi menggantikan Norman dalam drama bersiri kepolisan popular itu.

Penglibatan Zulkifli yang akan mengambil alih tempat Norman dimaklumkan sendiri oleh isteri Norman, pelakon Abby Abadi.

"Abby mungkin tersalah faham. Saya tidak pernah kata budak itu pengganti Norman. Kalau dulu Norman memang menggantikan AC Mizal (bekas pelakon Gerak Khas), tetapi sekarang ini tak ada sesiapa yang akan ganti tempat Norman," kata Yusof lagi dalam nada cukup tegas ketika menghubungi Kosmo! semalam.

Menurut penerbit jutawan itu, beliau belum terfikir untuk mengambil pelakon lain bagi menggantikan Norman memandangkan pelakon itu masih dalam tempoh 'bercuti'.

Selain itu, Yusof juga memberitahu, setiap pelakon yang memegang watak sebagai anggota polis dalam drama berkenaan perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa Bukit Aman.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32