NEGARA

Nenek Wook ditipu hidup-hidup

Nenek Wook ditipu hidup-hidup


WOOK KUNDUR di samping Mohd. Nor di rumah mereka di Kuala Berang semalam.


HULU TERENGGANU - "Tunggu punya tunggu, bayang kereta yang dijanjikan masih tak nampak-nampak.
"Kereta ke mana, wang ke mana, janji hilang macam tu je. Saya tak reda sampai bila-bila, memang neraka balasan untuk orang macam ni."

Begitulah kemarahan diluahkan warga emas, Wook Kundur, 106, yang mendakwa ditipu hidup-hidup dua individu dipercayai mengambil kesempatan atas perkahwinan uniknya dengan Mohd. Nor Musa, 37 tahun.

Reaksi itu diluahkan ketika dikunjungi Kosmo! di rumah mereka di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, di sini, semalam dan dikatakan punca Wook tidak mahu ditemuramah media lagi.

Menjelaskan sikap isterinya itu, Mohd. Nor berkata, Wook asalnya seorang yang peramah dan mudah mesra namun pengalaman ditipu dua individu terbabit amat perit.

Katanya, awal tahun lalu mereka dikunjungi seorang lelaki yang mengaku wartawan akhbar tabloid dan rakan wanitanya dipercayai jurujual produk minuman herba.

Katanya, lelaki tersebut, Zaidi (nama samaran) memujuk dia dan Wook supaya membenarkan gambar mereka diambil kononnya untuk disiarkan di akhbar.

Menurutnya, curiga akan keadaan kelam-kabut dua individu itu, dia pada mulanya menolak permintaan mereka dengan cara baik.

"Zaidi kata dia wartawan dan janji akan beri saya kereta kalau benarkan dia tulis berita dan ambil gambar kami berdua.

"Dia tunjuk sekeping surat yang kononnya tanda pengakuan memberi kereta terpakai atau wang RM4,000 sebagai nilai kereta itu, sekali gus membuatkan saya setuju dengan tawarannya," katanya.

Beliau berkata, wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Bibah (bukan nama sebenar) mengajaknya bercakap tentang keistimewaan produk minuman.

"Semasa bersembang, Bibah suruh isteri saya pegang produk minuman kesihatan dan Zaidi ambil gambar. Hati saya rasa tak sedap sebab mereka macam nak gunakan kami untuk lariskan produk," katanya.

Menurut Mohd. Nor, selepas pertemuan itu, ganjaran yang dijanjikan masih tidak kelihatan dan Zaidi pula berdolak-dalik ketika ditanya mengenainya.

Process time in ms: 32